Thursday, January 19, 2012

Nazri bagi alasan 'bahaya' untuk elak isytihar kekayaan.

Assalamualaikum.

Perisytiharaan harta menteri 'bahaya' kata Nazri.
Mengisytiharkan harta dan aset milik menteri dan ahli keluarga terdekat mereka kepada orang ramai adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan mereka,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

"Jika kita umumkan butirannya kepada orang ramai, ini akan membahayakan individu berkenaan. "Ini khususnya, jika ia juga membabitkan butiran peribadi mereka,” kata Nazri pada sidang medianya di Putrajaya.
Ditanya mengenai ‘bahaya’ yang dimaksudkannya, beliau berkata pendedahan harta dan kekayaan seseorang kepada umum mungkin mengundang bahaya jika orang luar tahu mengenai tahap kekayaan dan aset yang dimiliki mereka. http://malaysiakini.com – 19 Januari 2012.

Kalau maksud bahaya seperti dalam kenyataan Nazri itu kerana takut dirompak, rasanya ramai juga Menteri, ADUN, Ahli Parlimen yang pernah dirompak sedangkan mereka masih belum mengisytiharkan harta secara terbuka.

Kebanyakan mangsa rompakan yang dilaporkan di dada-dada akhbar selama ini juga bukan kerana mereka isytihar harta mereka secara terbuka. Malahan orang yang duduk di perumahan kos rendah juga boleh rompak. Nak menunjukkan tidak semestinya mereka boleh dirompak kerana isytiharkan harta kepada umum.

Jadi tidak perlulah Nazri nak bagi alasan bahaya untuk mengelak daripada mengisytiharkan harta kekayaan mereka kepada rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 4:44 PM   0 comments

Wednesday, January 18, 2012

Institut Wasatiyah ganti 1Malaysia?

Assalamualaikum.

Institut Wasatiyah ditubuh
KUALA LUMPUR 17 Jan. - Penubuhan Institut Wasatiyah yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merupakan salah satu inisiatif terbaru kerajaan mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.
Selain institut itu yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Najib turut mengumumkan penubuhan Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya (UM) serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.
"Penubuhan Institut Wasatiyah itu nanti akan berperanan memberi tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang serta keadilan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini. Utusan Malaysia – 18 Januari 2012.

Nampaknya Najib Tun Razak dah mula merasakan bahawa slogan 1Malaysia kurang berjaya dalam menarik sokongan rakyat memandangkan sokongan bukan Melayu khususnya kaum Cina yang masih memihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh kerana itu beliau mewujudkan pula apa yang dinamakan Institut Wasatiyah dalam menarik sokongan pengundi Melayu dan Islam. Akhir-akhir ini juga Umno bawah pimpinan Najib sering memainkan isu-isu agama seperti murtad, masjid dalam usaha mereka menjuarai isu-isu umat Islam.

Dalam akhbar Utusan hari ini juga turut dipaparkan kenyataan daripada Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot yang mengatakan bahawa orang yang sokong LGBT adalah murtad. Malangnya kenyataan ini tidak pula ditujukan kepada anak bekas PM, Marina Mahathir dan Sister In Islam yang tentang membela LBGT? Sebaliknya ditujukan kepada Dato’ Seri Anwar yang tuduh sebagai membela gay oleh media perdana. Sedangkan ianya jelas tidak benar dan fitnah.

Ini jelas menunjukkan sikap Umno yang menonjolkan diri mereka sebagai pembela Islam atas sebab kepentingan politik untuk mendapatkan sokongan pengundi orang Melayu dan Islam

posted by Lidah Penghunus @ 9:36 AM   0 comments

Monday, January 16, 2012

Media perdana fitnah Anwar sokong gay.

Assalamualaikum.

Media perdana dakwa Anwar sokong kumpulan gay.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membidas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menganggap undang-undang berkaitan hubungan sejenis atau homoseksual di negara ini sudah lapuk dan mahu ia dikaji semula.
“Umat Islam harus menentang amalan seks sejenis tidak kira sama ada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan atau amalan liwat antara lelaki dengan wanita.“Jangan kerana mahu mengejar sokongan, kita membelakangkan agama,” katanya dalam satu laporan akhbar Berita Harian hari ini.

Harussani mengulas komen Anwar dalam wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) World News, Khamis lalu yang berkata masyarakat negara ini tidak boleh menerima amalan homoseksual tetapi undang-undang lapuk mengenainya tidak harus digunakan bagi menghukum orang yang tidak bersalah. 15 Januari 2012.

Mereka harus fahamkan betul-betul kenyataan Dato’ Seri Anwar yang mengatakan “undang-undang lapuk mengenainya tidak harus digunakan bagi menghukum orang yang tidak bersalah”. Saya rasa ianya mungkin merujuk kepada dirinya yang menjadi mangsa fitnah liwat sebelum ini yang dihukum oleh media sebelum mahkamah membuat keputusan.

Tiada pula Anwar mengatakan bahawa dia menyokong gay. Lagipun dalam wawancara itu Dato’ Seri Anwar turut menekankan tentang komitmen masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini untuk mempertahankan kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita.

Di sini kita nak tahu juga apa komen Harussani berkenaan negara Malaysia yang akan menjadi pengeluar kondom utama dunia?

posted by Lidah Penghunus @ 8:54 AM   0 comments

Friday, January 13, 2012

Malaysia bakal pengeluar kondom utama dunia?

Assalamualaikum.

Malaysia bakal pengeluar kondom utama dunia.
NEW DELHI: Malaysia kini diambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia pada tahun ini, dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC). MREPC berkata Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia, yang dengan mudah melepasi paras satu bilion.
"Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom," kata Pengarah Pemasaran dan Pembanguan majlis itu, Low Yoke Kiew kepada Bernama.
Pada 2010, Malaysia, pengeluar getah asli keempat terbesar dunia, telah mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005. Pengeluar utama Asia - Thailand, China, India, Jepun dan Malaysia - terus membanjiri pasaran global dengan jumlah lebih 10 bilion keping, yang dijual di dalam pelbagai warna, walau pun di negara yang konservatif seperti India. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggalakkan pengguna kondom berikutan kesedaran terhadap kesihatan. Di China, lebih dua bilion kondom dijual, di Jepun terjual 580 juta setahun manakala pengeluaran India telah melepasi satu bilion keping. "Kondom Malaysia mendapat permintaan yang baik dan kompetitif. Kami kini banyak membekalkan kepada program PBB. Kita menjangka pertumbuhan yang baik bagi kesemua produk lateks kita tahun ini, yang termasuk kondom," kata Low. Pengeluar kondom bergantung kepada getah asli kerana lebih 90 peratus daripada sarung kontraseptif itu dibuat menggunakan lateks manakala usus biri-biri adalah satu lagi bahan yang digunakan di dalam industri itu. Kondom getah yang pertama dikeluarkan pada 1855, yang mempunyai ketebalan tiub dalam tayar basikal tetapi perkembangan teknologi telah menjadikannya lebih murah, ringan nipis dan berpelincir. - BERNAMA
http://www.bharian.com.my - 13 Januari 2012

posted by Lidah Penghunus @ 6:19 PM   0 comments

Bekas pengerusi SPR sendiri sahkan perjuangan BERSIH selama ini.

Assalamualaikum.

Rashid: Cadangan PSC sekadar 'perubahan ekor'
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menganggap penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini sebagai sekadar “perubahan ekor” dan tidak melibatkan perkara pokok melibatkan akta dan perlembagaan.
Sepatutnya, kata Abdul Rashid, perkara melibatkan stuktur dan bidangkuasa SPR yang terhad, lebih utama dipinda dan bukan sekadar pindaan peraturan, seperti dicadangkan oleh jawatankuasa pilihan khas (PSC) parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.
“Perkara struktural itu asas. Yang lain, yang kecil-kecil dicadangkan PSC itu melibatkan peraturan saja. Pada saya seminggu saja sudah boleh buat.
“Selepas itu hantar kepada (Yang di-Pertuan Agung) tandatangan saja,” katanya kepada pemberita selepas forum membincangkan pilihan raya bebas dan adil anjuran kerajaan Kelantan di Kota Baharu malam tadi.
Turut terlibat sebagai ahli forum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa.
Abdul Rashid berkata, apa yang berlaku sekarang bidangkuasa pengerusi SPR ditetapkan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dan suruhanjaya itu juga terpaksa berkongsi kuasa dengan badan lain seperti polis dan jabatan kerajaan tertentu dalam mengendalikannya. “Kita diminta adil, tetapi kalau banyak perkara dalam undang-undang tak ada... Pilihan raya berpaksi pada undang-undang, tetapi kalau undang-undang pincang, ia perlu dibaiki. “Beri kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk menentukan bentuk pilihan raya yang boleh diterima umum sebagai bersih dan adil,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata cadangan pindaan yang dibuat sekarang mesti disokong walaupun kecil kerana ia menunjukkan terdapatnya kehendak politik untuk menambahbaikan sistem pilihan raya. Ditanya kenapa pendiriannya sekarang berbeza sama sekali dengan sewaktu berkhidmat 27 tahun dengan SPR sebelum ini, Rashid berkata, perkara itu demikian kerana beliau sewaktu itu diikat dengan bidangkuasanya dan mesti menjaga perhubungan dengan pemerintah. “Dulu saya tidak boleh kata sebab ada akta. Sekarang tak ada akta boleh kawal saya kecuali akta tuhan. Sekarang kalau tak betul, saya kata tak betullah. “Saya rasa sudah tiba negara ini membuat perubahan yang sesuai bagi pengurusan pilihan raya. Pilihan raya ini darah daging saya. Ini sudah 54 tahun peaturan sama, kita kena kajilah,” katanya.Sementara itu, dalam wacana sebelum itu, selain hampir senada dengan tuntutan BERSIH supaya media awam mesti bebas dan adil sepanjang tempoh berkempen, Rashid juga membuat cadangan drastik supaya parti politik, tidak kira parti, diberikan peruntukan kewangan oleh kerajaan, seperti amalan di negara maju. Katanya, ia supaya demokrasi melalui pilihan raya lebih subur di negara ini kerana lebih banyak parti lebih baik. Tambahnya, apa yang berlaku sekarang, daripada 30 parti yang didaftarkan, sebanyak 20 daripadanya tidak dapat bergerak kerana kurang dana. Cadangan itu mendapat sorakan gamat kira-kira 1,000 penonton yang sebelum itu mencemuh dan mengejek atas kenyataannya di awal majlis bahawa tiada pilihan raya yang benar-benar adil di dunia ini. http://malaysiakini.com - 13 Januari 2012.

Kenyataan daripada Tan Sri Rashid, bekas pengerusi SPR ini mengesahkan lagi bahawa perjuangan dan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah berasas.

Beliau yang sebelum ini sekian lama duduk dalam SPR sudah tentu lebih tahu dan nampak tentang kepincangan dalam pilihanraya di negara ini. Cumanya sebelum ini beliau menafikan atas sebab 'cari makan'.

Sebenarnya inilah fenomena bekas pegawai tinggi kerajaan di negara ini. Banyak antara mereka apabila bersara daripada perkhidmatan awam menyertai parti pembangkang kerana mereka lebih nampak kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

posted by Lidah Penghunus @ 5:42 PM   0 comments

Wednesday, January 11, 2012

Kata pemeriksaan ketat, tapi boleh pula kata peserta himpunan yang bawa bom.

Assalamualaikum.

Bom milik peserta perhimpunan.
KUALA LUMPUR 10 Jan. – Tiga butir bom buatan sendiri yang meletup sehingga mencederakan lima individu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam, dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.
Ini kerana, polis yang membuat pemeriksaan ketat di seluruh kawasan perhimpunan sebelum membenarkan peserta memasuki lokasi itu seawal pukul 4 pagi, tidak menemui sebarang objek berbahaya.
Sumber polis berkata, siasatan awal percaya, bom-bom tersebut dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan itu.
“Kawasan tersebut telah dikawal oleh anggota polis sehari sebelum perhimpunan selain pemeriksaan dibuat secara rapi.
“Malah, pemeriksaan terakhir turut dilakukan sebelum peserta perhimpunan dibenar berkumpul di kawasan itu dan tiada objek berbahaya ditemui.
“Sebab itu kita percaya bom buatan sendiri yang lengkap dengan jam jangka itu dibawa oleh peserta perhimpunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, polis terpaksa mengambil masa untuk menyiasat insiden tersebut berdasarkan rakaman video yang diambil kerana kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian itu, lima termasuk seorang peguam cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Letupan pertama berlaku pukul 10.20 pagi di Jalan Khidmat Usaha disusuli 25 minit kemudian letupan kedua di kafeteria mahkamah.
Bom ketiga yang disembunyikan di bawah kon di hadapan mahkamah meletup pukul 10.55 pagi.
Kesemua peserta perhimpunan mula berada di kawasan terbabit sejak pukul 4 pagi manakala kafeteria dibuka pada waktu pejabat.
Sementara itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengesahkan tiga letupan yang berlaku semalam berpunca daripada bom jangka buatan sendiri. Utusan Malaysia – 11 Januari 2012.

Pelik. Pihak polis mengatakan bahawa mereka telah membuat pemeriksaan ketat seawal jam 4 pagi dan tiada objek-objek terlarang yang dijumpai. Alih-alih mereka boleh mengatakan bahawa bom buatan sendiri itu adalah milik peserta himpunan.

Satu lagi adakah boleh diterima akal ianya diseludup oleh peserta himpunan, sedangkan salah satu daripada bom yang meletup itu terletak dalam kafeteria mahkamah yang hanya buka pada pukul 8 pagi dan apa yang kita maklum peserta hanya dibenarkan berkumpul di kawasan letak kereta yang dihadang oleh pihak polis.

Berita tentang letupan bom inilah yang pertama sekali disebut dalam Buletin Utama TV3 mendahului berita tentang pembebasan Dato’ Seri Anwar. Dan hari ini bila polis mendakwa bom tersebut milik peserta himpunan, ianya terus diletakkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia.

posted by Lidah Penghunus @ 11:47 AM   0 comments

Tuesday, January 10, 2012

Umno lebih bertimbang rasa daripada PAS?.?.?

Assalamualaikum.

Muhyiddin: Umno lebih bertimbang rasa dari PAS
Umno akan memberi peluang kepada bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali untuk membela diri dan tidak memecatnya secara melulu seperti yang dilakukan oleh parti itu, kata timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ini perkara dalaman PAS, yang kita tidak pernah campur tangan. Tetapi dalam dalam Umno, kita ada sistem demokrasi yang berdasarkan Islam,” kata Muhyiddin yang juga adalah timbalan perdana menteri.“Jika ahli membuat kesilapan, kita tidak pecat secara melulu. Tiada tindakan disiplin akan diambil tanpa memberinya peluang membela diri,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini. http://malaysiakini.com - 10 januari 2012.

Umno pernah memecat Dato' Seri Anwar dengan tuduhan yang kini terbukti fitnah, memburuk-burukkan beliau di media dengan tuduhan yang keji tanpa diberi peluang untuk membela diri, adakah itu bertimbang rasa?.?.?

Muhyiddin lupa bahawa sebelum ini Dato' Dr Hasan Ali pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin PAS. Maka tidak timbul bahawa PAS mengambil tindakan melulu kerana ianya pun dibuat secara syura.

posted by Lidah Penghunus @ 6:29 PM   0 comments

Monday, January 09, 2012

TV3 laporkan keputusan 901 bukan untuk bersihkan Anwar, tetapi bersihkan Najib.

Assalamualaikum.

Berkenaan dengan keputusan perbicaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim ini jam lapan malam sebentar tadi saya tidak melepaskan peluang menonton Buletin Utama TV3 kerana ingin tahu apakah yang akan diperkatakan oleh stesyen tv ini.

Seperti yang dijangkakan lembu politik peliharaan Umno Barisan Nasional ini kurang memfokuskan kepada keputusan tidak bersalah Anwar Ibrahim ini dan akan melebihkan parti pemerintah khususnya untuk membersihkan imej Najib daripada isu konspirasi. Pertama sekali yang disebut ialah insiden dua letupan bom buatan sendiri yang dipasang oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.

Seolah-olah hendak memberitahu bahawa himpunan-himpunan sebegini pasti akan ada keganasan. Sedangkan kita tidak tahu siapakah yang punya angkara, lebih-lebih lagi ianya di pasang dalam kon polis. Satu lagi TV3 tidak menemubual Dato' Seri Anwar selaku tertuduh yang telah dibersihkan namanya sebaliknya hanya mendapatkan komen daripada Saiful Bukhari yang sekarang ini boleh didakwa di bawah qazaf kerana memfitnah.

Keputusan mahkamah yang membersihkan nama Anwar daripada tuduhan liwat ini juga telah digunakan oleh pemimpin Umno seperti Najib dan Mahathir untuk membersihkan diri mereka daripada konspirasi. Sedangkan mereka jugalah yang mengiyakan segala tuduhan keji terhadap Anwar maka mereka sebenarnya belum bersih daripada kesalahan fitnah selagi mereka belum bertaubat serta meminta maaf kepada Anwar dan keluarga.

Apapun bebasnya Anwar daripada tuduhan liwat ini sepatutnya menguatkan lagi azam rakyat Malaysia untuk menolak Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti kerana selagi Umno dan Barisan Nasional berkuasa badan kehakiman dan institusi-intitusi yang lain dalam negara kita masih lagi belum bebas daripada cengkaman mereka. Apatah lagi jika mereka diberi mandat lagi dalam PRU 13 nanti.

Lihat sahajalah sekarang ini, ketika Dato' Seri Anwar dibebaskan oleh kononnya mahkamah yang adil, di intitusi pendidikan pula adik Adam Adli telah digantung pengajian tiga semester tanpa mendapat perbicaraan yang adil oleh pihak universiti. Itu kita belum sebut lagi tentang PDRM, layanan mereka terhadap mahasiswa baru-baru ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:43 PM   0 comments

Alhamdulillah, mahkamah berlaku adil kepada Anwar.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, akhirnya pagi ini mahkamah telah berlaku adil kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila memutuskan bahawa ketua pembangkang ini tidak bersalah berdasar bukti-bukti yang dikemukakan peguambela sepanjang perbicaraan.

Dengan ini kepada pihak-pihak yang selama ini menuduh beliau dengan tuduhan yang keji ini diminta agar bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT serta memohon maaf kepada Dato’ Seri Anwar dan keluarga. Saya percaya sebagai seorang muslim Anwar sedia memaafkan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 10:02 AM   0 comments

Friday, January 06, 2012

Himpunan 901 - Kemaskini.

Assalamualaikum.

901: Polis benar himpun, PKR jamin kerjasama
KUALA LUMPUR, 6 Jan: PKR memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung Himpunan 901 yang akan diadakan 9 Januari ini, tegas Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.
(Polis dan Azmin bersetuju perhimpunan ini diadakan dengan aman...berita Astro Awani)

Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dengan Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dan beberapa wakil penganjur dan pegawai tertinggi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pagi ini.
"Kita mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak polis yang telah membenarkan himpunan tersebut.
"Pada 9 Januari nanti kita akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis bagi memastikan himpunan tersebut berlangsung dengan amam tanpa ada sebarang provokasi yang tidak diingini," jelasnya kepada media selepas pertemuan tersebut.
Bagaimanapun ujarnya, maklumat berkaitan tempat berhimpun dan perkara teknikal lain hanya akan dinyatakan pada sidang media khas jam 3.30 petang ini di Ibu Pejabat PKR.
"Secara rasmi kita akan nyatakan pada petang ini mengenai tempat himpunan dan segala maklumat teknikal.
"Secara ringkas pihak polis membenarkan himpunan tersebut," jelasnya.Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam menyatakan pihak berkuasa tidak akan mengharamkan perhimpunan 9 Januari depan, sebaliknya menuntut penganjur berunding dengan pihaknya berkenaan kawasan yang sesuai untuk mengadakan perhimpunan tersebut. http://bm.harakahdaily.net - 6 Januari 2012.

Alhamdulillah, akhirnya PDRM khususnya IPK KL telah bertindak bijak dengan membenarkan Himpunan 901 sebagai tanda simpati kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Jalan Duta Isnin ini.

Dengan kebenaran oleh pihak polis ini saya rasa tiada alasan lagilah untuk rakyat Malaysia yang cintakan keadilan untuk takut turun bersama-sama menyatakan simpati mereka kepada Dato' Seri Anwar di Mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari nanti.

Janji kita Himpunan 901 nanti adalah aman dan akan terus aman tanpa gangguan daripada mana-mana pihak. Kepada pihak PDRM, kita tetap perlukan mereka berada di lokasi himpunan sebagaimana perlunya mereka di stadium semasa perlawanan bola sepak bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

posted by Lidah Penghunus @ 5:27 PM   0 comments

Polis benar penyokong Anwar himpun di tempat lain?

Assalamualaikum.

Polis benar penyokong Anwar himpun di tempat lain.
Polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini, tetapi ia hendaklah diadakan di lokasi lain dan bukan di hadapan Kompleks Mahkamah, di Jalan Duta demi menjaga ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihak penganjur perlu bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan lokasiyang bersesuaian untuk mengadakan perhimpunan itu.
"Kami boleh benarkan perhimpunan itu dijalankan tetapi bukan di mahkamah. Mereka boleh berhimpun di tempat yang tidak mengganggu ketenteraman awam dankelancaran trafik.
"Walaupun undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2011 belum digazetkan, kami sedia membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan itu dengan syarat mereka membatalkan perhimpunan di hadapan mahkamah itu bagi menjaga kepentingan umum,
" katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini. http://malaysiakini.com – 5 Januari 2012.

Kita bayangkan sebuah perlawanan bola sepak peringkat akhir yang hebat dan mendebarkan. Tiba-tiba penyokong atau penontonnya yang berkumpul beramai-ramai dengan penuh sesak sebagai menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing tetapi di tempat atau padang yang lain.

Begitulah bagaimana tidak masuk akalnya arahan PDRM yang terbaru ini berkenaan Himpunan 901 nanti. Alasannya untuk menjaga ketenteraman awam. Sedangkan pihak penganjur telah memberi jaminan bahawa himpunan ini adalah aman, bukan bertujuan untuk menimbulkan kekacauan. Tambahan lagi lokasi Mahkamah Jalan Duta itu terletak jauh daripada pusat bandar. Jadi tidak ada masalah dari segi lokasi untuk di adakah himpunan di sana.

Jika dibuat di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur sekali pun tidak ada masalah kerana kita telah membuktikan dalam himpunan-himpunan sebelum ini ianya adalah aman. Ianya menjadi kecoh apabila diganggu oleh pasukan keselamatan.

posted by Lidah Penghunus @ 12:28 PM   0 comments

Thursday, January 05, 2012

Sedikit tentang isu adik Nur Amalina.

Assalamualaikum.

Nur Amalina: Henti fitnah saya.
KOTA TINGGI – Pelajar Terbaik SPM 2004, Nur Amalina Che Bakri hari ini meminta semua pihak khususnya blogger supaya tidak lagi menyebarkan fitnah dan mengaibkan beliau kononnya bertindak liar dengan perbuatan-perbuatan kurang bersopan.

Sambil menyangkal fitnah mendakwa dirinya mengalami kejutan budaya ketika mengikuti pengajian tinggi di United Kingdom sekarang, tegas Nur Amalina: "Jangan menilai seseorang daripada pandangan luaran sahaja."
http://www.sinarharian.com.my - 4 Januari 2012.

Pada tahun 2007 yang lalu dalam blog ini saya pernah menyentuh tentang adik Nur Amalina Che Bakri yang ketika itu masih hangat lagi diperkatakan tentang kejayaan beliau meraih 17A1 dalam SPM.

Thursday, March 08, 2007
Antara Amalina dan Nadiah.

Assalamualaikum.

Jika dua tahun lepas perhatian kita telah tertumpu kepada pelajar terbaik SPM 2004, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A. Pada tahun ini adik Nadiah Amirah Jamil telah menarik tumpuan apabila berjaya meraih 19 A dalam perperiksaan SPM tahun 2006 sekaligus memecahkan rekod yang diperolehi oleh adik Amalina.
Seperti juga adik Amalina, kisah kejayaan adik Nadiah ini juga telah mendapat perhatian di dada-dada akhbar utama tanah air. Ruangan pendidikan akhbar Utusan Malaysia semalam turut memuatkan kisah bagaimana adik Nadiah boleh mendapat kejayaan 19A ini. Di sini saya paparkan kembali beberapa perenggan yang agak menarik perhatian saya;

Seperti remaja-remaja lain beliau juga turut menggunakan waktu lapang yang ada dengan membaca buku-buku di luar bidang akademik khususnya buku-buku motivasi dan dia amat meminati hasil karya Dr. H.M. Tuah serta buku-buku resipi masakan kerana Nadiah juga minat memasak. Bagaimanapun, Nadia mengakui beliau akan bangun lebih awal iaitu kira-kira jam 3.30 pagi untuk bersolat sunat terlebih dahulu, menghafal al-Quran sambil menunggu waktu solat subuh dan kemudian bersiap-siap ke sekolah. Kejayaan dan kecemerlangan Nadiah juga banyak dibantu dengan keyakinannya terhadap kekuatan dan keupayaan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.Beliau yakin membaca dan menghafal kitab tersebut merupakan kaedah yang baik untuknya untuk sentiasa dapat berfikir dan bertindak secara lebih tenang dan mudah membuat hafalan.Oleh itu katanya, beliau berusaha menghafal Al-Quran sejak di tingkatan satu dan menjadi amalan hariannya sehingga kini, walaupun dilakukan secara sedikit demi sedikit. Nadiah kini telah berjaya menghafal lapan surah antaranya Yasin, Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Sajdah, Al-Waqiah dan Luqman. “Saya menyimpan cita-cita untuk menghafal kesemua juzuk dalam al-Quran kerana yakin ia mampu memberi ketenangan dan menguatkan ingatan,” katanya.Bersesuai dengan keyakinan terhadap ajaran Allah dapat mambantunya berjaya dunia dan akhirat, Nadiah juga menjadi seorang yang sangat pemilih terhadap persekitaran khususnya muzik yang perlu didengarnya setiap hari untuk menghilangkan kebosanan atau tekanan.
Nadiah mengakui beliau banyak mendengar lagu-lagu nasyid yang baginya sesuai untuk membentuk jiwa seseorang menjadi lembut dan amat meminati Kumpulan Raihan.“Jika kita sentiasa terdedah dengan lagu-lagu bercorak keras, lama kelamaan jiwa kita juga akan menjadi keras,” katanya yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan berharap dapat bertemu dengan penyanyi pujaan ramai itu suatu hari nanti. Utusan Malaysia - 7 Mac 2007.

Ini berbeza dengan adik Amalina dahulu yang diuar-uarkan oleh sebuah akhbar sebagai seseorang yang turut meminati rancangan Akademi Fantasia. Mereka cuba memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa seseorang yang meminati hiburan yang melalaikan juga tidak mustahil untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam akademik.

Sedangkan apa yang kita mahu adalah seseorang yang bukan setakat cemerlang di dunia tetapi ia juga cemerlang dalam aspek kerohanian, tidak dilalaikan dengan perkara-perkara mungkar. Oleh itu adalah menjadi harapan kita agar adik Nadiah ini suatu hari nanti menjadi seorang profesional muslim yang solehah yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Namun begitu kita juga masih mengharapkan agar adik Amalina yang sekarang ini sedang belajar di luar negara agar tidak terus hanyut dengan budaya hedonisme lebih-lebih lagi di negara luar sana yang penuh mencabar.
posted by Lidah Penghunus @ 1:06 PM 1 comments

Bagi saya penampilan beliau yang sekarang inilah sebenarnya yang mendatangkan fitnah kepada beliau. Sepatutnya sebagai seorang wanita muslim, adik Amalina harus mempamerkan imej seorang muslim yang menutup aurat walaupun berada di negara barat. Seperti yang saya sebutkan dalam penulisan di atas ini, tiada gunanya jika cemerlang dalam bidang akademik tetapi rendah akhlaknya dan kita lebih mahukan seseorang yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Apapun kita doa agar adik Amalina diberikan hidayah, berubah menjadi muslim yang baik dan solehah di samping memperolehi kejayaan dengan cemerlang dalam pengajian yang beliau duduki.

posted by Lidah Penghunus @ 12:00 AM   1 comments


Free Hit Counter