Satu lagi akta Drakonian oleh kerajaan Barisan Nasional.
Assalamualaikum.
Sayu rasanya mendengar berita mangsa pertama kezaliman Akta Khidmat Negara yang digari dibawa ke mahkamah, didakwa dan dijatuhkan hukuman semata-mata kerana gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Yang paling menyedihkan kerana remaja yang didakwa itu adalah dari keluarga yang miskin, ibunya adalah seorang ibu tunggal dan oleh kerana itu beliau tidak dapat menghadiri PLKN kerana perlu bekerja untuk menyara keluarganya.
Mahkamah pun sudah maklum tentang kesusahan yang dihadapi oleh adik Ahmad Hafizal yang menyebabkan beliau tidak hadir PLKN namun begitu hukuman tetap dijatuhkan atas alasan kepentingan umum mengatasi kepentingan individu. Di sini saya tertanya-tanya apakah dengan tidak hadirnya adik Hafizal ke PLKN akan menyebabkan negara menjadi huru-hara? adakah dengan gagal menghadiri PLKN akan menimbulkan suasana takut dan tidak tenteram di kalangan rakyat? Jadi sebenar tidak timbul sesuatu yang boleh mengugat kepentingan umum dengan gagalnya adik Hafizal menghadiri PLKN, kesan yang timbul ialah mungkin hanya diri hafizal sendiri iaitu beliau tidak dapat peluang untuk apa yang dikata memupuk patriotisme dalam diri.
Cerita tentang patriotisme pula, adakah tidak patriotik lagi adik Safizal yang sanggup bekorban untuk meringankan beban ibu dan adik-beradik? sedangkan remaja yang seusia beliau banyak yang membebankan ibu bapa dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat. Adakah beliau seorang remaja yang tidak bertanggungjawab sehingga perlu mengikuti program yang dikatakan bertujuan untuk mendidik remaja supaya bertanggungjawab? Saya percaya jika seseorang remaja itu sanggup mengambil tanggungjawab meringankan beban keluarga di usia muda, insya-Allah mereka juga mempunyai sifat patriotik dan cintakan negara.
Kita berasa bersyukur kerana tidak lama selepas itu adik Hafizal telah dibebaskan kerana ada pihak yang sanggup membayar denda yang dikenakan terhadap beliau. Tetapi adakah pembebasan itu dapat menebus maruah beliau dan keluarga beliau yang telah tercalar oleh tindakan mahkamah yang menggari beliau seolah-olah beliau adalah pesalah jenayah berat yang merbahaya kepada orang awam dan ianya dapat ditonton di seluruh negara. Jadi jika apa yang terjadi kepada adik Hafizal ini terus berulang maka tiadalah bezanya akta khidmat negara ini dengan akta-akta drakonian yang lain seperti ISA, OSA, Akta Mesin Cetak dan AUKU yang bersifat zalim, menindas dan menakut-nakutkan rakyat. Jika kezaliman ISA dengan memperuntukkan tahanan tanpa bicara kepada tertuduh, Akta Khidmat Negara pula bolehlah dianggap zalim kerana menjatuhkan hukuman kepada seorang yang tidak hadir PLKN tanpa memperdulikan sebab dan masalah yang menyebabkan seseorang itu gagal menghadiri PLKN.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home