Sunday, May 06, 2012

Berkenaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini.

             Assalamualaikum.


Demo cetus huru-hara haram, kata j'kuasa fatwa.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.
Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas.
"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.
"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di Sepang.
  Sehubungan itu, katanya umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.
Beliau berkata turut dibincangkan dalam muzakarah itu adalah gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT) yang tidak memerlukan pengeluaran sebarang fatwa kerana ia jelas haram di sisi Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin, individu atau media dinasihat menghentikan sikap suka mendedahkan secara terbuka perkara-perkara keji yang didakwa dilakukan mana-mana pihak.
"Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi yang berkait dengan hubungan seksual amat ditegah Islam. Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas," katanya.  http://malaysiakini.com - 6 Mei 2012.

Kita bersetujulah jika fatwa di atas ini menjurus kepada menegah umat Islam daripada terlibat dengan demonstrasi atau perhimpunan yang memang berniat untuk mencetuskan huru-hara dan keganasan. Walau bagaimanapun ingin kita tegaskan sekali lagi bahawa himpunan BERSIH 3.0 28 April yang lalu bukan bertujuan untuk menimbulkan keganasan dan huru-hara jika timbul pun keganasan dan kekacauan ialah angkara provokasi daripada pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk memburuk-burukkan BERSIH 3.0.

Jika maksud fatwa tersebut menjurus kepada menegah umat Islam menghadiri demonstrasi yang dikhuatiri berpotensi berlaku kekacauan dan keganasan, maka fatwa yang sama juga perlu dikeluarkan untuk perlawanan bola sepak kerana acara sebegini juga berpotensi untuk menimbulkan keganasan di kalangan penonton dan ianya telah terbukti dengan beberapa insiden keganasan penyokong bola sepak yang dilaporkan sebelum ini.

Di sini kita mahu dengar juga fatwa berkenaan anggota polis yang melakukan keganasan dengan memukul dan menendang peserta himpunan ketika menyuraikan himpunan. Dalam Buletin Utama TV3 sebentar tadi turut melaporkan keputusan Jawatankuasa di atas ini sebagai tajuk utama. Tetapi mereka hanya laporkan tentang demonstrasi dan LBGT. Tentang nasihat agar media menghentikan perlakuan mendedahkan secara terbuka perkara-perkara keji yang dilakukan individu kerana ditegah oleh Islam tidak pula dilaporkan oleh media haiwan politik Umno dan Barisan Nasional ini.

posted by Lidah Penghunus @ 9:50 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter