Friday, June 29, 2007

Sama ada Petronas untung RM 76b, Perwaja rugi RM 76j, rakyat tetap rugi.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini melaporkan syarikat pengeluar minyak negara, Petronas telah mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM76.3 bilion iaitu keuntungan yang tertinggi dalam sejarah.

Petronas terus mengekalkan rekod keputusan kewangan cemerlangnya dengan meraih keuntungan sebelum cukai RM76.3 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, peningkatan kira-kira 10 peratus daripada RM69.4 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.Keuntungan itu diraih daripada pendapatan berjumlah RM184.1 bilion, juga meningkat 10 peratus daripada RM167.4 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, dengan operasi antarabangsa, tidak termasuk pendapatan eksportnya, menyumbang RM67.6 bilion atau kira-kira 40 peratus.
Sumbangan operasi antarabangsa Petronas meningkat 19.4 peratus daripada RM56.6 bilion pada tahun kewangan sebelum ini, sekali gus menunjukkan kehadirannya yang lebih kukuh dalam industri minyak dan gas dunia.Selepas ditolak cukai dan kepentingan minoriti, keuntungan bersih syarikat minyak negara itu adalah RM46.4 bilion, peningkatan 7.7 peratus daripada RM43.1 bilion. Berita Harian - 29 Jun 2007.

Selasa lepas Mahkamah Sesyen telah membebaskan Tan Sri Eric Chia daripada tuduhan pecah amanah RM76.4 juta pada tahun 1994 yang memberi makna wang rakyat sebanyak 76.4 juta terus lesap begitu sahaja. Yang menariknya angka keuntungan yang dicatatkan oleh petronas hari ini hampir sama dengan kerugian yang dicatatkanPerwaja Steel. Cuma bezanya keuntungan Petronas dalam bentuk bilion manakala kerugian Perwaja dalam bentuk juta.

Apapun, hakikatnya sama ada Petronas untung atau pun Perwaja rugi, rakyat tetap rugi dan tidak mendapat apa-apa keuntungan kerana setakat ini kita tidak nampak pun cadangan untuk menurunkan harga minyak walaupun Petronas mencatat keuntungan tertinggi dan kerajaan memperolehi 48.3 bilion daripada keuntungan tersebut.

posted by Lidah Penghunus @ 4:43 PM   0 comments

Wednesday, June 27, 2007

Tan Sri Eric Chia bebas, RM 76.4 juta duit rakyat terus lesap.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini melaporkan Tan Sri Eric Chia yang sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah dan menjalani perbicaraan atas kes pecah amanah yang membabitkan Perwaja Steel pada tahun 1994 telah didapati tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan pecah amanah yang melibatkan jumlah RM 76.4 juta.

Bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja Steel), Tan Sri Eric Chia Eng Hock, semalam dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah RM76.4 juta pada 1994.
Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir memerintahkan Chia, 74, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Beliau berkata, kegagalan pihak pendakwa memanggil dua saksi penting, termasuk seorang warga Jepun, selain pertuduhan yang bercanggah dan mengelirukan, mencacatkan kes mereka.
“Mahkamah serba kekurangan untuk membuat penilaian maksimum kerana saksi material tidak dipanggil langsung untuk memberi keterangan dalam perbicaraan,” kata Akhtar ketika membacakan penghakiman 30 muka suratnya, semalam. Berita Harian - 27 Jun 2007.

Dengan keputusan ini ianya bermakna sudah masuk 13 tahun wang rakyat 76.4 juta lesap namun hingga kini kita masih lagi belum dapat menangkap dan menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada orang bertanggungjawab. Di sini saya tidaklah berniat untuk mempertikaikan keputusan mahkamah itu. Namun kita amat-amat terkilan apabila wang rakyat sebanyak itu lesap begitu sahaja dan orang yang bertanggungjawab hingga kini terus bebas menikmati kekayaan hasil rompakan.

Selepas ini kita akan menunggu pula keputusan rasuah Tan Sri Kasitah Gadam dan keputusan siasatan BPR Datuk Johari Baharum dan kita juga masih menunggu-nunggu bila lagi beberapa individu yang disyakki terbabit dengan rasuah dan penyelewengan akan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah. Nampaknya juga dengan keputusan ini mungkin akan meyakinkan lagi orang yang berkenaan bahawa keputusan BPR akan menyebelahinya. Apapun tahniah kepada Pak Lah kerana inilah yang rakyat dapat daripada kempen memerangi rasuah anda.

posted by Lidah Penghunus @ 1:12 PM   1 comments

Monday, June 25, 2007

Suruhanjaya Eropah dan kerajaan Britain.

Assalamualaikum.

Berkenaan isu kritikan terhadap DEB oleh duta dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah ke Malaysia Thierry Rommel, akhbar hari ini Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memberi amaran kepada Rommel agar tidak mencampuri urusan Malaysia khususnya dalam perlaksanaan DEB.

Pergerakan ini membantah kenyataannya dan memberi amaran kepada Rommel supaya jangan cuba mencampuri urusan dan dasar negara ini. Jangan pandai-pandai campur tangan dalam urusan dalaman Malaysia.
Menyifatkan tindakan Rommel itu tidak boleh diterima, beliau mengajak rakyat Malaysia menyatakan bantahan berhubung isu berkenaan supaya pada masa depan tiada pihak mencampuri urusan dalaman negara.
“Kita percaya bantahan rakyat penting berbanding langkah menghantar memorandum bantahan ke kedutaan kerana saya nampak tindakan sedemikian tidak ke mana. Rakyat sendiri perlu bersuara dan membantah tindakan orang seperti ini,” Berita Harian - 25 Jun 2007.

Di sini kita sendiri pun tidak setuju dan membantah tindakan biadab duta dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah itu. Walaupun kita juga berpendapat bahawa DEB selepas Tun Abdul Razak dilaksanakan secara tidak adil dan hanya menguntungkan kroni dan puak-puak kapitalis namun kita tidak perlukan campur tangan daripada orang luar. Sudah cukup ada pembangkang untuk menyuarakan isu ini. Bagi negara kesatuan Eropah adalah lebih baik mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri terutama yang membabitkan anggota mereka, Britain yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat menceroboh Iraq dan melukakan hati masyarakat Islam dengan memberi pingat kepada orang yang menghina Islam.

Kepada Pemuda Umno pula, kita belum dengar pun suara bantahan mereka terhadap kebiadaban kerajaan Britain menganugerahkan darjah kebesaran kepada Salman Rushdie sedangkan isu ini adalah menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh dunia dan sepatutnya sebagai pemuda yang sentiasa melaungkan slogan "gempur" mereka bangkit membantah tindakan biadab Britain ini. Atau adakah mereka hanya akan bersuara apabila ada pihak yang menghina atau mempertikaikan Islam Hadhari mereka? Apapun 29 Jun ini kita akan turun berdemonstrasi untuk menyuarakan isu ini. Kepada Pemuda Umno kita alu-alukan penyertaan mereka untuk sama-sama kita membela agama Islam dan rasul junjungan kita SAW.

posted by Lidah Penghunus @ 1:25 PM   1 comments

Sunday, June 24, 2007

Johari yakin laporan BPR menyebelahinya?

Assalamualaikum.

Sebelum ini Datuk Mohd Johari Baharum yang dikaitkan dengan pembebasan penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat selepas menerima sogokan RM 5 juta mendesak BPR agar memgumumkan hasil siasat tentang kesnya dengan kadar segera. Dalam akhbar hari ini beliau yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan keyakinan beliau bahawa laporan hasil siasatan akan menyebelahi beliau.

Datuk Mohd. Johari Baharum yakin laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan dikeluarkan bila-bila masa daripada sekarang berhubung kes beliau yang didakwa menerima sogokan RM5 juta bakal memihak kepadanya.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu berkata, beliau tidak risau dengan hasil laporan BPR itu kerana tidak pernah terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah.
Beliau menegaskan sudah lama beliau bersedia untuk menerima hasil laporan berkenaan kerana yakin tidak bersalah dalam hal itu.
“Tak ada sebab untuk saya takut dengan laporan BPR yang akan dikeluarkan kerana saya tak pernah terlibat langsung dalam rasuah," Mingguan Malaysia - 24 Jun 2007.

Pelik apabila Datuk Johari mengatakan bahawa laporan BPR akan menyebelahinya. Jika benar beliau yakin bahawa beliau tidak bersalah sepatutnya beliau menyatakan bahawa kebenaran yang menyebelahi beliau, bukan BPR menyebelahi beliau. BPR sebagai yang kita maklum, bekas ketua pengarahnya telah disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan akibatnya orang no. 1 BPR itu terpaksa menamatkan kontraknya. Jadi sama-samalah kita nantikan keputusannya dan keputusan disebalik keputusan itu.

posted by Lidah Penghunus @ 4:27 PM   0 comments

Komentar hujung minggu

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hujung minggu hari ini saya tertarik untuk menyentuh 3 tajuk yang dipaparkan dalam akhbar Berita Minggu. Yang pertamanya keluhan Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa tentang anak-anak muda negara ini yang kurang bersemangat untuk menghayati kemerdekaan negara.

Generasi muda didapati ‘kurang bersemangat’ untuk menilai dan memahami pengertian sebenar kemerdekaan yang diperoleh ketika negara menentang penjajah.
Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, berkata sikap itu begitu jelas kerana generasi muda tidak merasai kepayahan yang dilalui pejuang kemerdekaan ketika zaman penjajah.
“Dahulu semangat tinggi untuk memerdekakan tanah air seperti semangat Dol Said dan pejuang lain. Sekarang semangat dah kurang. Berita Minggu - 24 Jun 2007.

Sebenarnya anak muda di negara kita lebih bersemangat untuk menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara kita yang diadakan setiap tahun. Ini kerana sambutannya yang disediakan oleh pemerintah sendiri yang penuh dengan hiburan yang melalaikan yang kita maklum itulah yang digemari oleh golongan ini.


Setiap kali malam sambutan merdeka kebanyakan anak-anak muda ini akan memenuhi lokasi sambutan yang biasanya di Dataran Merdeka, KLCC yang beberapa tempat terkemuka. Ramai antara mereka yang membawa bendera Jalur Gemilang dan melaungkan kata keramat "merdeka," menunjukkan seolah-olah pada malam itu anak-anak muda ini begitu kemerdekaan. Tetapi sebenarnya tidak, malahan pada kebiasaannya malam itulah membawa kepada detik-detik kehancuran negara apabila golongan-golongan remaja ini dirosakkan dengan unsur-unsur yang tidak sihat.


Sepatutnya pihak yang berautoriti iaitu kerajaan tidak sepatutnya menggunakan hiburan yang melampau atas alasan kononnya untuk menarik golongan muda bersama menyambut kemerdekaan. Bagi saya biarlah anak-anak muda ini tidak minat untuk menyertai program sambutan kerana tiada hiburan daripada mereka rosak akibat sambutan malam kemerdekaan yang lebih banyak buruk daripada baiknya.

Tajuk yang kedua, timbalan menteri penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua rakyat tidak kira fahaman ideologi termasuk parti pembangkang agar turut serta dalam semua acara sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara


Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebagai rakyat yang setia kepada raja dan negara, mereka tidak terkecuali untuk memeriahkan ketibaan detik bersejarah negara."Marilah kita lupakan sejenak perbezaan fahaman atau politik untuk memeriahkan ulang tahun kemerdekaan ke-50 yang berlaku sekali saja,"

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, ahli dan penyokong parti pembangkang harus terbabit sama menterjemahkan taat setia mereka kepada negara dengan menyertai semua aktiviti yang diadakan sepanjang bulan kemerdekaan. Berita Minggu - 24 Jun 2007.


Di sini kita walaupun parti pembangkang namun kita turut juga akan bersama-sama dengan acara sambutan yang dianjurkan, malahan pembangkang khususnya Pas juga akan menganjurkan sendiri sambutan kemerdekaan yang ke-50 ini. Namun begitu kita tidak akan menyertai program yang turut diisi dengan hiburan yang melalaikan kerana kebiasaannya program yang dianjurkan oleh Umno dan Barisan Nasional ini tidak sah jika tiada artis.


Tambahan lagi kita pembangkang merasakan bahawa negara kita sebenarnya belum lagi mendapat kemerdekaan yang sepenuhnya. Kita masih lagi menguna pakai sistem warisan penjajah dan mengetepikan hukum Islam. Anak-anak muda kita terus hanyut dengan budaya hedonisme dan budaya yang dibawa daripada barat sekalipun ianya dalam sambutan ulangtahun kemerdekaan dan demokrasi sertakebebasan bersuara di negara ini masih lagi ditahap rendah. Kita masih lagi ditekan oleh pelbagai akta yang menyekat kebebasan rakyat. Pilihanraya di negara kita juga berjalan dalam keadaan yang amat-amat menyedihkan. Oleh kerana itulah kita pembangkang lebih menumpukan kepada perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan total. Dan yang ketiga ialah berkenaan masalah dadah;



Dianggarkan 900,000 hingga 1.2 juta penduduk bersamaan satu nisbah 25 (1:25) rakyat negara ini terbabit dalam penagihan dadah, sekali gus meletakkan negara dalam keadaan tidak selesa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan angka itu ibarat mimpi ngeri yang perlu diterima hakikat oleh semua pihak."Apa yang menyedihkan pertambahan penagih baru ini majoritinya adalah anak muda kita."Mahu tidak mahu, kita berdepan dengan hakikat bahawa dadah adalah satu cabaran besar dalam usaha membina modal insan seperti termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),"

Najib berkata, pengedaran dadah dalam negara semakin berleluasa dan keadaan itu dibuktikan melalui laporan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang menunjukkan rampasan dadah meningkat secara mendadak.Katanya, pada 2005, dadah sintetik bernilai RM43.7 juta dirampas dan jumlah itu sangat besar jika dibandingkan nilai rampasan dadah tradisional pada tahun sama iaitu sebanyak RM8.8 juta. Berita Minggu - 24 Jun 2007.


Berkenaan dengan masalah dadah ini juga semalam dalam berita jam 8 malam, Perdana Menteri menyatakan kekesalannya kerana masalah dadah di negara ini masih lagi belum selesai, malahan terus meningkat. Nampaknya ketika negara kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-50, masalah penyalahgunaan dadah terus menghantui negara kita iaitu salah satu gejala yang boleh meruntuhkan kemerdekaan yang dikecapi. Di sini saya percaya gejala penggunaan dadah ini akan terus meningkat ketika sambutan malam ambang merdeka. Kerana pusat hiburan seperti disko adalah salah satu tempat yang menjadi tumpuan anak muda untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan.

posted by Lidah Penghunus @ 3:17 PM   0 comments

Friday, June 22, 2007

Isu penganugerakan Sir kepada Salman Rushdie.

Assalamualaikum.

Selepas solat Jumaat tadi di Masjid ar-Rahman, Universiti Malaya saya berpeluang mengikuti satudemonstrasi yang dianjurkan mahasiswa Islam UM. Tujuannya yang pertamanya bagi membantah pencabulan demokrasi di Palestin dan yang kedua membantah penganugerahan Sir kepada Salman Rushdie oleh kerajaan Britain.

Di sini saya ingin menyentuh sedikit berkenaan penganugerahan darjah tertinggi kepada Salman Rushdie yang menulis buku bertajuk Satanic Verses yang telah menghina Islam dan rasulullah SAW. Sebagai seorang penulis walaupun hanya di laman blog, walaupun kita menyokong kebebasan bersuara dan menulis, menentang segala percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara termasuk di laman blog, namun kita tidaklah sampai membenarkan suara-suara yang menghina agama Islam, hatta menghina agama lain sekalipun kita tidak setuju. Kerana kebebasan bersuara dalam Islam tetap ada had dan batasannya yang dibenarkan oleh syarak

Kita menulis dan memperjuangankan kebebasan menulis adalah untuk menyuarakan keadilan menentang kezaliman, menegur apa yang tidak betul dan seterusnya bagi mewujudkan kesejahteraan dalam negara. Dengan penganugerahan oleh kerajaan Britain kepada penulis yang menghina Islam itu maka jelaslah bahawa negara sekutu rapat Amerika itu cuba memberitahu masyarakat dunia bahawa mereka menyokong golongan yang menghina Islam.

Demonstrasi yang berlangsung petang tadi sebenarnya hanyalah permulaan dan dibuat secara kecil-kecilan, namun mesejnya tetap tegas dan jelas. Insya-Allah, satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan pada 29 Jun ini di depan kedutaan Amerika bagi kita umat Islam dan pencinta keadilan menyuarakan berkenaan kedua-dua isu itu tadi.

posted by Lidah Penghunus @ 4:31 PM   0 comments

Thursday, June 21, 2007

Islam Hadhari untuk mendapatkan keredhaan barat.

Assalamualaikum.

Semalam dalam berita TV dengan bangganya menyatakan bahawa Islam Hadhari oleh kerajaan BN telah bergema di bumi Russia. Dalam akhbar hari ini pula, semasa memberikan ucaptama yang bertajuk Mempersembahkan Wajah Islam yang Sebenar kepada Dunia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa jurang perbezaan antara barat dan Islam dapat diselesaikan dengan cara menerapkan Islam Hadhari kepada umat Islam.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa dunia menggerakkan dua langkah penyelesaian bagi menangani jurang antara Islam dan Barat iaitu menerusi penerapan Islam Hadhari di kalangan umat Islam dan dialog peradaban yang aktif di semua peringkat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menawarkan pendekatan Islam Hadhari kepada masyarakat antarabangsa sebagai satu lagi sumbangan ke arah memahami Islam daripada semua sudut.
Katanya, Malaysia sedang menerapkan Islam Hadhari atau Islam yang beradaban di kalangan rakyatnya yang pelbagai agama dan menjadikan Islam itu sebagai faktor penyatuan, bukannya perpecahan.
Perdana Menteri menambah, penerapan Islam Hadhari adalah pendekatan terbaik berteraskan toleransi, progresif dan cintakan keamanan demi kesejahteraan kepada umat Islam dan bukan Islam. Utusan Malaysia - 21 Jun 2007.


Jika kita lihat realiti sebenar perlaksanaan pendekatan Islam Hadhari oleh kerajaan selama ini iaitu Islam tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya, kemungkaran terus dibiarkan berleluasa, rakyat dilalaikan dengan pelbagai hiburan yang melampau maka jelaslah di sini bahawa pendekatan Islam Hadhari dalam menyelesaikan konflik Islam dan Barat yang dinyatakan Pak Lah itu tadi bermaksud negara umat Islam mestilah melaksanakan sesuatu yang membawa kepada keredhaan barat kepada umat Islam.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa barat khususnya Amerika dan negara Eropah amat-amat tidak menyenangi usaha-usaha untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Mereka amat bimbang kepada kebangkitan Islam di sesebuah negara umat Islam dan mereka akan cuba mencari pelbagai alasan agar dapat menyingkirkan sesebuah pemerintahan yang melaksanakan Islam sepenuhnya. Maka perlaksanaan Islam Hadhari oleh Pak Lah itu dilihat tidak membahayakan dan memberikan ancaman kepada barat.

Baru-baru ini juga kita sudah lihat bagaimana Pergerakan Fatah yang diterajui oleh Presiden Mahmoud Abbas berjaya mendapatkan keredhaan barat iaitu Amerika Syarikat dan Israel apabila mereka berjaya menyingkirkan gerakan Islam Hamas dalam pentadbiran Palestin dan memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan kumpulan yang tidak disenangi oleh Amerika Syarikat dan Israel itu. Maka bolehlah dikatakan di sini bahawa Pergerakan Fatah juga telah melaksanakan pendekatan Islam Hadhari seperti yang disyorkan oleh Pak Lah itu dalam usaha meredakan konflik antara negara Palestin dan Amerika.

posted by Lidah Penghunus @ 1:06 PM   1 comments

Tuesday, June 19, 2007

Hunusan mutakhir - Isu Palestin.

Assalamualaikum.

Berita jam lapan malam tadi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat akhirnya mengumumkan penarikan balik sekatan terhadap Negara Palestin iaitu suatu perkara yang disifatkan sebagai yang dinanti-nantikan oleh rakyat Palestin, malahan negara polis dunia itu mengumumkan akan memberikan bantuan tambahan kepada kerajaan pimpinan presiden Mahmud Abas.

Penarikan balik sekatan ini dibuat setelah Mahmud Abbas memecat Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menteri dan menyingkirkan Pergerakan Hamas daripada kabinet Palestin. Malahan berita TV tadi juga menyiarkan kenyataan daripada Pergerakan Fatah bahawa pergerakan itu tidak lagi berminat untuk mengadakan pakatan dengan Hamas.

Nampaknya jelaslah di sini bahawa Mahmud Abbas dan Kumpulan Fatah adalah budak suruhan Amerika dan Zionis apabila berjaya melaksanakan kehendak Amerika dan Israel untuk menyingkirkan Gerakan Islam Hamas daripada pentadbiran Palestin. Di sini kita juga percaya bahawa apa yang dikatakan sebagai persengketaan oleh sayap bersenjata Hamas dan Fatah sebelum ini adalah perancangan Amerika dan Israel dalam usaha mereka untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Hamas yang dipilih melalui demokrasi.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Pemuda Gerakan desak Tukar ketua polis di negeri catat jenayah tinggi.

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan kenyataan Ketua Pemuda Parti Gerakan yang disiarkan dalam akhbar hari ini yang mendesak Ketua Polis Negara agar menukarkan ketua polis negeri serta pegawai polis di negeri yang tinggi kadar jenayahnya

Pemuda Gerakan mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menukarkan ketua polis negeri dan pegawai polis di negeri-negeri yang mencatat indeks jenayah tertinggi.
Ketuanya, Datuk Mah Siew Keong berkata, ini kerana indeks jenayah di beberapa negeri seperti Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Perak ketika ini sangat membimbangkan dan serius.
Beliau berkata, Gerakan menerima banyak laporan daripada orang ramai di seluruh negara yang melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes rogol, bunuh, rompakan, ragut dan culik sejak kebelakangan ini.
‘‘Gerakan mahu ketua polis negeri dan pegawai polis di kawasan jenayah yang terus mencatat peningkatan ditukarkan dengan pegawai lain Utusan Malaysia - 19 Jun 2007.


Sementara itu dalam akhbar sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai reaksi kepada kenyataan Siew Keong itu menyifatkan cadangan Ketua Pemuda Gerakan itu sebagai berunsur politik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang mendesaknya menukar ketua-ketua polis di negeri yang mencatat indeks jenayah tertinggi sebagai berunsur politik.
“Saya tidak mahu bagi sebarang komen, ini (berunsur) politik,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Utusan Malaysia - 19 Jun 2007.


Bagi pendapat saya jika sesuatu negeri itu indeks jenayahnya tinggi dan tidak terkawal, pihak yang paling patut ditukarkan sekali ialah Menteri Besarnya sendiri kerana sebagai ketua kerajaan negeri beliau gagal dalam usaha membendung kadar jenayah di negeri bawah pentadbirannya. Atau rakyat negeri itu sendiri yang patut menukar parti pemerintah dalam pilihanraya yang akan datang. Maksud gagal dalam membendung kadar jenayah di sini termasuklah tidak melaksanakan peraturan yang diturunkan oleh Allah yang kita tidak boleh dinafikan keberkesanannya dalam membendung jenayah.

Jika kita lihat negeri-negeri antara yang tersenarai sebagai kadar jenayah tertinggi itu adalah negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang kita maklum tiada usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam. Sedangkan Negeri Kelantan di bawah Pas walaupun tidak dapat melaksanakan hukum Islam sepenuhnya namun atas usaha pemerintah negeri berkenaan maka kadar jenayah di negeri itu dicatatkan antara yang terendah di negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 1:04 PM   0 comments

Monday, June 18, 2007

Isu wanita menyertai sukan Tomoi

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Ketua Penerangan Umno Kelantan membidas kerajaan Pas Kelantan yang kononnya tidak konsisten apabila membenarkan wanita menyertai sukan Tomoi atau Muay Thai.

UMNO Kelantan mempersoalkan sikap kerajaan Pas yang tidak konsisten apabila membenarkan wanita bergiat dalam sukan tomoi sedangkan pada suatu ketika ia dianggap ganas dan bertentangan dengan fitrah wanita.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad berkata, mengapa baru sekarang pimpinan negeri menyedari kebaikannya dengan memberi pelbagai alasan untuk mewajarkan keputusan yang dibuat itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut mempersoalkan, jika tomoi dibenarkan untuk wanita, anehnya mereka masih diharamkan daripada menyertai tilawah al-Quran, sedangkan ia begitu banyak membawa kebaikan dan membaca kitab suci sudah sebati dengan kehidupan rakyat.
“Jika perempuan boleh sertai tomoi sedangkan ia juga melibatkan aurat dan dipertontonkan, kenapa pula suara wanita dikatakan aurat semasa memperdengarkan bacaan al-Quran. Utusan Malaysia - 18 Jun 2007.


Nampaknya Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad membayangkan pertandingan Tomoi di Kelantan itu sama seperti pertandingan Tomoi dalam filem Ong Bak yang penuh dengan keganasan tanpa batasan dan tidak mempunyai peraturan. Jika kita lihat pula dalam laman web Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Fatah Mahmood telah pun menggesa semua pengiat sukan Boksing dan Tomoi bertujuan untuk memastikan aspek keselamatan sukan tersebut terjamin.

Beliau berkata peraturan berkenaan diperkenalkan setelah kerajaan Kelantan membenarkan sukan boksing diadakan di negeri ini.‘‘Kerajaan negeri telah meluluskan sukan Boksing sejak Januari lepas. Peraturan ini bukan hendak menyekat kebebasan untuk menganjurkan boksing tetapi ia bertujuan memastikan aspek keselamatan dan kebajikan peserta boksing,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Abdul Fatah berkata, setiap persatuan atau individu yang ingin menganjurkan pertandingan sukan tersebut perlu mendapatkan surat sokongan daripada Persatuan Boksing Kelantan (PBK) sebelum mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sumber - http://www.husammusa.com/modules/news/article.php?storyid=41

Jadi ini bermakna ianya sama sahajalah dengan sukan mempertahankan diri yang lain seperti Silat dan Teak Kwan Do yang tiada masalah untuk golongan wanita menyertainya. Kerana apabila sudah didaftarkan, tambahan lagi bawah kawalan kerajaan negeri Kelantan maka sudah tentulah garis panduan dan peraturan akan diberikan agar penyertaan golongan wanita ini tidak sampai melanggar syarak.

Di sini Mohd Alwi tidak boleh menyamakan ianya dengan larangan kerajaan negeri terhadap golongan wanita yang menyertai pertandingan tilawah al quran kerana pertandingan tilawah yang dianjurkan oleh kerajaan pusat itu diadakan secara terbuka dan alunan suara mereka boleh didengari oleh ramai yang bukan muhrim. Maka tidak timbul di sini soal kerajaan Pas Kelantan tidak konsisten kerana apa sahaja yang mereka lakukan dan putuskan ianya masih lagi di bawah pertimbangan syarak.

posted by Lidah Penghunus @ 1:11 PM   0 comments

Sunday, June 17, 2007

Pemimpin kini yang serongkan DEB.

Assalamualaikum.

Merujuk kepada laporan akhbar di bawah ini;

Seorang penyelidik meminta ahli akademik di negara ini membuat kajian bagi mengubah persepsi serong orang ramai terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang merupakan cetusan idea perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak.
Dr. Rais Saniman, penyelidik di Institut Chr.Michelsen Bergen Norway berkata persepsi serong orang ramai tentang pelaksanaan DEB menyebabkan ia menjadi dasar ekonomi yang agak kontroversi sehingga hari ini.
“Kita ada ramai intelektual daripada banyak universiti yang boleh membuat kajian ini bagi mengikis persepsi negatif itu.
“Sebenarnya DEB mempunyai tujuh elemen utama tetapi tidak didedahkan dan orang ramai hanya tahu dua sahaja iaitu untuk menyusun semula masyarakat dengan membasmi kemiskinan dan untuk menjaga kepentingan orang Melayu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk “Pembentukan dan Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada Legasi Tun Abdul Razak” pada persidangan Legasi Tun Abdul Razak di sini hari ini. Utusan Malaysia - 17 Jun 2007.


Bagi saya DEB dipandang serong bukan kerana DEB itu sendiri. Tetapi kerana pemimpin yang selepasnya iaitu selepas era Allahyarham Tun Abdul Razak yang menyalahgunakan DEB ini untuk kepentingannya mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 11:30 PM   0 comments

Lapan perkara patut dielak ahli politik - Semua ada pada ahli Umno.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar mingguan hari ini Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menggariskan lapan perkara yang perlu dielakkan oleh ahli politik untuk memastikan mereka benar-benar mempunyai intergriti

Lapan perkara itu ialah tamak kuasa, dendam, kebencian, hasad dengki, ketaksuban kepada seseorang, oportunis, mementingkan diri dan politik wang.
Beliau berkata lapan perkara itu telah membuatkan ramai ahli politik hilang pertimbangan sehinggakan perjuangan mereka bercampur aduk dengan sikap mementingkan diri sendiri, pangkat serta kuasa sehingga menjejaskan parti dan negara.
“Setiap ahli politik perlu melihat ke dalam diri sendiri untuk melalui proses memperteguh nilai dan etika. Pembaharuan ini lah yang perlu diwujudkan supaya suasana politik kita lebih beradab,” katanya semasa merasmikan Forum Pemantapan Integriti Politik peringkat negeri di sini hari ini. Mingguan Malaysia - 17 Jun 2007.


Apabila kita teliti kelapan-lapan perkara yang disebut itu, ianya boleh dikatakan tiada pada ahli politik daripada Pas. Yang pertama yang disebutkan ialah tamak kuasa. Jika ada pada pemimpin Pas sudah tentu mereka akan masuk Umno kerana melalui Umno mereka mudah untuk mendapatkan kuasa tidak kira apa cara sekalipun. Dan bila sudah masuk Umno mereka bukan ahli Pas maka Pas sudah bersih daripada ahli atau pemimpin yang tamak kuasa.

Yang kedua ialah dendam. Pemimpin Pas tidak pernah berdendam dengan sesiapa hatta dengan seteru politik mereka dalam Umno. Buktinya Dato' Anwar Ibrahim yang dahulu dalam Umno teruk menghentam Pas namun apabila beliau dianiayai Pas sedia membantu beliau dan memaafkan beliau. Dan yang terkini Tun Dr Mahathir. Apa yang tidak pernah Tun buat kepada Pas pada era pemerintahannya. Namun kini Pas sedia meraikan kritikannya terhadap kepincangan dalam pentadbiran negara.

Yang ketiga ialah kebencian. Memang jika melalui ceramah dan penulisan nampak seolah-olah orang Pas ini benci sangat dengan orang Umno. Tetapi sebenarnya tidak, mereka ini sebenarnya sayang kepada mereka sebagai saudara seagama dan tidak mahu mereka menzalimi diri sendiri. Dalam kata yang lain Pas mahu memberi pertolongan dalam bentuk menghalang seseorang itu melakukan kezaliman termasuk menzalimi dirinya sendiri.

Yang keempat hasad dengki. Ahli politik Pas tidak pernah hasad dengki kepada sesiapa. Maka sebab itulah setiap kali pemilihan dalam Pas tiada pun berlaku perpecahan yang amat dahsyat. Yang kelima yang disebut oleh Ghani Othman tadi ialah ketaksuban kepada seseorang. Sejak ditubuhkan Pas sudah beberapa kali bertukar pucuk pimpinan termasuk Presiden, maka tidak timbul soal taksub pemimpin dalam Pas kerana yang penting adalah Islam yang diperjuangkan.

Yang keenam dan yang ketujuh iaitu oportunis dan mementingkan diri. Ahli politik yang mempunyai kedua-dua sifat ini tidak akan menyertai Pas kerana menyertai Pas memerlukan pengorbanan harta benda, wang ringgit dan masa. Dan yang terakhir yang disebut ialah politik wang. Pas telah melalui 53 kali muktamar dan sehingga kini tidak ada pun laporan tentang politik wang dan membeli undi dalam pemilihan yang diadakan.

Walaupun begitu suka juga saya sebutkan disini bahawa Pas ditadbir oleh manusia biasa yang tetap mempunyai kelemahan dan tidak sempurna dan Pas juga disertai oleh pelbagai golongan manusia. Maka di situ akan ada juga timbul sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi pada segelintir ahli Pas. Namun kita percaya sebagai parti yang memperjuangkan Islam, Allah tetap akan memelihara parti Islam ini dengan menapis dan mengasingkan golongan-golongan yang mempunyai kelapan-lapan sifat itu tadi. Semoga kita dalam Pas ini terlepas daripada 'tapisan'

posted by Lidah Penghunus @ 10:34 PM   0 comments

Saturday, June 16, 2007

Komentar tentang ura-ura untuk memindahkan UM ke Sepang

Assalamualaikum.

Sentuh sedikit berkenaan ura-ura untuk memindahkan kampus Universiti Malaysia di Kuala Lumpur ke Sepang, isu ini telah timbul sejak beberapa hari yang lalu dan telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada bloggers sendiri. Akhbar Utusan Malaysia hari ini di muka hadapan akhbar berkenaan, ahli lembaga pengarah UM sendiri turut menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan yang dilihat bermotifkan kepentingan korporat ini. Malahan dalam akhbar yang sama bekas canselor UM, Profesor di Raja Ungku Aziz menyifatkan cadangan ini sebagai gila dan kurang ajar;

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Aziz menyifatkan cadangan untuk membeli dan membangunkan tapak UM sebagai suatu yang ‘gila dan kurang ajar’.
Malah tegasnya, pihak-pihak terbabit langsung tidak mempunyai sifat patriotik kerana sanggup menawarkan harga bagi khazanah negara yang tidak ternilai itu.
‘‘Ini suatu cadangan yang gila. Individu tersebut fikir dia boleh beli apa sahaja yang dia mahu kerana ada banyak wang. Saya sendiri tak kenal orang yang cuba berbuat demikian.
‘‘Saya tidak fikir mana-mana universiti di luar negara sanggup dibeli oleh mana-mana individu hanya untuk kepentingan peribadi mereka kerana mereka sangat menghargai gedung ilmu,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, Ungku Aziz menyeru semua graduan universiti berkenaan bersatu hati menentang sekeras-kerasnya cadangan tersebut.
‘‘Semua pihak perlu bangkit dan memainkan peranan bagi mempertahankan maruah Universiti Malaya.
‘‘Saya juga berharap perkara ini juga ditentang oleh pemimpin tertinggi kita. Kita harus bersama-sama mempertahankan maruah negara,’’ Utusan Malaysia - 16 Jun 2007.


Saya sendiri juga memang sependapat dengan mereka yang membantah cadangan pemindahan ini. Jika dikira daripada sudut kacamata saya sendiri, UM, universiti tertua di negara ini yang dianggap oleh Ungku Aziz sebagai khazanah negara ini mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi kepada kita. Di sanalah bermulanya medan intelek pada awal-awal selepas kemerdekaan negara dan di kampus UM inilah bermulanya era perjuangan mahasiswa di negara kita, menyaksikan golongan intelek muda negara bangkit memperjuangkan pelbagai isu antaranya isu Bahasa Melayu, ketuanan Islam, isu luar sempadan negara dan isu masyarakat luar bandar. Maka di kampus UM inilah pernah bergemanya slogan-slogan seperti "Mahasiswa bersama masyarakat", "Mahasiswa jurubicara umat" dan pelbagai lagi slogan yang memperlihatkan keberadaan golongan mahasiswa di tengah-tengah masyarakat.

Bila memerkatakan tentang UM ini kita juga tidak terlepas untuk memperkatakan tentang masjidnya iaitu Masjid ar-Rahman. Seperti juga UM masjid ini memiliki sejarahnya yang tersendiri terutama sekali yang menyentuh tentang kebangkitan mahasiswa di UM. Masjid ar-Rahman inilah yang telah menjadi saksi kebangkitan mahasiswa yang diterjemahkan dalam bentuk tunjuk perasaan atau demonstrasi bagi membantah sesuatu isu dan juga telah menyaksikan perit jerih golongan mahasiswa berhadapan dengan pasukan keselamatan yang menyuraikan penunjuk perasaan. Demonstrasi ini juga menjadi ruang untuk mahasiswa UM bersama-sama masyarakat luar memperjuangkan sesuatu isu.

Maka pada saat negara kita akan mengadakan ulangtahun kemerdekaan genap 50 tahun ini adalah tidak patut untuk kampus UM ini dipindahkan ke nun jauh di Sepang sana dan tempatnya di'rampas' untuk memenuhi agenda kaum kapitalis. Kita minta agar kampus UM ini terus berada berhampiran ibu kota. Biarkanlah mahasiswa UM terus berada di tengah-tengah masyarakat bandar yang terdiri daripada pelbagai golongan agar mereka dapat menjiwai dan turut merasai keperitan yang dirasai oleh masyarakat marhain ini dan seterusnya turun untuk memperjuangkan nasib mereka.



PEMBERITAHUAN : Untuk makluman, saya yang memakai nama pena atau nickname Lidah Penghunus setakat ini hanya memiliki dan mengendalikan dua buah laman blog sahaja iaitu
Hunusan Lidah http://www.lindunganbulan.blogspot.com dan Pentas Karya http://www.karyamuslim.blogspot.com
Maka jika ada mana-mana LAMAN BLOG yang menggunakan nama Lidah Penghunus maka ianya bukan daripada saya. HARAP MAKLUM.

posted by Lidah Penghunus @ 2:26 PM   1 comments

Friday, June 15, 2007

Impian Pak Lah

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini saya ingin menyentuh sedikit tentang apa yang dikatakan impian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelang ulangtahun ke-100 kemerdekaan negara yang diucapkan beliau dalam menyampaikan ucaptama bertajuk Menoleh Ke belakang, Bergerak Ke Depan: 50 Tahun Perniagaan di Malaysia;

Impian Perdana Menteri 50 tahun nanti ialah Malaysia melahirkan pemenang hadiah Nobel, syarikat yang benar-benar global, dihormati dan memasarkan jenama terkenal, mempunyai penyair dan artis diiktiraf dunia, memiliki paten saintifik terbesar di dunia, ahli sukan terkemuka, malah skuad bola sepak terbaik di Asia.
Pelajar dan profesor negara ini pula akan menguasai universiti terkemuka dunia, manakala universiti tempatan akan menjadi pusat kecemerlangan untuk cendekiawan antarabangsa.
“Kita akan menjadi perintis tenaga alternatif, lahir daripada kelebihan kita dalam biofuel. Bandar raya kita paling ceria dengan gabungan kemudahan kosmopolitan yang bertunjangkan masyarakat adil dan bertolak ansur. “Kemunculan kuasa-kuasa ekonomi serantau tidak menjadikan kita lalai, sebaliknya mendorong kita mencari kelebihan untuk bersaing dan menerajui banyak industri strategik. Kita menjadi hab logistik sebenar, pusat kewangan Islam terkemuka dan tempat rujukan global bagi bioteknologi dan pertanian moden.
“Inilah Malaysia yang saya impikan pada 2057. Inilah apa yang saya maksudkan terbilang. Seratus tahun merdeka, seratus tahun kemajuan,” Berita Harian – 15 Jun 2007.

Apa yang yang kita nampak tentang impian Pak Lah ini ianya tidak pun menyentuh berkenaan masa hadapan akidah dan akhlak generasi Islam di negara kita. Tidak pun Pak Lah sebagai pemimpin negara risau apa akan jadi pada generasi umat Islam di negara kita 50 tahun lagi memandangkan keadaan generasi anak muda Islam ketika ini yang makin teruk.

Berkenaan isu yang sama juga akhbar Utusan Malaysia hari ini memetik ucapan Perdana Menteri seperti di bawah ini;

‘‘Saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya, untuk anda mendebatkannya dan untuk anda memutuskan.
‘‘Saya telah membuat keputusan bahawa apa sahaja yang saya lakukan hari ini, ia hendaklah untuk generasi Sentenial yang kaya di minda dan juga semangat,” kata Perdana Menteri. Utusan Malaysia – 15 Jun 2007.

Jika Perdana Menteri menyerahkan kita kepada rakyat untuk membuat keputusan sudah tentulah terlebih dahulu kita akan memutuskan untuk menukar kerajaan yang ada dalam pilihanraya yang akan di adakan. Kerana untuk mencapai seperti apa yang diimpikan oleh Pak Lah itu ianya tidak boleh hanya sekadar impian semata-mata dan ianya juga adalah mustahil untuk dicapai jika kita masih lagi berada di bawah kerajaan yang rosak yang dipimpin oleh Pak Lah ini. Yang paling penting agar persoalan akidah dan akhlak umat Islam turut dititik berat oleh pemerintah di negara kita.

posted by Lidah Penghunus @ 4:39 PM   0 comments

Thursday, June 14, 2007

Berkenaan Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007

Assalamualaikum.

saya agak tertarik untuk menyentuh tajuk akhbar hari ini berkenaan salah satu kertas kerja yang dibentangkan pada Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007 yang menyeru agar institusi masjid di negara ini mencontohi Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah;

Institusi masjid di Malaysia perlu menjadikan Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah sebagai contoh bagi menguruskan rumah Allah pada tahap terbaik dan berkualiti untuk menarik umatnya memakmurkan masjid.
Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Nik Azis Nik Pa, berkata keunggulan kedua-dua masjid itu sukar dinafikan kerana pelbagai kekuatan yang dimilikinya tiada tandingan dengan masjid di negara lain.“Lapan prinsip menonjolkan wajah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang mesti dijadikan contoh oleh semua institusi masjid dalam negara ini jika ingin masjid menjadi sumber kekuatan umat
Nik Azis berkata, prinsip pertama ialah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sangat indah suasana dan persekitarannya pada waktu malam yang sentiasa memukau kehadiran makmum untuk menunaikan kewajipan.
“Kebersihan sentiasa terpelihara biarpun dengan kehadiran begitu ramai orang adalah prinsip kedua, manakala ketiga pula ialah kecanggihan sistem audio visual yang digunakan termasuk pembesar suara di setiap penjuru masjid."
“Ketinggian mutu bacaan al-Quran di kalangan imam bertugas sama ada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tiada sesiapa dapat menafikannya. Ini ditambah dengan kefasihan sebutan bahasa Arab ketika membaca khutbah, doa dan hadis,"
Nik Azis berkata, kedua-dua masjid berkenaan dihadiri jemaah yang begitu ramai, diikuti kemudahan tandas yang banyak dan sentiasa bersih.
“Prinsip terakhir ialah kemudahan air minuman bersih seperti air zam zam menambah tarikan daripada semua jemaah sama ada tempatan dan luar,” Berita Harian - 14 Jun 2007.

Apa yang saya lihat hampir kesemua lapan prinsip yang disebutkan oleh pembentang kertas kertas kerja itu tadi ada pada masjid-masjid di negara kita. Jika hendak sebut tentang keindahan dan kebersihan, negara kita mempunyai banyak masjid-masjid yang mempunyai binaan yang serba indah dan cantik dipandang sama ada pada waktu siang atau pun malam. Malahan ada masjid yang dibina hampir menyerupai Masjid Nabawi di Madinah dan bersama-sama dengan keindahan masjid ini ialah sistem audio visualnya yang canggih di setiap penjuru masjid.

Jika hendak sebut tentang ketinggian mutu serta kefasihan imam membaca Quran pula rasanya semua mengakui bahawa imam-imam masjid lulusan timur tengah di negara kita mampu untuk meniru dengan lebih baik gaya bacaan qari atau imam Mekah dan Madinah. Siapa tidak kenal Qari Abdul Rahman Sudais dan Saad al Ghamidi. Alunan suara bacaan al quran mereka bergema di masjid-masjid di Malaysia pada waktu solat Subuh, Maghrib, Isya' dan tidak ketinggalan Solat Jumaat seolah-olah mereka yang mengimami solat di masjid-masjid tersebut.

Kesimpulannya masjid-masjid di negara kita memang sudah cukup indah serta canggih. Namun seperti yang disebut dalam hadis akhir zaman masjid-masjid yang tersergam indah ini banyaknya tidak diimarahkan dan begitu sukar untuk menarik penduduk sekitar untuk solat berjemaah. Antara sebabnya kekangan daripada pentadbiran jabatan agama sendiri yang menyekat majlis-majlis ilmu oleh mereka yang tidak mengikut selera pemerintah. Ada masjid-masjid yang agak lantang akan dirampas oleh jabatan agama negeri yang akhirnya akan memalapkan aktiviti masjid berkenaan. Masjid-masjid ini mempunyai imam yang petah serta lantang berkhutbah namun teks khutbahnya pula dikawal oleh pemerintah, akibatnya khutbah menjadi hambar dan mendorong jemaah untuk terlena.

Sepatutnya dalam mengembalikan kegemilangan masjid-masjid di negara kita maka ianya perlulah dibiarkan untuk menjadi pusat penyampaian ilmu Islam yang menyeluruh, tempat untuk menyampaikan kebenaran dan melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar. Khutbah Jumaat seharusnyalah menjadi medan untuk menegur tentang kepincangan yang berlaku dalam masyarakat termasuklah kepincangan yang dilakukan oleh pemerintah agar ianya menjadi peringatan kepada mereka.

Di sini juga saya agak tertarik dengan laporan satu lagi akhbar perdana yang juga menyentuh berkenaan Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan 2007;

Seramai 3,900 imam, kebanyakannya imam-imam pertama masjid di seluruh negara hadir pada muzakarah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu.
Selain forum dan dialog, mereka turut dibawa melawat lokasi menarik dan bersejarah sekitar ibu negara dengan menaiki 80 buah bas.
Muzakarah berkenaan dianjurkan bersama oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Sekretariat Islam Hadhari (Projek Khas Perdana Menteri). Utusan Malaysia - 14 Jun 2007.


Nampaknya di sebalik Muzakarah Imam Peringkat Kebangsaan di adakan, ianya juga sebenarnya bertujuan untuk melahirkan imam-imam yang berjiwa serta mendokong Islam Hadhari yang di bawa oleh Pak Lah.

posted by Lidah Penghunus @ 3:03 PM   0 comments

Wednesday, June 13, 2007

PPP pun mahu guna Islam.

Assalamualaikum.

Sebagaimana yang kita tahu sebelum ini Umno telah pun mempergunakan Islam yang diberi nama Islam Hadhari dalam usaha parti Melayu itu untuk menyaingi Islam yang diperjuangkan oleh Pas dan seterusnya menarik sokongan rakyat yang cenderung kepada Islam. Kini Parti Progresif Penduduk atau PPP pula berminat untuk menggunakan Islam dalam usaha parti komponen BN itu menarik sokongan pengundi beragama Islam di negara ini

Parti Progresif Rakyat (PPP) yang dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai parti berbilang kaum akan menubuhkan Biro Agama Islam bagi mendapatkan sokongan lebih meluas di kalangan rakyat.
Keputusan dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu pada 25 Mei lalu dengan Pengerusi PPP Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof dilantik sebagai pengerusi biro tersebut.
Nik Sapeia memberitahu Utusan Malaysia, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu bagi memperlihatkan PPP sebagai sebuah parti berbilang kaum yang akan sentiasa menghormati dan mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Utusan Malaysia - 13 Jun 2007.


Yang lebih menarik lagi ialah mengenai kenyataan di bawah ini;

Katanya, sebagai langkah awal PPP Kelantan berhasrat menubuhkan Institut Haqiqat Islam bagi mendidik dan memberi kefahaman tentang ajaran Islam sebenar yang selama ini kerap dipesongkan oleh mereka yang berkepentingan. Utusan Malaysia - 13 Jun 2007.

Nampaknya PPP yang baru belajar berjinak dengan Islam itu cuba untuk mengajar rakyat khususnya di Kelantan tentang Islam yang sebenar dan seterusnya memberitahu rakyat di negeri Serambi Mekah itu kononnya Islam yang diperjuangkan oleh Pas Kelantan adalah Islam yang terpesong. Ini samalah dengan Umno Kelantan yang merasakan bahawa slogan Manhaj Islam Hadhari mereka adalah lebih baik daripada slogan Membangun Bersama Islam yang di bawa oleh Kerajaan Pas Kelantan selama ini.

Jika benar usaha mereka untuk memasukkan Islam dalam agenda perjuangan, mereka seharusnyalah belajar daripada mereka yang benar-benar memperjuangan Islam dan perjuangan mereka itu terbukti dilaksanakan seperti di Kelantan. Namun di sini jelaslah bahawa semuanya itu hanyalah kepentingan politik semata-mata. Datuk Nik Sapeia Nik Yusof sebagaimana yang kita maklum sebelum ini pernah terlibat dengan serangan pemedih mata ke atas Tun Dr Mahathir ketika beliau Di Kelantan dan Tun juga sebelum ini pernah menyatakan hasrat beliau agar Kelantan terus kekal di bawah Pas.


PEMBERITAHUAN : Untuk makluman saya yang memakai nama pena atau nickname Lidah Penghunus setakat ini hanya memiliki dan mengendalikan dua buah laman blog sahaja iaitu Hunusan Lidah http://www.lindunganbulan.blogspot.com dan Pentas Karya http://www.karyamuslim.blogspot.com
Maka jika ada mana-mana LAMAN BLOG yang menggunakan nama Lidah Penghunus maka ianya bukan daripada saya. HARAP MAKLUM.

posted by Lidah Penghunus @ 3:05 PM   0 comments

Monday, June 11, 2007

KL banjir besar.

Assalamualaikum.

Semalam Kuala Lumpur telah dilanda banjir yang dikatakan sebagai yang terburuk sejak tahun 2003 yang hampir melumpuhkan kota Kuala Lumpur sebagai pusat bandaraya.

Hampir keseluruhan pusat bandar raya lumpuh berikutan hujan lebat hampir empat jam petang semalam, menyebabkan laluan utama dan kawasan sekitarnya ditenggelami air sedalam 1.8 meter dan tiga meter.
Antara kawasan terbabit ialah stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Jalan Perak, dan Jalan Pinang, Kampung Baru, Jalan Tun Razak, Jalan P Ramlee, Jalan Kolam Air, di Setapak.

Kampung Baru, Sentul, Jinjang Selatan dan Segambut adalah kawasan paling teruk dilanda banjir apabila hujan berterusan dari jam 5 petang hingga 9 malam.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata banjir yang melanda kali ini adalah yang terburuk sejak kali terakhir dialami pada 2003 apabila lebih 30 kawasan, termasuk pusat bandar raya ditenggelami air. Berita Harian - 11 Jun 2007.

Jika akhbar semalam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa menggesa Kerajaan Negeri Kelantan melupuskan hutang tertunggak rakyat negeri itu atas dakwaan perkhidmatan yang kurang memuaskan. Di Kuala Lumpur ini bukan sekali dua berlakunya banjir kilat maka pihak DBKL juga mungkin patut melupuskan segala hutang-piutang warga KL yang berkaitan dengan cukai pintu dan sebagainya atau menurunkan kadar cukai atau caj yang dikenakan ke atas warga kota.

posted by Lidah Penghunus @ 2:22 PM   0 comments

Sunday, June 10, 2007

Majlis akad nikah Pak Lah sudah selesai, kompang pilihanraya sudah pun berbunyi.

Assalamualaikum.

Semalam 9 jun 2007 selesailah sudah satu upacara yang ditunggu-tunggu dengan penuh debar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi termasuk kalangan rakyat Malaysia sendiri iaitu upacara akad nikah Pak Lah dengan wanita pilihannya, Datin Seri Jeanne Abdullah. Seperti biasa berita tentang pernikahan Pak Lah ini menjadi tajuk utama akhbar-akhbar perdana di negara ini dan hampir dua muka surat dipenuhi dengan berita tentang pernikahan Perdana Menteri ini.

Namun apabila kita membuka lembaran yang berikutnya pula kita akan bertemu berita-berita yang menyentuh tentang pilihanraya sebagai isyarat kepada kita bahawa 'kompang' pilihanraya sudah berbunyi. Antara yang menarik untuk saya sentuh berkenaan laporan pada akhbar ini, yang pertama ialah tentang berita di bawah ini;

Terengganu bakal muncul sebagai kubu terkuat Barisan Nasional (BN) dalam tempoh dua penggal akan datang berdasarkan hasil kajian peningkatan sokongan di kalangan rakyat negeri ini.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata hasil kajian mendapati undi popular mampu meningkat lebih lima peratus setiap kali pilihan raya umum diadakan sehingga mampu mencecah 70 peratus dalam tempoh berkenaan.Beliau berkata, dalam tempoh tiga penggal pemerintahan semula BN, parti dijangka mampu meningkatkan undi popular sebanyak 20 peratus berbanding 50 peratus sebelum Pilihan Raya Umum ke-11, Mac 2004.

Katanya, berdasarkan kajian dilakukan pakar perunding, undi popular yang diraih ketika ini iaitu 56 peratus dijangka terus meningkat kepada lebih 60 peratus pada pilihan raya umum akan datang.
"Beri masa tiga penggal, kepemimpinan akan menjadikan Terengganu negeri terkuat untuk BN. Berita Minggu - 10 Jun 2007.

Nampaknya baru sahaja sekali dapat merampas Terengganu daripada Pas pada tahun 2004, BN dan Umno Terengganu sudah berangan-angan untuk menjadi kubu kuat BN di negara ini. Selalunya jika sebut sahaja kubu kuat BN khususnya Umno, kita akan memandang kepada negeri Johor iaitu negeri kelahiran Umno sendiri dan dikatakan sebagai Umno yang terkuat di dunia. Malahan sampai ada yang mengatakan jika letak Perdana Menteri Israel sendiri bertanding sebagai calon Umno pun tetap akan menang menunjukkan betapa kuatnya Umno di sana. Maka oleh kerana itulah Johor digelar kubu kuat Umno, tambahan lagi negeri berkenaan belum pernah diambil alih oleh mana-mana parti pembangkang.

Sedangkan negeri Terengganu pernah jatuh ke tangan Pas pada tahun 1999 dan pada masa kini pun beberapa Dun negeri berkenaan masih lagi dipunyai oleh wakil pembangkang. Jadi bagaimana Terengganu boleh bermimpi untuk menjadi kubu kuat BN? Sedangkan Selangor yang lebih tiga penggal diperintah oleh Umno Selangor itu juga tidak berangan-angan untuk menjadi kubu kuat BN. Adakah kita boleh percaya tentang kajian saintifik yang didakwa oleh mereka itu sedangkan apabila sahaja Terengganu jatuh kembali ke tangan BN, keistimewaan yang diperolehi oleh rakyat Terengganu ketika pemerintahan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ditarik balik oleh kerajaan Umno Terengganu dan akibatnya rakyat kembali dihimpit kesusahan dan ianya ditambah lagi dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan. Atau mungkinkah angan-angan BN Terengganu ini hanya bersandarkan kepada taktik pengundi hantu yang akan mereka laksanakan untuk mempertahankan Umno Terengganu pada pilihanraya umum ke-12 ini.

Yang kedua yang ingin saya sentuh ialah berkenaan Umno Kelantan. Dalam akhbar yang sama Umno Kelantan di bawah pimpinan Datuk Annuar Musa telah melancarkan slogan "Manhaj Islam Hadhari, Kelantan Mithali" bagi menyaingi slogan "Membangunan Bersama Islam" oleh kerajaan Pas Kelantan dan seterusnya merampas negeri berkenaan pada pilihanraya umum akan datang. Nampaknya jelas sekali lagi di sini bahawa Islam Hadhari menjadi alat untuk menyaingi Islam yang di bawa oleh Pas. Adalah amat malang apabila Islam yang dilaksanakan di Kelantan yang sungguh cantik dan sempurna yang turut memberi jaminan keselamatan kepada rakyat bukan beragama Islam tiba-tiba hendak diambil alih oleh konsep Islam Hadhari yang serba caca marba itu.

Yang lebih menarik ialah berkenaan istilah manhaj iaitu istilah yang biasa digunakan dalam sesebuah gerakan Islam turut dimasukkan dalam slogan Islam Hadhari itu. Jelasnya di sini bahawa Umno kini telah cuba untuk menggunakan perkataan-perkataan yang biasa digunakan oleh Pas bertujuan menarik sokongan rakyat. Jika tuan-tuan perasan istilah-istilah ini telah pun digunapakai dalam media-media cetak atau elektronik yang dikawal oleh mereka. Yang terbaru TV9, stesyen TV di bawah Media Prima yang terlibat dengan Jom Heboh, Rancangan realiti Bintang Kecil kini turut memasukkan rancangan yang dinamakan Usrah dalam siaran mereka.

Kesimpulannya di sini, apapun slogan yang mereka gunakan, istilah apapun yang mereka gunapakai, kita sudah sedia maklum bahawa ianya tidak sedikit pun membawa kepada Islam yang menyeluruh, malahan lagi jauh kepada Islam itu sendiri. Realitinya pun kita sudah lihat, Johor yang baru sahaja dilanda bencana banjir, pada malam ini rakyatnya akan membanjiri acara Jom Heboh bagi menyaksikan pertujukkan artis yang telah diharamkan oleh mufti.

PEMERITAHUAN : Untuk makluman saya yang memakai nama pena atau nickname Lidah Penghunus setakat ini hanya memiliki dan mengendalikan dua buah laman blog sahaja iaitu Hunusan Lidah http://www.lindunganbulan.blogspot.com dan Pentas Karya http://www.karyamuslim.blogspot.com
Maka jika ada mana-mana LAMAN BLOG yang menggunakan nama Lidah Penghunus maka ianya bukan daripada saya. HARAP MAKLUM.

posted by Lidah Penghunus @ 3:55 PM   1 comments

Wednesday, June 06, 2007

Pak Lah masih lagi belum temui 'al Ghazali'

Assalamualaikum.

Bercerita lagi tentang perkahwinan Pak Lah yang menjadi tajuk utama berita TV tadi. Apabila melihat sahaja Jeanne Abdullah wanita yang bakal menjadi isteri Pak Lah. Rupa-rupanya Pak Lah masih lagi belum menemui 'al Ghazali' yang dicari-carinya selama ini.

Wanita yang akan dikahwininya ini masih juga wanita yang tidak bertudung, tidak menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam. Ini bermakna Pak Lah akan meneruskan tradisi Perdana Menteri di Malaysia yang isterinya tidak menutup aurat.

Dalam berita TV pukul 8 malam tadi, Pak Lah turut memberitahu wartawan mengapa beliau memilih Jeanne Abdullah sebagai teman hidupnya. Yang pastinya ciri-ciri isteri solehah tiada dalam agenda pemimpin negara umat Islam ini dalam mencari pasangan hidup.

Maka benarlah firman Allah dalam al quran bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat.

posted by Lidah Penghunus @ 10:03 PM   0 comments

Perdana Menteriku Kahwin lagi

Assalamualaikum.

Sedang saya belek-belek laman web akhbar The Star, tiba-tiba bebola mata saya tertarik kepada satu tajuk berita mutakhir akhbar berkenaan;

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi will tie the knot with Jeanne Abdullah.
In a statement, the Prime Minister's Office said the solemnisation ceremony (akad nikah) will be held on Saturday (June 9) at Seri Perdana, to be attended by close family members. The Star - 6 Jun 2007.

Mula-mula tu susah juga saya hendak percaya, maklum sajalah akhbar-akhbar jenis ini. Baru tadi seorang rakan memberitahu tentang berita ini yang beliau lihat pada berita 1.30 tengah hari. Jika benarlah perkara ini bagi saya ianya memang baguslah. Pak Lah pun sudah hampir dua tahun hidup tanpa kehadiran orang yang bergelar isteri di sisi.

Maklum sajalah tugas sebagai Perdana Menteri ini amat berat. Maka amat perlulah kehadiran seorang isteri untuk menguruskan kehidupan suami di rumah, menjadi teman penawar segala kegusaran di hati dan seterusnya akan menjadi pembakar semangat kepada suami untuk terus bekerja
Lepas ni bila sudah ada isteri kita tidak mahu dengar lagilah Pak Lah tidur lagi.


Gambar ini dipetik daripada Blog Kickdefella http://kickdefella.wordpress.com/

posted by Lidah Penghunus @ 4:24 PM   0 comments

Tuesday, June 05, 2007

Pak Lah tegur kakitangan awam gagal hafal lagu Cemerlang, Gemilang, Terbilang

Assalamualaikum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegur segelintir kakitangan awam yang masih tidak dapat menghafal lagu Cemerlang, Gemilang, Terbilang yang sering kali dinyanyikan pada majlis-majlis rasmi kerajaan.
Beliau berkata, walaupun makin ramai yang menghafalnya, masih ada segelintir yang tidak menyanyikan lagu itu.
‘‘Saya perhatikan bila nyanyi lagu ini, makin ramai yang dah hafal, tapi masih ada lagi yang tak nyanyi, senyap saja.
‘‘Nyanyian ini bukan haram, bukan ditegah. Seni katanya pun bukan seni kata yang kotor tetapi sebagai satu peringatan kepada kita dalam nada menggembirakan dan memudahkan seseorang itu menghayati setiap perkataan dalam lagu itu,” Utusan Malaysia - 5 Jun 2007.


Bagi saya antara sebab mengapa segelintir kakitangan ini gagal menghafal lagu Cemerlang, Gemilang, Terbilang yang pertamanya kerana Mereka telah sekian lama dihidangkan dengan lagu-lagu yang bertemakan cinta yang melalaikan dan melemahkan semangat oleh itu mereka lebih suka menghafal lagu-lagu daripada artis-artis ternama yang dilahirkan oleh Akademi Fantasia, Bintang RTM dan sebagainya ini.

Yang keduanya bagaimana mereka hendak menghafal lagu yang melaungkan slogan Cemerlang, Gemilang, Terbilang sedangkan realiti yang mereka nampak dalam kerajaan pentadbiran Pak Lah ialah Cemerlang, Temberang dan Tembelang. Di sini tidak perlulah saya ulang lagi kecurangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional pimpinan Pak Lah ini.

Di sini memang betullah bahawa nyanyian itu selagi tidak bercanggah dengan Islam ianya tidak haram, apatah lagi jika mesejnya memberikan semangat kepada kita untuk menuju kejayaan. Namun dalam pada itu sebagai pemimpin kepada negara umat Islam Pak Lah juga haruslah mengingatkan rakyatnya dan juga kakitangan awam yang beragama Islam agar sekurang-kurangnya menghafal doa-doa harian, asma al husna, ayat-ayat lazim agar ianya menjadi benteng kepada mereka daripada melakukan penyelewengan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:16 PM   0 comments

Monday, June 04, 2007

Dari Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia - Pi mai pi mai tang tu

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin memberitahu bahawa penggunaan nama Bahasa Melayu yang telah sekian lama digunakan di negara kita akan ditukar kembali kepada nama Bahasa Malaysia yang mula-mula digunakan selepas merdeka dahulu.

In a unanimous decision last April, the Cabinet felt that reverting to the term Bahasa Malaysia would help inculcate a sense of belonging for all citizens irrespective of race
All ministries, public universities and local institutions of higher learning have been directed to inform their relevant departments and agencies to begin using the term Bahasa Malaysia in letters, notices and documents with immediate effect. The Star - 4 Jun 2007.

Bagi saya berkenaan cadangan ini tidak ada masalah sebenarnya untuk memakai mana-mana jenama sekalipun. Jika hendak memakai nama Bahasa Melayu memang tiada masalah kerana dari segi sejarahnya bahasa ini telah digunakan oleh rumpun Melayu sekian lamanya dan jika hendak dijenamakan kembali dengan Bahasa Malaysia pun tiada masalah kerana ianya telah pun menjadi bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara ini.

Cumanya tukarlah dengan apa jenama sekalipun namun ianya tidak bermakna jika tiada usaha yang serius ke arah pemerkasaannya. Contohnya yang paling jelas kerajaan sendiri menafikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Walaupun telah banyak desakan daripada pelbagai pihak termasuk aktivis bahasa agar hak Bahasa Melayu ini dikembalikan namun sehingga kini kerajaan masih berdegil.

Contoh lain yang boleh kita lihat ialah dalam penjenamaan model kereta kebangsaan. Jika dahulu nama-nama yang bercirikan Malaysia seperti Saga, Wira, Satria, kancil dan Rusa menjadi lambang imej kereta kebanggaan negara kita. Namun hari ini ianya tidak lagi, nama-nama yang asing bagi kita seperti MyVi, Savvy sudah mengambil tempat sebagai jenama model kereta buatan negara kita.

Jadi jika kerajaan sendiri sudah menunjukkan kecenderungan mereka untuk merendah-rendahkan kebolehan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin mereka boleh menyemai perasaan sayangkan bahasa kebangsaan di hati rakyat. Bak kata orang utara semenanjung, tukarlah nama apa sekalipun, pi mai pi mai tang tu juga.

posted by Lidah Penghunus @ 1:03 PM   0 comments

Sunday, June 03, 2007

Berakhirnya Muktamar Pas kali ke-53. Perjuangan mesti diteruskan.

Assalamualaikum.

Setelah 3 hari berkampung di Kelantan akhir selesailah sudah muktamar tahunan bagi Gerakan Islam yang juga parti politik Islam tunggal di negara ini. Saya tidak terlibat dengan muktamar ini namun berpeluang mengikuti perkembangannya melalui media rasmi Pas dan turut juga mengikuti perkembangannya melalui kacamata media-media perdana negara.

Apa yang saya lihat sepanjang hampir lima hari muktamar termasuk muktamar pemuda dan muslimat ini ucapan-ucapan perwakilannya walaupun bersifat kritikan namun pada keseluruhannya ianya adalah untuk pemerkasaan parti. Sebagaimana yang disebut-sebut inilah bukti suburnya kebebasan bersuara dalam Pas.

Jika dilihat laporan media-media perdana terhadap muktamar Pas ini pula apa yang kita lihat mereka lebih suka melaporkan sesuatu yang dirasakan oleh mereka dapat menggambarkan kelemahan Pas kepada rakyat sedangkan sesuatu yang menarik iaitu ucapan kaum cina daripada Kelab Penyokong Pas dalam muktamar Pas tidak pun dilaporkan oleh mereka. Berkenaan ucapan mursyidul am Pas yang dilaporkan oleh sebuah perdana di bawah ini pula;

Pemimpin Umno menyifatkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa pengundi yang tidak memilih parti itu pada pilihan raya umum akan datang sebagai golongan sesat menuju jalan gelap sebagai gimik dan propaganda untuk mengelirukan orang Melayu.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sama ada seseorang umat Islam selamat di dunia dan akhirat bukan ditentukan Pas, tetapi kuasa Allah.

“Umno mempunyai kira-kira tiga juta ahli. Adakah Mursyidul Am Pas hendak menyatakan bahawa mereka semua sesat? Selagi berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman, individu itu adalah Islam.
“Bagaimana dia boleh berkata begitu. Adakah sebarang surah al-Quran menyuruh mengundi Pas dalam pilihan raya umum, baru selamat dunia dan akhirat,” Berita Harian - 3 Jun 2007.

Jika begitu kata Naib Presiden Umno, dalam al quran pun tidak pun disebut tentang pengharaman Carlsberg, Guinness Stout, nombor ekor Magnum dan Sport Toto dalam mana-mana surah pun. Sedang nama-nama yang disebut itu adalah jenama-jenama arak dan judi yang jelas diharamkan dalam al quran. Begitulah dengan Pas walaupun namanya tidak disebut dalam al quran namun ianya adalah gerakan Islam yang berusaha melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar serta melahirkan ciri-ciri pemimpin yang disebutkan dalam al quran dan hadis.

Akhir sekali tahniah kepada mereka yang dipilih menerajui saff kepimpinan Pas untuk 2007-2009. Tidak kira sama ada kalian ulama' atau profesional namun tugasan kalian adalah amanah yang besar untuk memacu sebuah gerakan Islam ke mercu kejayaan. Di atas kalian adalah Majlis Syura Ulama' yang akan sentiasa memantau perlaksanaan dasar Islam dalam Pas dan di bawah anda akan dibantu oleh ribuan pendokong yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk sama-sama menggerakkan Pas ini.

posted by Lidah Penghunus @ 2:56 PM   0 comments

Saturday, June 02, 2007

Muktamar Pas yang dilaporkan oleh media perdana

Assalamualaikum.

Yang pertamanya dilaporkan oleh sebuah akhbar perdana bahasa melayu yang melaporkan kononnya salah seorang perwakilan muktamar membidas golongan ulama' dalam Pas sendiri.

Golongan ulama dalam Pas dibidas kerana hanya pandai bercakap, tetapi tidak mendekati masyarakat serta mahir ilmu kehidupan pada zaman moden.Perwakilan Pulau Pinang, Zulkifli Abdul Talib, berkata kebanyakan mereka kini menyeleweng fakta tanpa berusaha memperluaskan ajaran Islam kepada masyarakat.
"Ulama perlu turun padang, bukan hanya tumpu di masjid dan surau untuk menerangkan kepada masyarakat yang masih tidak begitu faham mengenai ajaran Islam sebenar. “Kita perlukan ulama yang mahir ilmu moden dan bukan hanya pandai bercakap kerana sekarang ini ulama nak cari kedudukan dan pengaruh sehingga tidak menyampaikan ajaran Islam sebenar,
" katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib, sempena Muktamar Dewan Ulama Pas ke-46, yang berlangsung di Markas Dewan Ulama (Madu), dekat sini, semalam.Zulkifli turut mempersoalkan ulama didakwanya tidak berani berkorban untuk kepentingan agama kerana masing-masing takut menyampaikan kebenaran.
"Sebahagian ulama takut dengan ancaman. Kalau takut macam mana nak perjuangkan agama? Apa pengorbanan yang dilakukan pada jemaah kita? Ini yang perlu ditanya pada diri sendiri. Berita Harian - 1 Jun 2007.

Jika kita teliti ucapan perwakilan berkenaan ianya tidak pun ditujukan kepada ulama' Pas tetapi kepada kepada mereka yang kononnya mengaku ulama' tetapi takut untuk menyampaikan kebenaran dan yang lebih teruk sekali sanggup untuk bersekongkol dengan kerajaan yang zalim demi untuk keuntungan dunia.

Yang kedua pula sebuah akhbar perdana berbahasa inggeris cuba untuk mengelarkan golongan yang dilihat golongan muda dan profesional dalam Pas sebagai Turki Muda atau young turks.

The divide between the old guard and the young turks in PAS was visible on the sidelines of the party muktamar, which started here yesterday.
Dissenting voices were heard taking swipes at deputy president Nasruddin Mat Isa, who had proposed that more women be fielded as candidates at the next general elections.
Ironically, one of those opposing the move was Dewan Muslimat delegate from Perlis, Ramlah Idris, who said the men are traditionally better leaders than women. The Star - 1 Jun 2007.


Nampaknya media pengampu terus memainkan isu golongan ulama' dan golongan profesional dalam Pas, pelbagai label yang digunakan dan yang terkini akhbar The Star pula menggunakan label Turki Muda kepada mereka yang dianggap golongan profesional dalam Pas. Di sini jika hendak menggunakan label golongan Turki Muda dalam Pas ianya amatlah tidak bertepatan sekali. Jika kita lihat kembali sejarah, Turki Muda ini adalah perkumpulan yang ditubuhkan oleh Mustafa Kamal Attaturk untuk menjatuhkan kerajaan Khalifah Uthmaniah di Turki dan seterusnya menubuhkan sebuah negara sekular. Sebaik sahaja Kerajaan Uthmaniah berjaya dijatuhkan oleh Kamal Attaturk maka wujudlah sebuah negara sekular di bawah pemerintahan beliau yang mengharamkan azan dalam bahasa arab, mengharamkan pemakaian tudung dan pelbagai lagi kerosakan yang dilakukan.

Maka adalah tidak wajar untuk menyamakan mana-mana golongan dalam Pas dengan Gerakan Turki Muda ini kerana perjuangan Pas jelas adalah untuk memperjuangkan Islam sedangkan Turki Muda bertujuan untuk mewujudkan sebuah sekular. Malahan Umno yang jelas memperjuangkan kebangsaan serta mengetepikan perlaksanaan hukum Islam itu juga tidak wajar dikaitan dengan Gerakan Turki Muda kerana mereka belum sampai tahap lagi untuk mengharamkan azan dalam bahasa arab.

posted by Lidah Penghunus @ 2:11 AM   0 comments

Friday, June 01, 2007

Pak Lah suruh peniaga runcit contohi pasar raya besar.

Assalamualaikum.

Dalam mengulas tentang gejala kenaikan harga yang menjadi-jadi ketika ini, Perdana Menteri dalam akhbar hari ini meminta para peniaga runcit di negara ini mencontohi pasar raya besar atau hipermarket yang bersedia untuk menurunkan harga barangan

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, peniaga runcit perlu mencontohi tindakan pasar raya besar yang berani menurunkan harga barang kerana mereka sedar pengguna mampu berbelanja apabila ada kenaikan gaji. Berita Harian - 1 Jun 2007.

Nampaknya Pak Lah cuba hendak samakan sebuah pasar raya besar dengan kedai runcit sedangkan kemampuan sesebuah kedai runcit dengan pasar raya besar amat berbeza sekali. Di sini Pak Lah perlu ingat bahawa sesebuah pasar raya besar itu mampu untuk menurunkan harga serendah yang mungkin adalah kerana kemampuan mereka membeli sesuatu barang itu dalam kuantiti yang amat besar dan maka dengan itu ianya boleh diperolehi dengan harga yang amat murah.

Sedangkan peniaga-peniaga runcit ini tidak mampu untuk membeli dengan jumlah kuantiti yang amat besar maka sebab itulah mereka tidak boleh mengikut jejak langkah pasar raya besar yang memang sudah mempunyai kuasa kewangan yang besar itu. Dahulu pun kita telah dengar kerisauan tentang kewujudan banyak pasar raya besar yang akan membunuh golongan peniaga runcit kerana pasar raya jenis ini mampu menawarkan barangan dengan harga paling rendah berbanding kedai runcit biasa.

posted by Lidah Penghunus @ 11:20 PM   0 comments


Free Hit Counter