Saturday, March 19, 2005

Pengiktirafan kerajaan terhadap orang pandai belajar.

Assalamualaikum.

Masih belum luput lagi diingatan kita kecemerlangan yang telah dilakar oleh adik Amalina apabila mendapat keputusan SPM 17A1 beberapa minggu yang lalu. Sekaligus kisah adik Amalina telah mendapat perhatian media dan kerajaan kerana beliau adalah antara anak melayu yang cemerlang dlm peperiksaan. Pelbagai ganjaran telah dicadangkan sebagai mengiktiraf kejayaan adik Amalina, malahan ada yang mencadangkan agar diberi ganjaran dalam bentuk wang seperti yang diberikan kepada atlit sukan yang berjaya dan ada juga cadangan agar orang-orang pandai seperti adik Amalina ini diberikan keistimewaan masuk ke universiti tanpa melalui proses yang biasa. Pelajar cemerlang ini juga mendapat publisiti meluas dalam media2 nasional sama seperti artis. Tapi memang lagi baik memberi publisiti meluas kepada golongan ini daripada golongan artis kerana mereka yang sepatutnya dijadikan idola dan inspirasi untuk anak2 muda khususnya pelajar. Dan sudah tentulah tips kejayaan dan formula pembelajaran mereka akan dimuatkan dalam ruangan khas akhbar.
Ini menunjukkan betapa kerajaan kita mengiktiraf kecemerlangan pelajar seperti ini dalam peperiksaan kerana mereka inilah menjadi aset bernilai kepada negara yang akan memenuhi tenaga-tenaga profesional dan mewarisi kepemimpinan negara. Namun begitu sebaliknya bagi mereka yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, dalam masa yang sama berfikiran kritis terhadap isu semasa, mempunyai idealisma perjuangan dan berani menegur kepincangan dalam pentadbiran kerajaan demi kebaikan bersama. Malahan golongan ini dilabelkan oleh pemerintah sebagai golongan anti kerajaan, anti establishment yang tidak tahu bersyukur dan tidak mengenang budi. Sedangkan mereka bertindak untuk kepentingan rakyat terutama masyarakat marhain, niat mereka adalah supaya segala tindak tanduk kerajaan menguntungkan rakyat keseluruhannya. Mereka belajar dengan duit rakyat maka sebagai timbal baliknya mereka bertanggungjawab untuk turun padang memberikan penerangan kepada rakyat tentang kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan agar rakyat tidak tertipu oleh media-media perdana yang selama ini cuba menutup kepincangan yang berlaku.
Oleh kerana pemikiran mereka yang dianggap tidak selari dengan pemerintah maka kecemerlangan yang mereka lakar dalam akademik telah ditenggelamkan dengan tindakan mereka yang dianggap anti kerajaan oleh pemerintah. Saya percaya andaikata adik Amalina satu hari nanti menjadi mahasiswa yang berfikiran kritis maka kecemerlangan yang telah dilakarnya pada hari ini akan dilupakan begitu sahaja, malahan beliau akan dianggap sebagai golongan yang tidak bersyukur dan mengenang budi. Memang tidak dinafikan mahasiswa yang dilabel sebagai anti kerajaan ini jarang yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang seperti adik Amalina. Namun begitu aktivisme yang mereka tunjukkan semasa dikampus juga amat berguna apabila mereka menamatkan pengajian dan bekerja untuk dipraktikkan. Kita sudah lihat orang seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hanya bergraduat dengan dengan ijazah kelas ketiga, gagal tahun pertama, tetapi kerana aktivisme yang beliau tunjukkan semasa di alam mahasiswa, beliau pernah menjadi orang nombor dua negara dan sekarang ini beliau menjadi pensyarah jemputan untuk universiti terkemuka dunia.Tiada gunanya seseorang itu cemerlang dalam akademik tetapi hidupnya dikampus hanyalah sebagai ulat buku sahaja tanpa peka kepada alam sekeliling, tanpa mahu mengambil tahu kesusahan yang dihadapi oleh rakyat marhain. Ada juga sesetengah majikan yang takut untuk mengambil golongan ini berkerja dengan syarikat mereka kerana mereka tahu golongan ini hanya cemerlang melalui buku dan teori semata-mata dan bila keluar bekerja mereka tidak tahu untuk mempraktikkan apa yang mereka belajar dalam ayat yang lebih mudah, mereka ni tak tahu buat kerja, lebih malang lagi golongan ulat buku ini belajar semata2 untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan tanpa mahu mempraktikkan apa yang mereka belajar.
Penulisan saya ni bukanlah bermaksud untuk menggalakkan pelajar supaya sederhana dalam pencapaian akademik. Kecemerlangan dalam akademik itu memang sesuatu yang kita galakkan tetapi adalah lebih baik dalam masa yang sama pelajar itu juga mempunyai sensitiviti terhadap isu kemasyarakatan, tidak memisahkan diri dengan masyarakat luar dan sekaligus merealisasikan slogan mahasiswa bersama masyarakat, mahasiswa jurubicara umat, Biarlah tindakan kita ini tidak disenangi oleh pemerintah asalkan ianya membawa kebaikan kepada semua lapisan rakyat. Bukan pengiktirafan yang kita cari, bukan ganjaran yang kita kejar tetapi yang kita mahu adalah tertegaknya keadilan dan kebenaran di negara yang tercinta ini.

posted by Lidah Penghunus @ 4:04 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter