Friday, April 29, 2005

Keinginan kerajaan supaya bahasa mandarin dan tamil dijadikan subjek elektif di sekolah kebangsaan

Assalamualaikum.

Baru-baru sudah timbul pula cadangan kerajaan untuk memasukkan subjek bahasa tamil dan mandarin sebagai subjek elektif di sekolah kebangsaan. Melalui perlaksanaan ini pelajar yang berminat untuk mempelajari bahasa tamil atau mandarin boleh memilih subjek ini sebagai subjek elektif. Secara peribadinya saya tidak ada masalah dengan cadangan ini malahan adalah lebih baik jika pelajar melayu pun berminat untuk mempelajari bahasa ibunda kaum lain. Kerana banyak kelebihan jika kita dapat menguasai banyak bahasa selain bahasa melayu dan bahasa arab.

Dalam konteks dakwah itu sendiri, dengan menguasai bahasa tamil atau mandarin kita dapat memberi penerangan tentang islam kepada mereka yang beragama hindu atau buddha yang majoritinya bertutur dalam kedua-dua bahasa itu tadi. Memanglah dengan bahasa melayu pun sudah cukup untuk menyampaikan dakwah secara lisan atau penulisan kepada mereka, tetapi dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri akan membuatkan mereka berasa berbesarhati dan sekaligus akan membuat mereka lebih tertarik kepada kita yang menyampaikan risalah islam. Setidak-tidaknya jika mereka tidak memeluk islam pun, mereka akan menyedari bahawa islam itu adalah syumul dan membawa kepada kebaikan kepada semua golongan manusia dan kita lebih mudah untuk mendekati mereka.

Namun kita tidak mahu cadangan ini dikemukakan semata-mata untuk menutup isu besar dalam isu bahasa sekarang iaitu perlaksanaan bahasa inggeris dalam subjek sains dan matematik. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa sejak keputusan peperiksaan SPM diumumkan, telah terbukti bahawa perlaksanaan ini telah membawa banyak masalah kepada prestasi pelajar terhadap subjek sains dan matematik dan pelbagai pihak telah membidas perlaksanaan ini dan meminta agar ianya dikaji semula. Namun begitu kerajaan tetap dengan pendirian mereka dan cuba mengalih perhatian rakyat dengan cadangan tersebut. Dapat juga dilihat di sini bahawa perlaksanaan ini juga adalah untuk mengambil hati kaum cina dan india kerana perlaksaan bahasa inggeris dalam subjek sains dan matematik ini bukan sahaja telah menafikan peranan bahasa melayu dalam pendidikan sains dan matematik, bahasa tamil dan mandarin juga terlibat sama.

Oleh itu dalam kerajaan berusaha untuk menjadikan bahasa mandarin dan bahasa tamil sebagai subjek pilihan dalam sekolah kebangsaan, amat perlulah dikembalikan peranan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar bidang ilmu sains dan matematik

posted by Lidah Penghunus @ 11:07 PM   1 comments

1 Comments:

At 12:27 PM, Anonymous Anonymous said...

Bahasa Mandarin dan Tamil tidak perlu diajar di sekolah. Di universiti mungkin diperlukan demi perhubungan dengan negara luar.

Orang Malaysia sepatutnya utamakan bahasa Malaysia. Apa relevannnya bahasa Mandarin dan Tamil dalam negara ini. Ia bukan bahasa rasmi dan 'kebangsaan', hanya bertaraf bahasa kaum tertentu.

Tidak perlu sentimen melulu. Kalau begitu bagaimana dengan bahasa Iban atau bahasa Orang Asli?.

Negara ini bukan hanya terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Cukup-cukuplah dengan keperkauman yang sempit itu.

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter