Hunusan edisi menjelang himpunan BERSIH.
Assalamualaikum.
Isu pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bergema sekali lagi di perhimpunan agung Umno.
Pada perhimpunan agung Umno tahun lepas perwakilan daripada negeri Johor meminta agar dikaji perlaksanaan mata pelajaran sains dan matematik yang telah terbukti menyulitkan golongan pelajar. Pada perhimpunan agung Umno tahun ini pula sekali lagi perwakilan daripada Johor telah mendesak agar pengajaran subjek Sains dan Matematik dikembalikan dalam Bahasa Melayu dan desakan ini telah diulangi oleh sayap pergerakan pemuda Umno.
Kerajaan digesa mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi mengangkasakan tamadun bangsa selain memenuhi peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Wakil Badan Perhubungan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menimbulkan isu kedudukan bahasa Melayu itu tahun lalu dan membangkitkannya sekali lagi pada Perhimpunan Agung UMNO tahun ini berkata, UMNO Johor tidak menolak penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris.
Pendirian UMNO Johor tersebut turut dikongsi oleh wakil Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin yang membuat gesaan yang sama ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada perhimpunan tahunan UMNO itu.
Menurut Mohd. Puad, UMNO Johor akan meneruskan perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan mahu melihat bahasa Melayu digunakan semula dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah. Utusan Malaysia - 9 November 2007.
Nampaknya sudah dua kali isu yang melibatkan kedaulatan Bahasa Melayu dan masa depan pelajar ini di bawa ke perhimpunan agung Umno. Kali pertama pada tahun lepas desakan ini tidak pun diambil perhatian oleh pemimpin tertinggi Umno dan kerajaan apabila pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris terus dilaksanakan.
Kali ini kita mahu lihat adakah kerajaan akan mengambil berat usul yang melibatkan kepentingan rakyat ini. Adakah hak Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu Sains dan Matematik akan dikembalikan. Jika desakan itu tidak dilaksanakan maka makin jelaslah bahawa perhimpunan agung Umno ini hanyalah majlis bercakap semata-mata sedangkan perlaksanaannya tiada.
Universiti kita terkeluar senarai 200 terbaik dunia.
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Tiada sebuah pun universiti di Malaysia tersenarai di kalangan 200 universiti terbaik dunia, berdasarkan penarafan Times Higher Education Supplement (THES) tahun ini.
Sehubungan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed mengarahkan semua naib canselor universiti tempatan menjadikan reputasi akademik sebagai strategi utama dalam inisiatif penambahbaikan institusi masing-masing.
Langkah berkenaan perlu dilakukan berikutan 60 peratus markah penilaian penarafan THES adalah berdasarkan penilaian sepakaran (peer review) dan sitasi (citations), katanya dalam satu kenyataan hari ini. Penarafan tersebut dikendalikan syarikat swasta British iaitu Quaquarelli-Symmonds (QS) bagi pihak THES sejak 2004.
Ia berdasarkan unsur-unsur penilaian sepakaran (40 peratus), sitasi (20 peratus), nisbah pensyarah-pelajar (20 peratus), penilaian majikan (recruiter review) (10 peratus), pensyarah antarabangsa (5 peratus) dan pelajar antarabangsa (5 peratus).
Tahun lepas, dua universiti tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia. Utusan Malaysia - 9 November 2007.
Yang pertamanya kemerosotan ini berlaku ketika Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang berbangga dengan sistem pendidikan negara yang kononnya terbaik apabila di pilih menjadi ahli lembaga eksekutif Unesco iaitu badan dunia yang berkaitan dengan soal pendidikan.
Yang keduanya jika tuan-tuan masih ingat pada tahun 2005 kedudukan Universiti Malaya telah jatuh menjunam daripada tangga 89 ke tangga 169 sebagai universiti terbaik dunia. Dua tahun selepasnya pula Universiti negara kita terus terkeluar daripada senarai 200 universiti terbaik dunia.
Perkara ini berlaku ketika kampus-kampus negara kita sekarang ini diwakili oleh pelajar-pelajar proaspirasi yang tidak memiliki idealisme perjuangan dan ditadbir oleh mereka yang sedia dicucuk hidungnya oleh parti pemerintah yang bertanggungjawab membunuh demokrasi di kampus demi memenangkan calon proaspirasi. Maka tidak hairanlah jika universiti di negara kita tidak diiktiraf sebagai 200 universiti yang terbaik dunia.
Tanggungjawab sosial akhbar untuk kepentingan Umno.
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Syarikat-syarikat akhbar diminta tidak memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya memenuhi tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.
Sambil memuji penerbitan Utusan Malaysia hari ini walaupun pada cuti umum Deepavali, beberapa pemimpin dan perwakilan UMNO mahu kelemahan yang wujud dalam industri akhbar diatasi.
Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, operasi penerbitan akhbar sepatutnya tidak dihentikan atas alasan akhbar tidak dapat diedarkan kerana tiada tenaga kerja untuk melakukannya.
Beliau berkata, tanpa akhbar diterbitkan setiap hari, sekiranya berlaku peristiwa penting sudah pasti rakyat tidak dapat mengetahui maklumat sebenar.
Muhammad mengambil contoh ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO semalam yang berkemungkinan tidak dapat diketahui oleh semua rakyat disebabkan banyak akhbar arus perdana tidak diterbitkan hari ini. Utusan Malaysia - 9 November 2007.
Baru sekali ini sahaja ucapan dasar presiden Umno tidak disiarkan dalam akhbar-akhbar utama negara. Itu pun tidak semua. Masih ada 3 lagi akhbar yang memaparkan ucapan dasar Pak Lah. Sedangkan ucapan dasar presiden Pas tidak pernah pun mendapat tempat dalam akhbar-akhbar perdana yang dinyatakan di atas ini.
Jelas di sini bahawa tanggungjawab sosial akhbar yang dilaung-laungkan oleh mereka hanyalah demi kepentingan politik mereka sahaja sedangkan banyak lagi tanggungjawab sosial akhbar terutama sekali dalam menyampaikan berita yang benar dan tidak berat sebelah tidak pun disebut oleh mereka.
HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 22 JAM LAGI.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home