Kerisauan kerajaan terhadap hiburan yang bertentangan dengan budaya timur.
Baru-baru ini dalam akhbar nasional JAKIM akan mengambil langkah untuk membuat garis panduan tentang pertunjukkan hiburan yang diadakan dalam negara. Lihat sahaja kepada kenyataan saya secara peribadi amat-amat menyambut baik langkah jakim itu. Tetapi bila diteliti kandungan kenyataan rupa-rupanya jakim yang bertanggungjawab keatas kemajuan islam di negara ini juga seperti apa yang saya sebut dahulu bahawa mereka lebih mementingkan budaya timur daripada hukum syarak bila mana mereka akan membuat garis panduan pertunjukkan hiburan agar tidak bertentangan dengan budaya ketimuran.
Ianya terdiri dari garis panduan pemakaian dan juga bentuk persembahan. Seperti yang telah saya sebut dalam penulisan terdahulu bila sahaja disebut tentang garis panduan pakaian seseorang artis yang tidak bertentangan dengan budaya, bagi mereka artis itu sudah cukup sopan apabila tidak memakai pakaian yang terlalu kebaratan dan lagi baik jika memakai baju kurung melayu. Sedangkan mengikut hukum syarak persembahan hiburan yang melalaikan itu sendiri sudah bertentangan dengan nilai-nilai islam.
Di sini saya suka mengambil contoh isu pengharaman konsert sure heboh suatu masa dahulu, baru-baru ini dato' Harussani Zakaria, Mufti Perak dalam ceramahnya sempena maulidur rasul menjelaskan bahawa pengharaman konsert itu bukan semata-mata kerana pemakaian artis yang membuat persembahan itu sahaja, malahan yang paling penting jelas beliau konsert tersebut telah melalaikan masyarakat dari mengerjakan solat dan dikhuatiri ini akan membawa mereka kepada kekufuran. Memang tidak boleh dinafikan kerana walaupun kebiasaan suatu konsert itu bermula pada jam 9 malam iaitu selepas isya' tetapi saya tak fikir bahawa mereka yang mengunjungi konsert ini akan solat dahulu sebelum ke konsert kerana mereka sudah tentu ingin datang awal untuk mendapat tempat paling hadapan dan paling dekat dengan artis kesayangan mereka. Malahan ada yang sanggup datang seawal sebelum maghrib untuk memastikan tiket-tiket masuk tidak kehabisan. Fenomena inilah yang membuatkan mereka sanggup meninggalkan solat semata-mata untuk menonton persembahan artis. Mungkin mereka akan bagi alasan bahawa waktu isya' panjang, tetapi adakah kerena semata-mata untuk sesuatu yang melalaikan mereka akan melewatkan solat mereka? Satu lagi kita lihat kepada artis yang akan membuat persembahan. Sebelum membuat persembahan mereka akan disolekkan seawal pukul 7 malam lagi dan jika muka mereka sudah tertampal dengan solekkan saya tak fikir mereka sanggup rosakkan solekkan mereka itu dengan air wudhu'
Tidak terbatas kepada konsert, persembahan hiburan di televisyen juga kita dapati banyak melalaikan masyarakat islam dari kewajiban solat. Banyak rancangan hiburan dibuat pada waktu maghrib. Tidak dinafikan bahawa mereka akan menghentikan siaran untuk menyiarkan azan. Tetapi nampak seperti ianya melepaskan batuk di tangga kerana selepas sahaja disiarkan azan terus disiarkan iklan-iklan yang berkumandang dengan lagu-lagu yang rancak sedangkan dalam waktu yang sama azan di masjid-masjid dan surau belum habis lagi. Seketika dahulu ada yang menyarankan agar ibu bapa sendiri berperanan dengan menutup terus TV pada sekitar maghrib iaitu pukul 7 hingga lapan malam. Namun begitu kita mahu kerajaan melalui kementerian penerangan juga harus berperanan dengan tidak membenarkan stesyen TV dan radio menyiarkan sebarang bentuk hiburan pada sekitar waktu maghrib hingga isya' kerana kita sudah sedia maklum bahawa dalam zaman yang penuh dengan budaya hedonisme atau budaya mengagungkan keseronokan ini, tidak semua anak-anak yang akan mendengar cakap ibu bapa mereka dan dari situ perlunya peranan kerajaan sebagai pihak yang mempunyai kuasa.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home