Wednesday, November 07, 2007

Hunusan edisi perhimpunan agung Umno.

Assalamualaikum.

Meneliti laporan-laporan berkenaan perhimpunan agung Umno, pemuda dan wanita 2007 dalam akhbar-akhbar budak suruhan Umno hari ini, saya tertarik dengan ucapan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bertekad untuk meleburkan parti pembangkang pada pilihanraya akan datang;

Pemuda nekad ‘leburkan’ pembangkang.
KETUA Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan ahli pergerakan itu bersedia untuk menggempur dan meleburkan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Sambil meminta mereka melupakan dulu pemilihan parti yang akan diadakan selepas pilihan raya itu, Hishammuddin berkata, Pemuda perlu memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) kerana perancangan agenda dan program semata-mata tidak bererti tanpa mandat serta kepercayaan rakyat.
"Jawatan tinggi yang dikejar dalam parti tidak membawa erti jika parti tidak dihormati masyarakat luar, sebab itu tumpuan pada Perhimpunan Agung Umno tahun depan tidak penting, lebih-lebih lagi hari ini kita tahu pilihan raya akan diadakan sebelum itu.
"Buktikan kepada saya, buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa saudara adalah generasi dan pemimpin muda yang boleh diharapkan. Buktikan kepada kami bahawa kita mampu menggempur kekuatan pembangkang dan meleburkan impian mereka... boleh?," katanya sambil disambut serentak perwakilan dengan jawapan "Boleh". Berita Harian - 7 November 2007.


Sebelum pemuda Umno bercita-cita untuk meleburkan serta melenyapkan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang, mereka kena pastikan terlebih dahulu bahawa keadaan negara ini yang ditadbir oleh mereka dalam keadaan baik, rakyat tidak terus dihimpit dengan kenaikan kos hidup juga tidak merasa bimbang dengan peningkatan kadar jenayah, rasuah dapat ditumpaskan bermula daripada peringkat pemimpin tertinggi politik hingga ke akar umbi, keruntuhan akhlak masyarakat dapat dibendung dan seterusnya Islam dilaksanakan sepenuhnya untuk memelihara masyarakat.

Kerana dengan keadaan sekarang ini yang makin teruk kita tidak dapat bayangkan jika tiada pembangkang sebagai wakil di parlimen dan dewan undangan setiap negeri. Ditakuti bertambah rosak negara kita yang diperintah oleh Barisan Nasional tanpa pemantau daripada parti pembangkang ini. Kerana sebagaimana yang kita maklum pembangkang berperanan sebanyak penyemak dan pengimbang yang menegur setiap tingkah laku parti pemerintah yang tidak betul.

Selain daripada perkara-perkara yang saya sebut tadi, sebelum meleburkan parti pembangkang pemuda Umno perlu pastikanlah bahawa dalam Umno dan Barisan Nasional yang mereka sertai bebas daripada unsur-unsur yang selama ini merosakkan parti mereka seperti pertikaikan sesama parti komponen, perebutan kuasa dan politik wang. Jika tidak mereka sebenarnya yang akan lebur pada pilihanraya yang akan datang sekalipun pembangkang hanya mensasarkan 70 kerusi parlimen.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 3 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 6:00 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter