Thursday, November 08, 2007

Himpunan BERSIH kurang 48 Jam sahaja lagi.

Assalamualaikum.

Jika tuan-tuan ingat tahun lepas semasa perhimpunan agung Umno blog saya ini banyak membuat ulasan sekitar perhimpunan agung Umno yang telah diadakan. Namun pada tahun ini saya kurang memberikan perhatian kepada perhimpunan yang sedang berlangsung dan akan tamat pada keesokan harinya. Ini kerana saya sekarang sedangkan menumpukan perhatian kepada himpunan 100,000 rakyat anjuran BERSIH yang ketika ini tinggal 1 hari 14 jam sahaja lagi.

Jika tuan-tuan mengikuti perkembangan semasa, dalam berita jam 8 malam tadi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai himpunan BERSIH kerana didakwa mampu mencetuskan kekecohan dan menjejaskan ketenteraman awam. Di sini kita hairan bagaimana pihak polis boleh mengatakan bahawa perhimpunan berkenaan akan berlangsung secara tidak aman dan akan timbul kekacauan, sedangkan jelas ianya disebut oleh BERSIH sebagai himpunan aman, tiada kekacauan dan tiada provokasi.

Penganjur hanya mengarahkan peserta memakai pakaian berwarna kuning, berkumpul di tempat yang arahkan, berarak ke tempat yang diarah secara aman dan mereka ditegah daripada melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kekacauan. Jika tuan-tuan baca panduan bersiri yang bertajuk "apa hak anda bila berhadapan dengan polis" di dalamnya tidak pun mengajar agar mereka yang berkenaan melanggar arahan polis dan membuat kekacaun. Cumanya dalam paduan itu diterangkan kaedah undang-undang dalam berhadapan dengan anggota polis yang bertugas agar rakyat tahu apakah hak mereka. Jadi di sini jelas bahawa BERSIH tidak berniat untuk menimbulkan kekacauan semasa himpunan.

Dalam berita itu tadi Tan Sri Musa juga menyebut bahawa pihaknya khuatir akan ada pihak-pihak dan anasir tertentu yang akan mengambil kesempatan hingga menimbulkan kekacauan. Jika itulah yang dikhuatiri oleh KPN maka ianya bukanlah daripada pihak penganjur sendiri. Sudah tentulah daripada pihak luar yang mahu menggagalkan hinpunan ini. Jadi kita mahu pihak polis siasatlah dan tangkap pihak-pihak yang merancang menimbulkan kekacauan selama ini termasuk pada insiden Batu Burok beberapa bulan lepas.

Tambahan lagi jika atas dasar khuatir terjadi perkara yang tidak diingini polis tidak membenarkan himpunan, konsert-konsert dan perlawanan bola sepak juga boleh dijadikan medan rusuhan oleh pihak-pihak yang tertentu. Mengapa ianya boleh pula dibenarkan oleh pihak polis? Dalam akhbar hari ini pula Presiden Umno dalam ucapan dasar perhimpunan agung Umno meminta agar tidak mengkritik pihak polis secara berlebihan kerana ianya boleh menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada pasukan itu.

Sebenarnya di sini pihak polis sendiri yang membuka ruang kritikan dan seterusnya menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi penguatkuasaan itu kerana mereka membiarkan diri mereka dipergunakan demi kepentingan politik parti pemerintah.

posted by Lidah Penghunus @ 11:11 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter