Wednesday, July 06, 2011

BERSIH 2.1 - Boleh juga berhimpun di stadium tetapi jangan ulangi insiden PROTES 2008.

Assalamualaikum.

Sebagai rakyat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya turut menyokong tindakan BERSIH yang akur dengan nasihat baginda agar tuntutan BERSIH 9 Julai ini tidak dilakukan di jalan raya. Walaupun pendirian kita tidak berubah bahawa himpunan BERSIH ini adalah aman namun kita percaya bahawa nasihat Yang di-Pertuan Agong berikan ini terbit daripada seorang raja yang sayangkan rakyatnya tanpa dibayangi oleh kepentingan yang lain.

Maka dengan sebab itu BERSIH bersetuju untuk meneruskan himpunan mereka di stadium, sekaligus membuktikan bahawa BERSIH ini bukan Komunis seperti yang dilemparkan oleh Barisan Nasional bersama-sama haiwan politik peliharaan mereka. Saya sendiri sebenarnya tidak berapa gembira apabila demonstrasi ini dibuat di stadium. Bagi saya demonstrasi sebegini adalah demonstrasi separuh masak kerana demonstrasi sepatutnya di tempat awam dan jalan raya.

Walau bagaimanapun saya tetap akur agar demonstrasi ini digerakkan di stadium sahaja. Namun apa yang saya harap sangat-sangat agar tidak berulang lagi insiden himpunan PROTES di stadium MBPJ, Kelana Jaya pada tahun 2008. Oleh itu saya minta sangat-sangat kepada penganjur agar tiada sebarang konsert atau persembahan hiburan kerana ianya lari daripada roh demonstrasi itu sendiri. Jadikan 9 Julai nanti hari untuk mengumpulkan seberapa ramai rakyat Malaysia sebagai tanda kebersamaan mereka terhadap tuntutan BERSIH.

Walaupun himpunan BERSIH kali ini akan diadakan di stadium namun bagi saya ianya tetap beri kelebihan dan peluang untuk kita. Himpunan di stadium ini adalah cadangan daripada kerajaan BN sendiri maka saya percaya tidak akan ada tembakan gas pemedih mata dan meriam air pada hari tersebut. Oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk turun ke himpunan BERSIH 2.1, 9 Julai sebagai menyatakan sokongan mereka terhadap tuntutan untuk memulihkan pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 8:07 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter