Belajarlah ekonomi
Assalamualaikum.
Kenaikan harga bahan api telah memberikan impak yang besar kepada harga kebanyakan barang keperluan harian kerana pengangkutan adalah salahsatu daripada proses pengeluaran sebelum sesuatu barang itu sampai kepada pengguna. Tidak kira sama ada peniaga itu mengambil kesempatan menaikkan harga lebih daripada kadar kenaikan petrol atau diesel atau seseorang peniaga itu menaikkan harga barangan sekadar untuk menampung kos kenaikkan, yang pasti kenaikkan harga bahan api petrol dan diesel ini ternyata telah memberikan kesan yang negatif kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah, kuasa beli dan upah benar rakyat telah menurun sedangkan kadar upah tidak juga naik. Jika golongan peniaga menaikkan harga barangan jualan atas sebab kenaikan kos pengeluaran maka sepatutnya juga golongan pekerja harus dinaikkan kadar upah mereka kerana kos hidup mereka semakin tinggi.
Dalam mengulas isu ini timbalan presiden Persatuan Pemuda Negara telah menyarankan rakyat agar belajar dan memahami ilmu ekonomi agar mereka lebih faham dan tidak menyalahkan kerajaan. Di sini saya bersetuju dengan beliau agar rakyat belajar dan mendalami ilmu ekonomi tetapi tujuannya adalah supaya rakyat tidak lagi tertipu oleh kerajaan. Selama ini oleh kerana tidak faham tentang ekonomi maka rakyat senang ditipu oleh kerajaan. Bila sahaja indeks saham kita meningkat dengan lebih tinggi maka dihebahkan bahawa ekonomi negara telah meningkat, sedangkan hakikatnya pasaran saham bukanlah pentunjuk utama prestasi ekonomi negara kerana turun dan naiknya sesuatu indeks saham itu boleh dipengaruhi oleh belian dan jualan, dalam kata yang lain ianya terikat dengan hukum permintaan dan penawaran iaitu jika permintaan tinggi maka harga meningkat dan sebaliknya permintaan kurang maka harga akan jatuh. Jadi seperti juga matawang, indeks saham ini boleh dimanupulasikan oleh kuasa beli mereka yang bermodal besar. Jika kita lihat sebilangan besar pelabur-pelabur adalah terdiri daripada pelabur spekulatif yang bertujuan mengaut keuntungan jangka pendek berbanding mereka yang melabur untuk memperolehi dividen dalam jangka panjang.
Dalam ilmu ekonomi petunjuk prestasi ekonomi yang sebenar ialah peratus KDNK (keluaran dalam negara kasar) Peratus perubahan KDNK inilah yang disebut sebagai pertumbuhan ekonomi negara. Namun begitu dengan pertumbuhan KDNK yang positif ini belum tentu ianya membawa makna kepada peningkatan kesejahteraan rakyat keseluruhan kerana jika pertumbuhan KDNK sesuatu negara itu tinggi belum tentu lagi pendapatan perkapitanya tinggi dan jika pendapatan perkapitanya juga tinggi belum tentu ianya dapat dini'mati oleh keseluruhan rakyat. Realitinya yang dapat kita lihat sekarang ialah kekayaan negara hanya berlegar di sekelompok kecil sahaja. Maka tidak hairanlah prestasi ekonomi negara kita pada suku pertama 2005 menjangkau ke angka 8 peratus namun rakyat masih dihimpit oleh masalah ekonomi.
Berbalik kepada persoalan harga minyak itu tadi, sebenarnya harga minyak dalam pasaran memang tinggi, cuma ianya dapat dikurangkan melalui subsidi kerajaan iaitu kerajaan menanggung separuh daripada kos pengeluaran untuk memastikan harganya dapat dikurangkan. Namun kerajaan ternyata tidak lagi mampu menampung subsidi minyak yang terlalu tinggi akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Sebenarnya ini berbalik kepada soal pengurusan ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan selama ini. Nampaknya perbelanjaan yang membazir melalui pelbagai projek mega oleh kerajaan dahulu telah menampakkan kesannya kini, kerajaan telah kehilangan berbilion ringgit akibat dari projek-projek mega yang tidak menguntungkan ini, hanya gah dari sudut pandangan mata sahaja. Ini diburukkan lagi dengan amalan kronisme dan korupsi yang ternyata telah merugikan jutaan wang rakyat.
Andaikata semua amalan pengurusan ekonomi yang negatif ini dapat dihindarkan insya-Allah dengan kenaikkan harga pasaran minyak dunia ini pun tidak akan beri kesan yang buruk kepada ekonomi rakyat, ini tidak mustahil kerana tambahan lagi negara kita juga adalah pengeluar minyak.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home