Friday, January 11, 2013

PDRM sasar kecelakaan sifar pada KL112. Saya sokong!

      Assalamualaikum.

Polis sasar 'kecelakaan sifar' dalam himpunan 12 Jan.

Polis Bukit Aman berharap tiada kecelakaan akan berlaku sewaktu Himpunan Kebangkitan Rakyat 2012 pada hujung minggu ini.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Ramli Mohamed Yoosuf, pihak polis sentiasa meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan mereka.

"Kami serius tentang keselamatan semua orang termasuklah media. Matlamat kami adalah sifar kecelakaan dalam apa-apa bentuk sekali pun.

"Perkara ini turut dibincangkan sewaktu pertemuan ketua polis negara dan penganjur beberapa hari lalu. Soal keselamatan menjadi tumpuan perbincangan, baik keselamatan penganjur mahupun orang ramai," katanya.
Menurutnya, polis akan menjalankan tugas mereka mengawasi perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Justeru, penglibatan kanak-kanak adalah dilarang sama sekali, tambahnya lagi.
Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada April tahun lalu, dakwaan demi dakwaan timbul berhubung tindakan kekasaran polis ke atas peserta himpunan.
Dalam perhimpunan itu, polis turut mengasari seorang wartawan Malaysiakini, Koh Jun Lin, dan merampas kad memori kameranya.
Sehingga hari ini, polis masih belum mengembalikan semula kad memori tersebut kepadanya.  http://www.malaysiakini.com - 10 Januari 2013.

Saya menyambut baiklah hasrat PDRM untuk capai kecelakaan sifar pada Himpunan Kebangkitan Rakyat esok. Untuk capai matlamat tersebut mudah sahaja, polis harus mengotakan janji mereka untuk membenarkan peserta KL112 berhimpun secara aman di Stadium Merdeka esok. Perhimpunan akan menjadi lebih aman tanpa tembakan meriam dan gas pemedih mata daripada FRU. Polis hanya perlu mengawal agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi tindakan provokasi daripada pihak tertentu.

Lihat sahaja pesta menyambut tahun baru, baru-baru ini. Saya percaya ratusan ribu juga yang membanjiri ibu kota Kuala Lumpur untuk menyambut detik 12 malam. Tetapi oleh kerena tiada gangguan daripada pihak polis, tidak berlaku kekecohan. Polis hanya ditempatkan untuk menjaga keselamatan dan sebagai langkah berjaga-jaga.

Jadi kepada semua rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk berhimpun esok kerana telah ada jaminan keselamatan daripada pihak polis dan pihak pengurusan stadium juga sudah memberi kebenaran. Maka insya-Allah tidak akan ada tembakan meriam air dan gas pemedih mata.

posted by Lidah Penghunus @ 11:45 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter