Monday, July 19, 2010

Perpaduan Pas-Umno - Mana dia konsep 1Malaysia?

Assalamualaikum.

Hairan, mengapa hanya Pas sahaja yang diajak untuk berbincang dengan Umno? Mengapa tidak diajak sekali PKR dan DAP? Adakah PKR dan DAP tiada ahli orang Melayu? Jika alasan bahawa PKR bukan keanggotaan orang Melayu sepenuhnya, Pas juga tidak dianggotai oleh orang Melayu sepenuhnya kerana parti itu adalah parti Islam yang tidak menyempitkan keanggotaan kepada orang Melayu sahaja. Tambahan lagi parti ini baru sahaja membuka keanggotaanya kepada orang bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Jadi seperti yang diperkatakan isu perpaduan ini hanya timbul kerana Umno sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan politik. Melayu tidak terjejas pun dengan kemenangan Pakatan Rakyat ini kerana setakat ini tiada pun negeri yang bertukar Menteri Besar daripada orang Melayu kepada bukan Melayu dan negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah tetap dikuasai oleh orang Melayu.

Di sini kita ingin bertanya kepada Umno, adakah mereka sanggup untuk menendang keluar sekutu mereka MCA dan MIC untuk memberikan kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada parti-parti komponen itu kepada Pas yang bergabung dengan Umno atas nama perpaduan Melayu?

Sebenarnya kalau diikutkan komposisi kaum dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah hampir sama sebenarnya kerana mereka akan meletakkan calon mengikut majoriti kaum sesuatu kawasan. Cumanya komposisi ini akan menjadi tidak seimbang apabila salah satu parti yang bergabung itu gagal memenangi semua kerusi yang diperuntukkan.

Contohnya di Selangor pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu bilangan calon Melayu dan bukan Melayu yang diletakkan oleh PR dan BN adalah sama iaitu 35 untuk calon Melayu dan 21 untuk calon bukan Melayu. Oleh itu andaikata Pas bergabung dengan Umno atas nama perpaduan Melayu sekali pun tidak mungkin Umno akan sanggup mengambil 21 kerusi milik MCA dan MIC untuk diberikan kepada Pas.

Maka tidak timbul soal untuk Pas bekerjasama dengan Umno dari segi politik, melainkan Umno mengubah dasarnya kepada Islam terlebih dahulu seperti yang diperkatakan oleh Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz. Pas mungkin boleh bersama dengan Umno dalam isu yang menyentuh kepentingan bersama, sama ada peringkat nasional atau antarabangsa.

Yang penting gabungan Pas dengan PKR dan DAP adalah berbeza daripada gabungan Umno dengan MCA dan MIC kerana Pas bergabung dengan PKR dan DAP untuk sama-sama menentang kezaliman sedangkan gabungan Umno, MCA dan MIC dalam BN adalah untuk melakukan kezaliman dan penyelewengan. Malahan setelah sekian lama bergabung dengan MCA dan MIC, Umno tiada usaha untuk memahamkan mereka dengan Islam yang sebenar seperti yang diusahakan oleh Pas.

posted by Lidah Penghunus @ 1:18 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter