Saturday, September 17, 2011

Cerita Mansuhkan ISA dah sama macam cerita kemerdekaan negara.

Assalamualaikum.

Buletin Utama sebentar tadi memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menafikan bahawa pemansuhan ISA hasil perjuangan pihak-pihak seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama-sama Pakatan Rakyat, sebaliknya ISA ini dimansuhkan oleh Barisan Nasional.

Nampaknya cerita pemansuhan ISA ini samalah juga dengan kemerdekaan negara 54 tahun yang lalu yang mana orang-orang seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr Burhanudin al-Helmi, Samsiah Fakeh, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhamad, Mat Indera dan ramai lagi yang bermandi darah, ada yang ditangkap dan ada yang terpaksa masuk hutan berjuang secara gerila demi untuk memerdekakan tanah air.

Tiba-tiba apabila Tunku Abdul Rahman dan Umno yang mendapatkan kemerdekaan daripada British maka mereka sahajalah yang dianggap wira dalam memperjuangkan kemerdekaan dan nama-nama disebut sebelum ini tidak diiktiraf pun sebagai penyumbang kepada kemerdekaan negara malahan ada yang dicop sebagai pengganas.

Akta zalim ISA ini telah lama diperjuangkan oleh parti-parti politik dan beberapa NGO agar dimansuhkan. Ramai diantara mereka yang menentang ISA ini telah ditembak dengan gas pemedih mata dan meriam air, ditahan dan dibelasah oleh pasukan keselamatan malahan ada yang terkorban iaitu asy-syahid Ustaz Ibrahim Libya yang begitu tegas menentang akta yang bertentangan dengan Islam ini.

Alih-alih pada hari ini Najib kata pemansuhan ISA ini bukan hasil perjuangan mereka. Seolah-olah Najib mahu mempromosikan dirinya sebagai wira dan bapa pemansuhan ISA dan seterusnya mendapat sokongan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Nampaknya ulangtahun mansuhnya ISA tahun hadapan akan senasib dengan ulangtahun kemerdekaan negara.

posted by Lidah Penghunus @ 8:06 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter