Ada pulak nanti dadah halal
Assalamualaikum.
Terkejut apabila membaca satu cadangan dari seorang ahli parlimen agar dibekalkan dadah secara percuma dalam usaha untuk menyekatkan kegiatan pengedaran dadah secara haram serta membasmi gejala ketagihan dadah. Rasional cadangan ini adalah supaya bekalan dadah secara percuma akan melumpuhkan kegiatan perdagangan dadah di negara ini dan bagi penagih dadah pula sebagai satu sindiran kepada mereka bahawa pemberian dadah secara percuma ini adalah supaya mereka cepat mati.
Di sini saya teringat satu kajian bahasa dalam masyarakat melayu yang dipanggil ragam bahasa terbalik yang mana sesuatu pernyataan yang dikeluarkan adalah bertentangan dengan maksud yang hendak disampai. Misalnya kita sering mendengar seorang ibu memarahi anaknya yang memanjat pokok dengan berkata "hah, panjatlah lagi, panjat tinggi lagi." Melihat terus kepada pernyataan seolah-seolah sang ibu menggalakkan anaknya supaya terus memanjat, namun sebaliknya ia adalah larangan kepada si anak yang memanjat itu. Fenomena ini adalah kerana betapa halusnya budi bahasa masyarakat melayu kita sehingga perasaan marah pun tidak boleh dinayatakan dengan terus terang dan maka tidak hairanlah pada hari ini golongan-golongan ini tidak bersetuju dengan golongan yang menentang penyelewengan dan kezaliman pemerintah secara terang-terangan.
Persoalannya dalam berhadapan dengan penagih dadah terutama penagih tegar adakah kaedah ini berkesan? Adakah golongan penagih yang sudah hilang pedoman, akal dan kewarasan ini sehingga pernah kita dengar mereka sanggup membunuh ibu sendiri untuk mendapat bekalan dadah akan termakan dengan 'sindiran' kerajaan ini. Dadah ini telah dikiaskan oleh jumhur ulama' dengan arak yang mengkhayalkan serta merosakkan kewarasan fikiran. Jadi jika cadangan ini dilaksanakan kerajaan akan bersubahat dengan dosa besar kerana membekalkan benda-benda haram kepada rakyat. Silap-silap bukan penagih dadah akan berkurangan malahan akan wujud penagih-penagih baru. Kita sudah sedia maklum bahawa kehidupan sekarang ini penuh cabaran dan tekanan dan ditambah dengan kurangnya kesedaran beragama dikalangan masyarakat, maka dengan adanya dadah 'free' dan 'halal' ini dengan tanpa berfikir panjang mereka akan menggunakannya sebagai keadah melarikan diri dari tekanan yang mereka hadapi kerana mereka tidak perlu lagi bersusah payah mengeluarkan belanja, pergi ke lorong-lorong sunyi untuk mendapatkan bekalan, tidur di semak-semak, rumah-rumah kosong, bawah jambatan untuk melepaskan gian.
Saya teringat dengan komentar seorang ustaz terhadap cadangan pendidikan seks sebagai cara menangani jenayah seksual bahawa kerajaan sebenarnya tidak melihat dan mungkin tidak mahu melihat punca sebenar permasalahan yang timbul. Ianya sama juga dengan masalah penagihan dadah ini, sedangkan di akhbar perdana sendiri melaporkan bahawa gejala penagihan dan pengedaran dadah adalah lebih tinggi dipusat-pusat hiburan. Kita akan melihat setiap kali serbuan ke atas pusat-pusat hiburan ini maka majoriti pengunjungnya didapati positif menggunakan dadah. Jadi sepatutnyalah dalam usaha menangani masalah dadah ini, terlebih dahulu pusat-pusat hiburan yang menjadi sarang penagih dan pengedar ini harus diberhentikan terus operasinya. Tidak ada gunanya pihak penguatkuasa terus melakukan operasi serbuan tetapi gejala ini akan terus berulang kerana adanya tempat-tempat sebegini. Adalah lebih mudah jika ditutup sahaja tempat-tempat sebegini. Jika dahulu kerajaan mengambil tindakan dengan menutup terus pusat-pusat permainan video kerana tempat sebegini menjadi tempat remaja dan pelajar sekolah melepak, ponteng sekolah dan menghisap rokok tetapi mengapa tiada lagi cadangan agar ditutup sahaja pusat-pusat hiburan ini ia menjadi pusat segala kegiatan jenayah termasuklah dadah, seks bebas, gengterisme dan pelbagai lagi kegiatan yang tidak sihat ini.
Jadi masalah penagihan dadah ini tidak akan berakhir selagi kerajaan tidak mahu kembali kepada islam ini ditambah pula dengan penguatkuasa sendiri yang tidak amanah dan korupsi. Kita pernah mendengar laporan bahawa dipusat serenti sendiri terdapat kegiatan pengedaran dadah kepada pelatih pusat serenti.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home