Wednesday, April 20, 2011

E-mel 1Malaysia sebagai strategi politik BN di alam maya.

Assalamualaikum.

Akaun e-mel peribadi setiap rakyat.
Wujud perhubungan langsung warga berusia 18 tahun ke atas dengan kerajaan
PUTRAJAYA: Mulai Julai ini rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan diberikan akaun e-mel peribadi menerusi web portal E-mel 1Malaysia yang membolehkan mereka menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam.
Projek E-mel 1Malaysia (1MY) itu juga bagi mewujudkan perhubungan lebih telus dan selamat rakyat dengan kerajaan, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam kepada rakyat kerana ia berfungsi sebagai portal sehenti untuk perkhidmatan beberapa agensi kerajaan.
“E-mel 1Malaysia akan menjadi e-mel peribadi rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan. Kami sedang meninjau untuk meletakkan notis dan pengumuman penting daripada kerajaan dihantar terus dalam peti e-mel pengguna,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan portal e-mel 1 Malaysia dengan MyEG, beliau berkata MyEG ditumpukan kepada perkhidmatan pembayaran bil, manakala E-mel 1Malaysia untuk menyampaikan notis dan maklumat kerajaan.

Beliau menjelaskan, Tricubes kini sedang meninjau beberapa cara untuk menjadikan pendaftaran akaun e-mel berkenaan secara automatik kepada pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas. Berita Harian – 20 April 2011.

Apa yang saya nampak idea e-mel peribadi 1Malaysia ini wujud ekoran kekalahan kerajaan Barisan Nasional di alam maya khususnya pada Pilihanraya Negeri Serawak tempoh hari. Ini diakui sendiri oleh Datuk Seri Najib bahawa kewujudan media internet menyukarkan BN untuk menang besar dalam pilihanraya.

Sebagaimana yang kita maklum ketika ini kebanjiran teknologi maklumat banyak melanda di kawasan Bandar. Walau bagaimanapun apa yang harus kita sedar kebanjiran teknologi maklumat ini telah mula menular di kawasan-kawasan kampung atau desa. Ini kerana di setengah-setengah kampung telah ada pusat internet desa yang disediakan oleh pihak kerajaan yang secara tidak langsung melahirkan kesedaran dan celik IT di kalangan masyarakat luar Bandar. Ini ditambah pula dengan rancangan untuk mewujudkan zon wifi di kawasan Bandar.

Oleh itu tidak mustahil pihak kerajaan Barisan Nasional telah nampak perkara ini dan sebagai persediaan untuk menghadapi ledakan teknologi maklumat di kawasan luar bandar maka diwujudkan akaun e-mel untuk semua rakyat Malaysia yang mencapai berumur 18 tahun agar segala propaganda BN dapat masuk dahulu ke skrin komputer rakyat sebelum masuknya maklumat daripada laman blog dan laman sosial yang lain.

Cuma kita tidak pasti bagaimanakah bentuk e-mel itu nanti, adakah ianya berbentuk komunikasi dua hala atau satu hala sahaja iaitu pemilik e-mel hanya menerima emel masuk daripada kerajaan sahaja. Apapun yang pasti apabila wujudnya e-mel 1Malaysia ini nanti, hanya dengan satu klik sahaja kerajaan akan dapat menghantar maklumat kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Memang benar kebaikan E-mel 1Malaysia ini sesebuah kerajaan dapat menyalurkan maklumat tentang dasar-dasar kerajaan terus kepada rakyat tetapi tidak mustahil ianya boleh disalahgunakan kerana sekarang ini majlis-majlis rasmi dan kemudahan kerajaan pun boleh disalahgunakan untuk kempen politik.

posted by Lidah Penghunus @ 12:16 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter