Tuesday, June 21, 2011

Antara Negara Berkebajikan PAS dengan Negara Islam Umno.

Assalamualaikum.

PAS sebutlah Negara Islam ke, Negara Berkebajikan ke, Hadharah Islamiah ke atau apa sahaja, namun hakikatnya parti Islam ini sudah pun bergerak ke arah cita-cita Islam. Yang pertamanya lihat pada parti itu sendiri, dasarnya adalah Islam, seruan PAS ialah Allahu akbar dan tujuan PAS dalam kurungan pertama ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah (adakah kebajikan tidak termasuk dalam nilai-nilai hidup Islam?). Dalam organisasi kepimpinan pula PAS meletakkan Majlis Syura Ulama' dalam hierarki yang paling tinggi mengatasi Presiden dan Timbalan Presiden.

Sebaik sahaja PAS mengambil alih negeri Kelantan daripada BN pada tahun 1990, parti Islam ini terus menghapuskan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam seperti judi, pusat hiburan dan mengawal penjualan minuman keras hanya untuk bukan beragama Islam dan ianya diikuti oleh negeri Terengganu sebaik sahaja diambil alih oleh PAS pada tahun 1999. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam PAS pernah merangka rang undang-undang Hudud di Kelantan tetapi ditentang oleh Umno yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Dari segi ekonomi walaupun tidak semua, PAS tetap sedaya upaya untuk melaksanakan ekonomi Islam misalnya menghindari riba dalam urusan kewangan negeri.

Di negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor walaupun PAS tidak dapat melaksanakan seperti di Kelantan tetapi sedikit sebanyak Islam tetap dapat dibawa oleh mereka yang memerintah bersama PKR dan DAP. Melalui surau dan masjid serta Program Menyemarakkan Islam Selangor (PROMISE) penerangan tentang Negara Islam, Hukum Hudud kepada masyarakat Islam telah diberi ruang yang seluas-luasnya agar masyarakat faham dan tidak takut dengan konsep negara Islam khususnya hukum hudud itu sendiri. Dengan adanya wakil rakyat PAS dalam exco agama dan exco pendidikan, pendidikan Islam telah diperkasakan dan sekolah-sekolah agama rakyat mendapat perhatian penuh daripada kerajaan negeri.

Dari segi amal maaruf nahi mungkar walaupun pusat-pusat maksiat tidak dapat ditutup tetapi dengan kuasa yang ada penguatkuasaan telah dipertingkatkan agar umat Islam negeri ini tidak terlibat dengan perkara yang melanggar syariat Islam ini. Tidak cukup dengan itu pasukan mencegah kemungkaran turut ditubuhkan di peringkat kampung-kampung dan masjid. Orang Islam di negeri Selangor juga tidak dibenarkan bekerja di tempat-tempat yang terdapat aktiviti yang bertentangan dengan Islam. Begitulah betapa PAS walaupun tidak disebut negara Islam sekalipun tetapi usaha ke arah cita-cita Islam itu sudah ada. Kita lihat sahajalah pimpinan tertinggi PAS bagaimana Islam itu dilaksanakan dalam diri dan keluarga mereka.

Ini berbeza dengan Umno. Parti Melayu ini bukan tidak pernah mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam ketika zaman Tun Dr Mahathir dahulu. Namun daripada negara Islam beralih kepada Islam Hadhari dan kembali kepada negara Islam Najib, tiada tanda-tanda menunjukkan Umno bercita-cita untuk melaksanakan Islam. Lihat kepada isteri perdana-perdana Menteri Malaysia pun cukuplah sebagai gambaran. Ketika Umno memerintah Selangor bersama BN dahulu bukan kata hendak beri penerangan tentang Islam yang sebenar kepada rakyat, malahan ustaz-ustaz yang menyatakan kebenaran Islam mereka sekat dengan tuduhan ustaz-ustaz ini berpolitik. Masjid-masjid yang dikawal oleh mereka dibiarkan lesu tanpa pengajian agama, kalau ada pun hanya berkisar soal ibadah ritual semata-mata. Sekolah-sekolah agama rakyat dibiarkan tanpa pembelaan. Yang disuburkan hanyalah pusat hiburan dan perkara-perkara yang melalaikan.

PAS yang berkawan dengan DAP oleh kerana risalah dakwah yang disampaikan kepada mereka maka DAP tidak pernah meminta PAS membuang perjuangan Islam. Namun Umno yang berkawan dengan MCA tidak pernah pun cuba untuk berdakwah kepada mereka mengakibatkan parti ini meminta PAS membuang perjuangan Islam sebagai syarat untuk parti Islam itu menyertai BN. Kesimpulannya sudah 56 tahun Umno memerintah Malaysia tetapi kita tidak nampak usaha-usaha mereka ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan Islam. Namun apabila disebut tentang ini mereka akan menyebut pembinaan masjid, bank Islam, Pusat Islam dan pajak gadai Islam sebagai bukti negara ini negara Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 10:27 PM   1 comments

1 Comments:

At 2:01 PM, Blogger pas telok sentang said...

tu je yg umno buat..negara islam pebenda camni..

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter