Wednesday, January 13, 2010

Dari Pilihanraya budak sekolah ke pilihanraya kampus.

Assalamualaikum.

Pro-Mahasiswa UM pertikai e-voting.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pro-Mahasiswa Nasional Universiti Malaya (Pro-Mahasiswa UM) mempertikaikan tindakan universiti itu melaksanakan sistem pengundian secara elektronik (e-voting) pada sesi pilihan raya kampus 2009/2010 akhir bulan ini kerana dikhuatiri mempengaruhi ketelusan proses demokrasi di kampus itu.
Pengerusinya, Mohd Shafie Hashim, berkata pelaksanaan sistem pengundian e-voting mempunyai beberapa kelemahan khususnya dalam memastikan ketelusan pengiraan undi oleh pihak pentadbir sistem itu di samping menjamin kerahsiaan undi.
“Kami bukan menolak penggunaan teknologi ini yang digunakan hampir semua institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 2007,” katanya. Berita Harian - 13 Januari 2010.

Semasa zaman saya belajar dahulu pilihanraya kampus bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar sama seperti pilihanraya di peringkat Parlimen dan Dun, terdapat parti yang bertanding, ada kempen serta perang poster dan terdapat perayu undi pada hari membuang undi. Demokrasi ketika itu begitu subur. Namun begitu semua itu telah dibuang satu persatu hinggalah yang hanya tinggal pada hari ini demokrasi kampus yang penuh ketempangan.

Sepatutnya pihak pentadbiran universiti harus berasa malu dengan pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 yang kisahnya saya siarkan dalam penulisan blog semalam. Murid-murid seawal sekolah rendah diberi peluang untuk merasai demokrasi yang sebenar melalui pilihanraya memilih ketua murid. Tidak cukup dengan itu SPR pula dipanggil untuk mengendalikan perjalanan pilihanraya, seolah-olah pilihanraya kecil. Tetapi kita tidaklah mahu SPR yang jadi pengendali pilihanraya kampus, cukuplah mereka mengendalikan pilihanraya budak sekolah rendah sahaja.

Sepatutnya pilihanraya di peringkat intitusi pendidikan ini harus jadikan medan untuk pelajar atau murid mengenali sistem pilihanraya yang sebenar seterusnya memupuk minat mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah apabila mereka berumur 21 tahun kelak. Tetapi jika ianya dilaksana secara E-Voting yang berbeza daripada situasi pilihanraya yang sebenar maka ianya samalah sahaja dengan undian SMS untuk memilih juara Akademi Fantasia dan yang sewaktu dengannya. Tambahan lagi dengan kecanggihan IT sekarang ini kita begitu risau tentang tahap ketelusan dan kerahsiaan E-Voting itu sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 1:05 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter