Semuanya kerana dunia
Assalamualaikum.
Seringkali kita dengar seorang ibu memarahi anaknya, sering berleter terhadap anaknya kerana risaukan anaknya yang malas untuk belajar, malas untuk ke sekolah sehingga kadang kala membuatkan sang anak berasa tension dan malas untuk duduk di rumah. Semua itu adalah semata-mata kerana si ibu ingin melihat anaknya berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang yang berguna suatu hari nanti.
Namun begitu dalam perkara untuk memastikan agar anak itu terpelihara akhlak dan pegangan agamanya dan seterusnya terjamin hidupnya di akhirat tidak begitu diambil berat. Misalnya dalam pendidikan agama leteran yang diberikan oleh si ibu jika anaknya ponteng kelas agama atau mengaji al quran adalah tidak sehebat jika sang anak ponteng sekolah. Sedangkan dengan didikan agama akan menjamin kehidupan seseorang anak itu di dunia dan akhirat.
Seorang anak yang hanya cemerlang dalam dalam pendidikan keduniaan semata-mata mungkin akan dapat memberikan kebahagiaan dan kesenangan kepada ibu dan bapanya setakat di dunia sahaja. Namun begitu seorang anak yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan keduniaan namun cemerlang dalam pendidikan agama insya-Allah akan memberikan kebahagian bukan setakat di dunia, malahan membawa kepada kebahagiaan di akhirat kerana anak-anak yang soleh akan sentiasa mendoakan kebahagian ibu dan bapanya di dunia dan akhirat.
Seorang ibu yang kuat berleter kepada anaknya dalam soal pelajaran tiba-tiba seolah-olah mendiamkan diri bila melihat anaknya bebas ber’couple’ ke sana ke mari, lalai dari mengerjakan solat, tidak menutup aurat ketika keluar rumah dan terlampau fanatik dengan hiburan yang melalaikan. Si ibu tidak sanggup menegur perbuatan anaknya kerana tidak mahu dikatakan suka berleter dan tidak ‘sporting’ dan baginya itu semua tidak mengapa asalkan anaknya cemerlang dalam pelajaran.
Lain pula halnya kita sebagai seorang pekerja yang seboleh-bolehnya tidak mahu datang lewat ke tempat kerja, tidak mahu ‘punchcard’ merah kerana takut dimarahi oleh bos, dikenakan memo dan seterusnya di potong gaji. Namun begitu dalam soal solat fardu tiada pun sedikit rasa bersalah kerana melewat-melewatkannya dan tidak pun kita berasa takut bahawa ganjaran pahala solat fardu kita akan ‘dipotong’ dan menjadi kurang kerana melengah-lengahkan solat tanpa sebab yang munasabah.
Begitu juga dengan aktiviti jemaah seperti usrah, mesyuarat, ceramah dan sebagainya, ramai lagi ahli-ahli jemaah termasuk diri saya sendiri yang gagal untuk hadir ke program-program jemaah tepat pada waktunya. Sedangkan bila menghadiri mesyuarat, seminar, dan majlis menandatangani kontrak atau memorandum persefahaman yang berorientasikan keuntungan dunia, seboleh-bolehnya kita akan datang lebih awal sebelum majlis bermula. Dalam hal ini kita berpandukan kepada ungkapan “masa itu emas,” sesaat masa yang berlalu begitu sahaja akan membuatkan kita rugi jutaan ringgit. Dalam aktiviti jemaah sendiri di akhir program kita akan membaca surah al asr yang menekankan tentang masa sedangkan program tersebut berakhir lewat malam atas sebab sikap kita sendiri yang sampai lewat hingga program terpaksa dimulakan lewat dari masa yang ditetapkan.
Ini mungkin kerana kita menganggap bahawa kerja-kerja jemaah atau da’wah ini adalah kerja ‘part time’ yang tidak mendapat ganjaran dalam bentuk wang, jadi kita melakukannya dengan sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh tetapi sedarkah kita bahawa jika kita diterima bekerja di sesebuah syarikat, kita akan menandatangani surat perjanjian sebagai ikrar janji kita kepada syarikat untuk memberi komitmen yang sepenuhnya kepada kerja, maka bila kita ‘mengisi borang’ jemaah juga bermakna kita telah berbai’ah dan berikrar untuk komited sepenuhnya kepada jemaah yang kita dokong. Ganjaran hasil dari pengorbanan kita dalam kerja-kerja jemaah ini tidak kita dapat setiap hujung bulan melalui mesin ATM, ianya kita akan kecapi apabila kita ‘berehat’ dari perjuangan yang suci ini. Insya-Allah.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home