Sunday, July 10, 2011

BERSIH yang terus berhimpun secara bersih dan yang si kotor terus dengan kekotorannya.

Assalamualaikum.

Himpunan BERSIH kali ini entah bagaimana buat julung kalinya saya hadir dengan kenderaan sendiri. Akibatnya saya terlewat tiba oleh kerana kesesakan lalu lintas angkara sekatan jalan raya yang sengaja dibuat-buat dan penutupan laluan masuk ke Kuala Lumpur. Siapa sebenarnya yang meyusahkan rakyat kalau tidak kerajaan BN yang dibantu oleh haiwan politik peliharaan mereka.

Apapun alhamdulillah walaupun lewat akhirnya saya berjaya juga bersama-sama dengan gabungan BERSIH yang berarak hingga ke KLCC. setibanya di KLCC para peserta himpunan berkumpul secara aman dan mendengar ucapan daripada pimpinan. Tiada pun kecenderungan untuk bertindak ganas. Hanya laungan kata-kata semangat sahaja. Namun apabila datang sahaja gerombolan FRU dan lori meriam air, keadaan menjadi kelam kabut, peserta semua lari menyelamatkan diri. Hinggalah kedengaran azan Asar dari Masjid asy-Syakirin KLCC. Peserta menuju ke masjid untuk menunaikan solat Asar dan seusai sahaja solat secara berjemaah semuanya mula beransur pulang.

Dalam perjalanan pulang ke destinasi atau kenderaan masing-masing peserta BERSIH yang tadinya begitu tegang akibat diasak oleh pasukan keselamatan begitu mesra, tidak pun menunjukkan riak-riak dendam kepada anggota polis. Ada yang mengambil kesempatan bergambar kenangan dengan pasukan FRU berkuda yang mengawal keadaan di sekitar taman berhampiran KLCC. Tiada pun rasa takut di hati mereka untuk hampir dengan anggota FRU ini dan bertanyakan mereka kuda dari baka manakah ini. Tidak kurang juga yang mengucapkan salam apabila terserempak dengan beberapa anggota polis beragama Islam yang sedang membuat kawalan dan ada juga yang mengingatkan mereka tentang solat Asar.

Semasa berlangsungnya himpunan ini juga saya dapati pelancong-pelancong luar negara masih lagi meneruskan aktiviti bersiar-siar mereka di sekitar KLCC. Tidak pula mereka takut dan meninggalkan kawasan tersebut. Ini semua menunjukkan betapa amannya himpunan yang hendak dianjurkan oleh BERSIH ini. Tetapi niat mereka untuk berhimpun secara aman bertukar menjadi kelam kabut apabila anggota polis menembak gas pemedih mata dan meriam air.

Media-media haiwan politik peliharaan BN pula sibuk menggembar-gemburkan kesesakan lalu-lintas yang didakwa berpunca himpunan BERSIH. Sedangkan ianya angkara sekatan jalan raya yang dibuat-buat bagi menimbulkan kesusahan kepada rakyat. Tidak cukup dengan itu polis menasihatkan peniaga agar menutup premis mereka agar senang untuk menyalahkan BERSIH yang menyebabkan kerugian kepada peniaga. Akhbar Berita Minggu hari ini di muka hadapan memaparkan seorang yang memegang pisau, menutup muka, sedang membaling sesuatu yang didakwa peserta himpunan BERSIH. Sedangkan belum dipastikan individu berkenaan peserta BERSIH atau sengaja untuk memburukkan BERSIH 2.0.

Apapun saya ucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang berani berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan bersih di negara ini. Takziah kepada keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad yang gugur di medan BERSIH 2.0 ini. Mudah-mudahan Allah merahmati Allayarham kerana niat kita menuntut pilihanraya adil ini juga adalah untuk memenangkan Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 11:54 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter