Saturday, February 09, 2008

Semuanya kerana pilihanraya.

Assalamualaikum.

Bila hampir pilihanraya ini banyak yang kerajaan Barisan Nasional lakukan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat. Tambahan lagi sekarang ini kaum Cina dan India dilihat telah ramai beralih sokongan kepada parti pembangkang. Maka pelbagai usaha lakukan untuk menambat hati mereka agar kembali ke pangkuan parti pemerintah.

Antara yang boleh kita saksikan ialah berkenaan pengeluaran lesen perniagaan barangan lusuh. Dahulu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Khir Toyo beriya-iya memerangi kegiatan ini kerana ianya didapati menjadi penyumbang kepada kegiatan mencuri barangan-barangan yang berasaskan logam di kawasan-kawasan perumahan. Namun tiba-tiba hari ini ianya dilonggarkan pula atas alasan untuk memberi peluang kepada kaum india terlibat dalam bidang perniagaan.

Yang keduanya masihkah tuan-tuan ingat tentang SRJK (C) Damansara yang telah ditutup kerana hendak dipindahkan pada tahun 2001? Penutupan sekolah ini telah mendapat bantahan daripada ibu-ibu bapa berkenaan kerana telah menimbulkan beberapa kesulitan kepada mereka dan Jawatankuasa Selamatkan Sekolah Kami atau SOS telah dibentuk untuk memperjuangkan isu ini. Akhirnya baru-baru ini Perdena Menteri telah mengarahkan agar isu Sekolah Rendah Kebangsaan Cina ini diselesaikan.

Apa yang dapat kita simpulkan di sini memandangkan pilihanraya umum tidak lama sahaja lagi dan didapati sokongan kaum Cina dan India kepada Barisan Nasional semakin merosot maka Umno dan Barisan Nasional kini semakin terdesak hinggakan mereka sedia untuk bertolak ansur dalam perkara yang selama ini mereka berkeras untuk mempertahankannya.

MB perjelas kelonggaran syarat lesen.
SHAH ALAM: Selangor melonggarkan syarat pengeluaran lesen kepada pengusaha barangan lusuh dan besi buruk bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai kaum India untuk terbabit dalam bidang perniagaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bagaimanapun berkata, kelonggaran itu dengan syarat premis barang lusuh dan lusuh itu terletak di kawasan industri dan tidak membeli barang tembaga, besi atau aluminium yang dicuri.
Beliau berkata, sejak kerajaan negeri bersetuju untuk melonggarkan syarat pengeluaran lesen itu, sebanyak 21 permohonan diterima daripada pengusaha besi buruk dan barang lusuh yang beroperasi secara haram di negeri itu.
“Kita menyediakan banyak ruang niaga kepada pengusaha kaum India di tapak industri dan mereka hanya perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa.

“Jika menepati syarat seperti tidak beroperasi di tepi jalan, jauh daripada kawasan perumahan dan tidak membeli barang curi, kerajaan negeri sedia mengeluarkan lesen. Utusan Malaysia - 9 Febuari 2008.

Dua parti runding isu SRJKC.
KUALA LUMPUR: MCA dan Gerakan akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pelajaran bagi menyelesaikan isu perpindahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Damansara bagi memastikan isu itu tidak dipolitikkan.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata isu itu akan diselesaikan dengan mengambil kira keperluan penduduk untuk membuka semula sekolah lama SRJKC Damansara yang dipindahkan ke bangunan baru berhampiran Taman Tropicana dekat sini. “Rundingan akan dibuat berdasarkan keperluan masyarakat setempat yang mendakwa sekolah yang ada kini tidak dapat mengatasi masalah kesesakan pelajar dan bukannya atas faktor politik,” Utusan Malaysia - 9 Febuari 2008.


Walau bagaimanapun di sini kita tetap menyambut baik jika ianya akan memberikan keuntungan kepada rakyat. Maka apa yang hendak kita beritahu di sini, inilah perlunya ada wakil pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri kerana mereka inilah yang akan menyuarakan segala masalah rakyat di peringkat akar umbi dan terus mendesak agar rintihan rakyat ini didengar oleh kerajaan yang memerintah.

posted by Lidah Penghunus @ 12:32 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter