Monday, April 11, 2011

Hunusan PRN Serawak - Edisi Isnin.

Assalamualaikum.

Isu video seks: Kontroversi jam Omega buat Anwar naik angin.
KUCHING: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim 'naik angin' apabila diajukan soalan mengenai jam tangan Omega yang kini menjadi kontroversi berikutan klip video seks didakwa membabitkan dirinya.
Ketika sidang akhbar mengenai pilihan raya negeri di sebuah hotel di sini, Anwar pada awalnya enggan menjawab soalan berkisar isu jam tangan terbabit yang beliau dakwa tidak ada kena mengena dengannya serta tidak perlu memberi jawapan.
Sambil cuba mengelak menjawab soalan wartawan beberapa kali, Anwar berkata, isu video seks yang didedahkan 'Datuk T' serta misteri jam tangan Omega sudah dijawab isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR sebelum ini.
“Apa kena mengena dengan jam Omega... sebab apa saya kena jawab? Azizah sudah jawab sebelum ini. Soalan awak itu membantu (akhbar) Utusan. Nanti Utusan tulis Anwar gagal jawab.
"Bila yang polis minta? Bila yang polis minta? Bila yang polis minta? You kata kenapa tidak serahkan kepada pihak polis. Soalannya, bila polis minta?... jawapannya polis tidak minta," katanya.
Anwar yang sebelum itu enggan menjawab soalan wartawan mengenai isu jam terbabit sebaliknya menyoal kembali wartawan mengapa beliau perlu menjawab soalan berkenaan.
Beliau juga mencabar wartawan sama ada mereka berani bertanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
“Adakah anda berani tanya Najib berhubung pembunuhan Altantuya. Adakah anda bertanya? Media sepatutnya jujur, tidak hipokrit dan menjadi alat untuk mereka yang kejam dan memfitnah,” katanya. Berita Harian - 11 April 2011.

Macam manalah Datuk Seri Anwar tak naik angin, sidang media ini fokus untuk Pilihanraya Negeri Serawak, Pakatan Rakyat perlu fokuskan sepenuhnya kepada isu pilihanraya kerana akses kepada media mereka khususnya media perdana adalah terhad.
Tiba-tiba ada pula seorang wartawan yang ghairah nak jadi haiwan politik Barisan Nasional bertanyakan tentang jam Omega. Apa mereka ingat mereka ini polis ke? Mentang-mentanglah Datuk T telah meletakkan keistimewaan mereka lebih daripada polis apabila melaporkan tentang video seks kepada mereka dahulu sebelum melaporkan kepada polis.


Buat ujian kesan pembohongan.
KUALA LUMPUR 10 April - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail (gambar) dicabar menjalani ujian pengesan bohong dalam isu rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang. Ketika membuat cabaran berkenaan, Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, ia merupakan cara terbaik bagi Anwar dan Wan Azizah membersihkan nama bagi membuktikan mereka tidak bersalah memandangkan banyak kenyataan mereka bercanggah. ''Keadaan itu sudah menjadi masalah besar kepada mereka. Ini yang menimbulkan persoalan terutama kalangan ahli PKR sendiri," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Utusan Malaysia - 11 April 2011.

Datuk Mohd Zahid kena gesalah sekali Trio Datuk T termasuk orang kampung beliau agar turut membuat ujian pembohongan. Kerana kenyataan salah seorang daripada mereka juga adalah meragukan. Pada mulanya mengatakan bahawa dia terjumpa pita rakaman dan kamera tersembunyi, menggambarkan dia tiada dalam rakaman, tetapi kemudiaannya dia mengaku pula ada dalam rakaman tersebut.


Sabar tunggu perubahan pemimpin.
Proses peralihan kuasa di Sarawak sudah dirancang secara teratur, teliti: Najib
KUCHING: Datuk Seri Najib Razak menasihatkan rakyat Sarawak supaya bersabar menunggu perubahan kepemimpinan negeri yang dijanjikan sambil menegaskan proses peralihan kuasa itu sudah dirancang secara teratur dan teliti.
“Kita merancang perubahan dalam kepemimpinan Sarawak dengan terancang. Saya sudah berunding dengan Ketua Menteri (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) dan beliau setuju melakukan perubahan kepemimpinan... percayalah kepada saya. Jangan lakukan sesuatu dengan terburu-buru... jangan lakukan sesuatu yang kita akan rugi. Berita Harian - 11 April 2011.

Nasihat saya kepada pengundi di Serawak tidak perlulah menunggu peralihan kuasa intra-partisan di Serawak (tukar ketua menteri dalam BN) kerana siapapun yang akan naik adalah mereka di dalam Barisan Nasional yang sekian lama bergelumang dengan korupsi dan kronisma serta mengaut kekayaan negara untuk duit poket sendiri.

Kita lihat di peringkat kerajaan persekutuan sejak tahun 2003 telah dua kali bertukar Perdana Menteri tetapi negara tetap dalam keadaan yang tidak memuaskan apabila gejala rasuah semakin menjadi-jadi, kekayaan dibolot oleh segelintir kroni sang penguasa, rakyat semakin dihimpit dengan kenaikan harga barangan keperluan, rakyat juga hidup dalam keresahan dengan peningkatan kejadian jenayah yang semakin tragis, keruntuhan akhlak masyarakat semakin dahsyat dan hak asasi manusia masih dalam keadaan yang tidak memuaskan

Seolah-olah bertukar Perdana Menteri hanya bertukar slogan sahaja, dari Wawasan 2020 ke Islam Hadhari, daripada Hadhari ke 1Malaysia dan semuanya hanya tinggal slogan. Oleh itu kepada pengundi di Serawak pada kesempatan Pilihanraya Negeri ke-10 ini buatlah perubahan. PRN 2011 ini adalah langkah pertama kerana kita juga akan membuat perubahan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti agar keadaan dalam negara ini dapat diperbaiki sepenuhnya dengan adanya Pakatan Rakyat dalam kerajaan pusat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:35 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter