Thursday, February 18, 2010

Bila Presiden Pas selamatkan mangsa lemas.

Assalamualaikum.

Penjual daging diselamatkan Presiden Pas.
MARANG 17 Feb. - Seorang peniaga daging tidak dapat melupakan detik-detik cemas dia dihanyutkan arus laut selama hampir setengah jam ketika mandi di Pantai Rusila di sini pada Ahad lalu.
Insiden hampir meragut nyawa warga emas itu, Ahamad Mat Zain, 60, bagaimanapun berakhir dengan kelegaan apabila dia diselamatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu sedang memancing di pantai tersebut.
"Saya cuba berenang ke darat tetapi gagal. Saya hampir putus asa apabila terminum banyak air lalu menjerit meminta tolong.
"Akhirnya saya lega dan bersyukur apabila tangan saya disambut orang selepas bertarung nyawa hampir setengah jam," kata Ahamad ketika menceritakan kejadian Ahad lalu itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Ahamad yang tinggal kira-kira lima meter dari pantai tersebut lemas ketika mandi di laut sebelum diselamatkan Abdul Hadi dan anaknya, Abdul Rahman, 28.
Sewaktu kejadian, Ahli Parlimen Marang tersebut bersama beberapa ahli keluarganya sedang memancing di pantai berkenaan.
Menurut Ahamad, beberapa minit selepas dia berada dalam laut, kakinya tidak lagi memijak apa-apa menyebabkan dia menyedari dirinya ditarik ke tengah laut oleh arus laut yang kuat ketika itu.
Dia kemudian cuba berenang ke tepi pantai untuk menyelamat diri tetapi tidak berjaya.
"Setiap kali dekat dengan pantai, saya akan ditarik semula ke tengah laut. Saya akhirnya rasa letih dengan telinga rasa bengang (berdesing) selain tidak boleh bernafas kerana terminum banyak air laut apabila saya menjerit meminta tolong.
"Apabila saya cuba berenang ke tepi pantai sekali lagi, kali ini tangan saya disambut oleh Abdul Hadi dan anaknya," kata Ahamad.
Sementara itu, isteri Ahamad, Mandak Deraman, 52, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu apabila seorang jiran memberitahu suaminya lemas.
"Apabila sampai di pantai, orang ramai sedang berkumpul. Mereka tidak berani untuk turun kerana ombak kuat.
"Jiran kami cuba menggunakan bot gentian kecil miliknya namun gagal. Ada yang cuba lemparkan pelampung kepada suami saya tetapi tidak berjaya," katanya.
Mandak berkata, dia berterima kasih kepada semua orang yang membantu menyelamatkan suaminya termasuk keluarga Abdul Hadi. Utusan Malaysia – 18 Febuari 2010.

Pertama kali saya terjumpa berita Tuan Guru Presiden menyelamatkan mangsa lemas ini ialah di Laman Web http://www.tranungkite.net pada hari semalam. Pagi tadi saya telah ternampak berita berkenaan Presiden Pas ini dalam akhbar Utusan Malaysia milik seorang rakan. Namun begitu kejadian yang terjadi pada hari ini 14 Febuari ini hanya diletakkan di bahagian belakang akhbar empat hari selepas kejadian.

Tidak mengapalah berkenaan dengan itu. Tetapi cuba jika Perdana Menteri, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyelamatkan mangsa lemas berkenaan. Tidak mustahil berita berkenaannya akan tersiar keesokan harinya di muka hadapan kesemua akhbar arus perdana.

Apapun tahniah kepada Tuan Guru Abdul Hadi kerana sebagai seorang Ulama' bukan sahaja sanggup terjun ke medan politik untuk berdakwah tetapi sanggup terjun ke lautan untuk menyelamatkan nyawa orang.

posted by Lidah Penghunus @ 12:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter