Wednesday, January 06, 2010

Isu penggunaan nama Allah.

Assalamualaikum.

KENYATAAN MEDIA PAS

Sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Allah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

Di sini sebagai ahli Pas pendirian saya berkenaan nama Allah adalah selari dengan apa yang dinyatakan oleh Pas seperti di atas ini. Untuk kebaikan semua, dalam konteks Malaysia adalah lebih baik nama Allah ini hanya digunakan oleh orang Islam sahaja.

Saya merasakan tidak timbul masalah berkenaan hal ini kerana untuk tempat ibadat dinamakan masjid untuk orang Islam dan gereja untuk penganut agama Kristian dan begitu juga dengan penggunaan nama individu dalam sijil kelahiran atau kad pengenalan ianya adalah berbeza untuk orang Islam dan Kristian serta penganut agama yang lain.

Walau bagaimanapun isu ini tidak perlulah diselesaikan secara emosional melalui pendekatan demonstrasi. Adalah lebih baik kita berdemonstrasi untuk membantah tindakan kerajaan Mesir yang menyulitkan misi bantuan ke Palestin pada hari Jumaat ini selepas solat Jumaat di Kedutaan Mesir.

posted by Lidah Penghunus @ 5:31 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter