Monday, April 30, 2012

Muslihat di sebalik kelonggaran berhimpun.

Assalamualaikum.

Bermula jam 11.30 pagi saya beserta isteri dan beberapa orang rakan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri himpunan BERSIH. Perjalanan lancar, tiada sekatan polis dan tiada kesesakan jalan raya. Hinggalah melalui Jalan Travers berhampiran simpang ke Jalan Damansara, Jalan untuk memasuki pusat Bandaraya Kuala Lumpur ditutup. 

Maka kami membuat keputusan untuk berjalan kaki untuk memasuki pusat Bandar. Rupa-rupanya ramai yang membuat keputusan seperti kami, tidaklah terasa sangat kepenatan berjalan. Tiba sahaja di berhampiran Masjid Negara lebih kurang Jam 1.45 peserta sudah mula berarak. Namun oleh kerana jalan arah ke Dataran Merdeka disekat oleh pasukan FRU maka kami diarahkan untuk menuju ke Menara Maybank berhampiran Puduraya melalui Jalan Tun Sambanthan. 

Perarakan berjalan lancar dan aman tanpa sekatan daripada pasukan FRU, pasukan polis dari unit trafik diletakkan untuk mengawal lalu lintas. Peserta himpunan berarak secara aman. Tiba Dataran Maybank dan kami diarah untuk duduk sesuai dengan tema BERSIH 3.0 iaitu "duduk bantah". Acara duduk bantah juga berjalan secara aman, peserta duduk secara berdisiplin sambil mendengar pidato daripada pimpinan gabungan BERSIH.

Selesai sahaja acara duduk bantah. Peserta mula berarak untuk mencuba nasib masuk ke Dataran Merdeka. Namun saya tidak turut serta kerana isteri sakit kaki dan kami hanya menunggu di Dataran Maybank. Hati hendak pergi tetapi tak sampai hati nak tinggalkan isteri keseorangan. Percubaan peserta himpunan BERSIH untuk masuk ke Dataran ternyata gagal apabila mereka dilayan dengan air kimia dan gas pemedih mata. Kelihatan beberapa peserta himpunan sudah mula patah balik. Kami pun beredar menuju ke Mydin berhampiran untuk beli minuman. Kalau BERSIH ganas sudah tentu Mydin awal-awal lagi tutup. Tetapi mereka tutup apabila FRU mengganas.

Pada masa itu sebilangan peserta himpunan masih lagi main kejar-kejar dengan FRU. Kelihatannya makin dekat dengan lokasi kami di Mydin dan ianya ternyata makin dekat apabila mata kami sudah merasa pedih dek gas pemedih mata. Dapat juga menikmati gas pemedih mata. Bak kata kaki demo, tidak sah demonstrasi kalau tak rasa gas pemedih mata. Pada masa itu Mydin pun ditutup untuk langkah keselamatan. Maka kami mula bergerak ke Puduraya. Masuk sahaja waktu solat Asar, surau Puduraya penuh hingga di adakan solat jemaah beberapa trip.

Seusai sahaja solat saya dan isteri menuju ke kafeteria Puduraya untuk makan, kelihatan kedai-kedai makan di sini penuh sesak dengan peserta himpunan BERSIH. Untung mereka pada hari itu. Cuma hari itu tidak dapat disediakan minuman sejuk kerana bekalan ais tidak dapat hantar kerana jalan ke KL ditutup. Jangan salahkan kami ye, salahkan PDRM yang tutup jalan ke KL.

Selesai sahaja menikmati makan tengah hari diwaktu petang kami meninjau seketika diluar Puduraya. Kelihatan suasana kembali seperti biasa, namun sekitar masih lagi kekuningan dengan peserta himpunan BERSIH yang berlegar-legar dan bersiar di kawasan sekitar. Yelah kalau mereka dari jauh di utara atau selatan sana sudah tentulah tidak mahu melepaskan peluang bersiar-siar di Ibukota Kuala Lumpur. Pada fikiran saya himpunan BERSIH sudah selesai dan kami mengorak langkah untuk pulang melalui LRT di Puduraya.

Stesyen LRT di Puduraya pun begitu sesak, orang beratur panjang untuk membeli token. Hinggakan pengurusan stesyen membenarkan untuk penumpang naik dahulu dan bayar apabila turun di destinasi nanti. Rupa-rupanya inilah muslihat mereka apabila keluar berita di Malaysiakini hari ini.

RapidKL mahu ambil tindakan ke atas BERSIH.
RapidKL, penyedia perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan bas di Lembah Klang, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur perhimpunan semalam kerana mengalami kerugian besar akibat tindakan liar oleh kumpulan demonstran.

Syarikat itu mahu ganti rugi berpatutan termasuk kerosakan teruk kepada asetnys, kehilangan hasil pendapatan di stesen LRT Masjid Jamek selepas demonstran meluru menerusi pintu LRT tanpa membayar dan kehilangan pendapatan daripada operasi perkhidmatan basnya.

"Kami mengalami kerugian besar seperti kerosakan pada penutup gulung dan pagar, pintu tandas serta orang menggunakan perkhidmatan kami tanpa membayar dan operasi bas juga terjejas teruk kerana penutupan jalan," kata Pengarah Urusan Kumpulan, Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) Datuk Shahril Mokhtar dalam kenyataan hari ini.  http://malaysiakini.com - 29 April 2012.
Oleh kerana kami hendak turun ke stesyen Bangsar maka perlu turun di stesyen Masjid Jamek untuk tukar tren ke arah Kelana Jaya. Apabila tiba dan turun di stesyen Masjid Jamek rupa-rupanya ada lagi peserta himpunan BERSIH yang 'bertempur' dengan pasukan FRU. Kelihatan beberapa orang lelaki memakai baju BERSIH memaki hamun polis dan FRU. Waktu pada masa itu sekitar 6.30 petang. Sepatutnya tiada lagi aksi main kejar-kejar dengan polis! Pada masa itu saya mula naik geram, terus saya laung dari atas stesyen "Woi SB, baliklah!" 


Di sini boleh saya simpulkan bahawa BERSIH 3.0 ini adalah himpunan yang paling berjaya dan lancar dan berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang berarak sejauh 2 KM tanpa gangguan. Dalam erti kata lain BERSIH 3.0 ini yang paling mendapat kelonggaran daripada kerajaan. Jika kita lihat perkembangan semasa sebelum himpunan BERSIH ini, awal-awal lagi kerajaan sudah benarkah himpunan BERSIH 3.0. Malahan Menteri Dalam Negeri sendiri , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi kenyataan bahawa BERSIH 3.0 tidak gugat keselamatan. Walaupun ada kekangan lain seperti halangan menggunakan Dataran Merdeka oleh DBKL namun bolehlah dikatakan bahawa sikap kerajaan pada BERSIH 3.0 ini tidak seperti BERSIH 2.0 dahulu.

Namun BERSIH 3.0 ini juga himpunan yang paling teruk provokasinya hingga berlaku insiden-insiden yang tidak diingini. Mengapa boleh jadi begini Apakah muslihat disebalik kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini? Adakah mereka merancang untuk memburuk-burukkan gabungan yang menuntut pilihanraya adil dan bersih ini dengan isu keganasan sedangkan sebelum ini terbukti bahawa mereka tidak berniat untuk melakukan kekacauan. Adakah ini dendam kerajaan dan PDRM terhadap BERSIH yang banyak membongkar tentang keganasan polis pada BERSIH 2.0.

Di sini saya sertakan sebuah rakaman video yang diambil di Dataran Maybank. Ketika ianya dirakamkan peserta himpunan BERSIH telah pun bergerak menuju ke arah Dataran Merdeka. Apa yang saya isteri dengar daripada perbualan mereka, mereka merancang untuk menghasut dan membuat kecoh dalam himpunan BERSIH. Mereka menyebut bahawa Tuan Guru Haji Hadi sebagai penghasut. Namun begitu perbualan mereka ketika itu belum sempat dirakamkan. Tuan-tuan boleh dengar sendiri mereka menyebut perkataan "rempuh" semasa mula bergerak untuk menyertai himpunan.

  






posted by Lidah Penghunus @ 6:31 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter