Wednesday, June 29, 2011

BERSIH 2.0 - BN sedang giat bersandiwara.

Assalamualaikum.

Anasir asing meresap.
Penahanan dua warga luar negara di Johor disyaki cuba peralat kumpulan pengacau
PUTRAJAYA: Penahanan dua warga asing di Johor pada Sabtu lalu kerana disyaki ada kaitan dengan penganjur perhimpunan haram pada 9 Julai ini menunjukkan anasir asing sudah meresap masuk dalam kumpulan pengacau itu untuk kepentingan peribadi dan menyebarkan ideologi politik tertentu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata selain mereka, siasatan polis mendapati ada lagi individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang memperalatkan perhimpunan haram itu untuk kepentingan mereka, tetapi mungkin tidak disedari oleh penganjur perhimpunan itu sendiri.
“Saya rasa kumpulan pengacau itu sudah memulakan sesuatu yang mereka sendiri tidak dapat kawal dan jauh terpesong daripada matlamat asal kononnya mahu memastikan proses pilihan raya di negara ini benar-benar telus serta bebas daripada penyelewengan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan dan Pameran Kelengkapan Umum Polis (GPEC) Kedua Asia 2011 di sini, semalam. Berita Harian – 29 Jun 2011.

'Perhimpunan berbaur komunis'
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai ini kerana ia berbaur fahaman komunis yang nyata mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata komunisme bukanlah satu agama, malah pengikutnya juga langsung tidak mempercayai akan kewujudan tuhan.
“Sejarah kekejaman komunis sukar dilupakan penduduk di negara ini, terutama anggota keselamatan. Dalam mempertahankan keamanan negara dan agama, ramai anggota tentera dan polis meninggal dunia serta kudung kaki tangan mereka. Boleh dikatakan setiap kampung di negara ini, ada anggota keselamatan cacat kerana jerangkap samar yang dipasang komunis. Berita Harian – 29 Jun 2011.


Nampaknya kerajaan Barisan Nasional yang dibantu oleh haiwan politik mereka sedang giat mencipta sandiwara bertujuan untuk memburukkan dan seterusnya menggagalkan himpunan BERSIH 9 Julai ini. Himpunan BERSIH ini bertujuan untuk memulihkan demokrasi dan pilihanraya demi kesejahteraan rakyat negara ini. Oleh itu BERSIH tidak memerlukan bantuan pihak luar kerana tokoh-tokoh politik dan NGO negara ini sudah cukup mampu untuk menggerakkan himpunan menuntut pilihanraya adil dan BERSIH ini.

Tambahan lagi peserta himpunan 9 Julai ini nanti adalah mereka yang memiliki kesedaran untuk melihat proses pilihanraya di negara ini berjalan secara adil dan bersih oleh yang demikian mereka ini hadir secara sukarela dengan tenaga dan wang ringgit mereka sendiri tanpa minta dibayar. Oleh itu BERSIH 2.0 tidak memerlukan dana yang besar untuk menggerakkan himpunan besar-besaran ini. Apatah lagi untuk meminta dana daripada pihak luar.

Kita hairan mengapa Datuk Seri Jamil Khir boleh mengatakan himpunan BERSIH ini diresapi pengaruh komunis sedangkan tuntutan BERSIH ini hanya berkisar tentang proses pilihanraya, tidak sebut pun tentang menyamaratakan agihan pendapatan dan memiliknegarakan harta kekayaan. Malahan pilihanraya itu sendiri bertentangan dengan fahaman komunis.

Berkenaan dakwaan kononnya PAS bersekongkol dengan kumpulan yang menentang Islam. Bagi saya kerjasama ini sama juga dengan kerjasama PAS dengan Umno dalam menyuarakan nasib umat Islam Palestin tetapi tidak akan bekerjasama dari segi politik. Begitulah juga dengan NGO seperti Sister In Islam, PAS tidak berhak untuk menghalang mereka untuk menyokong BERSIH kerana itu adalah hak mereka. Malahan PAS sendiri mengalu-alukan jika Umno ingin menyertai himpunan BERSIH.

posted by Lidah Penghunus @ 11:22 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter