Thursday, November 03, 2005

Salam idulfitri, salam kemenangan umat islam sarwajagat

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, kita telah pun berjaya melalui bulan ujian dan tarbiah bagi kita umat islam. Apa yang kita harapkan sekarang ini hendaknyalah agar ibadat puasa dan ibadat-ibadat kita yang lain di bulan ramadhan diterima Allah.

Mengambil iktibar dari peristiwa perperangan Badar, kemenangan yang dikecapi oleh tentera islam malahan semua siri kejayaan yang telah dicapai oleh umat islam adalah dengan pertolongan Allah. Hatta kemenangan kita yang hanya melawan hawa nafsu iaitu sekadar nafsu makan dan minum itu juga adalah pertolongan daripada Allah. Maka adalah tidak patut idulfitri yang dianggap sebagai hari merayakan kemenangan ini dirayakan dengan sesuatu yang derhaka kepada Allah jauh sekali untuk berkongsi perayaan ini dengan perayaan non-muslim.

Mengambil dari semangat idulfitri iaitu fitrah yang bermaksud kita kembali ke keadaan fitrah kejadian yang suci dari dosa. Ianya juga boleh diambil maksud bahawa kita menganggap bahawa diri kita umpama bayi yang baru lahir yang masih tidak tahu apa-apa dan oleh kerana itu akan mendorongkan kita untuk banyak menimba ilmu melalui pembacaan dan majlis-majlis ilmu.

Akhirul kalam, semoga kita akan sentiasa merindui ramadhan yang telah berlalu, biarpun kita berada dalam kemeriahan syawal. Insya-Allah

posted by Lidah Penghunus @ 12:59 AM   0 comments

Tuesday, November 01, 2005

Menjunamnya kecemerlangan UM.

Assalamualaikum.

Sungguh memeranjatkan apabila Universiti Malaya yang menjadi kebanggaan kita kerana menjadi antara universiti terbaik dunia yang selama ini menduduki tangga 89 dalam senarai 200 universiti yang terbaik di dunia kini jatuh menjunam hingga ke tangga 169. Satu penurunan yang amat besar dan begitu ketara.

Bagi saya kemerosotan prestasi universiti yang tertua di Malaysia ini mungkin ada kaitan dengan iklim demokrasi dalam kampus tersebut yang kita lihat semakin merosot akhir-akhir ini. Ini jelas dalam pilihanraya kampus yang lepas yang mana kita telah menyaksikan kemuncak kepada pencabulan terhadap demokrasi begitu ketara sekali yang mengakibatkan golongan-golongan yang mereka anggap sebagai pro-pembangkang tewas teruk dalam pilihanraya dan bermulanya penguasaan golongan yang senada dengan mereka khususnya parti pemerintah dalam Majlis Perwakilan Pelajar.

Ini menunjukkan bagaimana sikap pihak pentakbiran UM yang tunduk kepada parti pemerintah dengan menafikan daya berfikir, daya kritis dan seterusnya daya intelek mahasiswa, dalam masa yang sama menularnya budaya hedonisme, hiburan tanpa kawalan dan budaya 'couple' yang seolah-olah direstui oleh pihak pentadbiran universiti. Akibatnya lahirlah mahasiswa yang beku yang tarafnya tiada beza dengan pelajar sekolah. Ini jelas dalam Ruangan MPP iaitu satu ruangan dalam akhbar harian yang memberi peluang kepada wakil-wakil mahasiswa untuk bersuara juga kita lihat isu yang dilontarkan oleh pimpinan pelajar pada sesi kali ini hanya berlegar di sekitar isu kemahasiswaan dan dalam kampus sahaja.

Jika disebut prestasi universiti, ianya tidak boleh hanya diukur dengan kecemerlangan akademik semata-mata. Suatu universiti itu juga mestilah mampu mencorak pemikiran pelajar yang kritis yang peka terhadap isu-isu semasa khususnya yang menyentuh tentang masyarakat luar. Buktinya kita sudah lihat bagaimana dalam zaman kebangkitan mahasiswa, zaman memuncaknya demonstrasi pelajar disekitar tahun penghujung 60 dan 70-an, hatta zaman kebangkitan reformasi Anwar Ibrahim sekalipun UM masih dapat mengekalkan prestasinya sebagai antara universiti yang terbaik. Tetapi malang sekali pada zaman sekarang yang mana pada tanggapan mereka adalah zaman tenang dan zaman pelajar boleh tumpu sepenuhnya kepada pengajian kerana kurangnya aktiviti-aktiviti politik luar, namun prestasi UM semakin merosot bukan semakin meningkat.

posted by Lidah Penghunus @ 12:12 AM   1 comments


Free Hit Counter