Sunday, June 05, 2005

Perihal Muktamar Pas Pusat 2005

Assalamualaikum.

Alhamdulillah muktamar Pas pusat termasuk pemuda, muslimat dan ulama’ telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Seperti muktamar yang lepas-lepas muktamar kali ini juga telah menjadi medan untuk pemimpin Pas semua di setiap peringkat untuk bermuhasabah diri, membetulkan segala kelemahan dalam parti. Inilah cantiknya islam yang didokong oleh Pas yang mana teguran atau kritikan itu adalah suatu yang digalakkan asalkan ianya berniat untuk membetulkan kelemahan-kelemahan yang wujud dan tidak menimbulkan mudharat. Telah kita lihat dalam muktamar kali ini bagaimana amalan tegur-menegur ini diamalkan sehingga peringkat dewan pemuda boleh mengkritik Majlis Syura Ulama’ iaitu badan yang paling tinggi dalam parti yang menjadi pengawal kepada dasar parti. Namun begitu menginsafi bahawa manusia yang bernama ulama’ ini tidak maksum maka ianya diterima dengan hati yang terbuka oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kepada ahli Majlis Syura Ulama’

Dalam muktamar Pas pusat ini saya lihat media-media arus perdana masih lagi bertindak sebagai pengacau. walaupun tidak sehebat dahulu tetapi masih ada lagi laporan-laporan mereka yang tidak berlandaskan kepada etika kewartawanan. Media-madia arus perdana yang sepatutnya menjadi milik semua golongan ini sedaya upaya cuba mencari ruang untuk memburuk-burukkan Pas dan melaga-lagakan Pas dengan parti pembangkang yang lain. Ini jelas apabila dalam muktamar pemuda pusat seorang perwakilan pemuda berucap menolak kerjasama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seperti juga media-media arus perdana ini menyimpulkan kandungan amanat Hj Hadi sebagai Pas mengkafirkan Umno, ulama’ Pas menyatakan usaha untuk menegakkan daulah islamiah akan diberi ganjaran pahala mereka simpulkan sebagai undi Pas masuk syurga, media-media pengampu ini terus membuat kesimpulan bahawa Pas menolak Anwar. Sedangkan ianya bukan kenyataan konsesus dalam Pas. Ianya hanya pandangan dari seorang individu, paling kuatpun kawasan yang diwakilinya dan ianya telah ditolak oleh pemimpin tertinggi Pas sendiri. Sikap media yang tidak beretika ini telah membuatkan seorang perwakilan mengusulkan agar muktamar akan datang tiada lagi liputan daripada media dan ini juga ditolak oleh pimpinan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa media-media yang dikawal oleh pemerintah dtg ke muktamar bukan kerana untuk memberi laporan yang adil, namun begitu adalah kurang bijak jika Pas terus menghalang media-media ini hadir ke muktamar yang diadakan kerana ianya bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang diperjuangkan oleh Pas selama ini. Yang penting program penerangan Pas perlu diperhebatkan lagi untuk menangkis serangan-serangan dari pelbagai penjuru.

Di sini juga saya ingin mengucapkan sedalam-dalam tahniah kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa yang telah dipilih untuk menjadi timbalan presiden, Husam Musa, Mat Sabu dan Dr Hassan Ali yang dipilih menjadi naib presiden. Pemilihan mereka ini menggambarkan harapan ahli-ahli Pas keseluruhannya untuk melihat perubahan yang positif dalam parti. Di harapkan mereka ini dapat berganding dengan presiden untuk membawa parti ke mercu kegemilangan dan diharapkan juga dengan terpilihnya mereka ini akan memberi suntikan semangat baru kepada ahli-ahli Pas di peringkat bawahan untuk terus bekerja memenangkan Pas dalam pilihanraya akan datang, insya-Allah. Namun begitu mantan timbilan presiden yang kali ini gagal mempertahankan jawatannya iaitu ustaz Hassan Syukri tidak kurang besarnya juga sumbangan beliau dalam parti terutamanya dalam aspek tarbiah. Beliau adalah antara mereka yang berusaha untuk menerapkan aspek tarbiah melalui pemikiran syed qutb dan ikhwanul muslim dalam Pas yang pada masa itu di bawah Allahyarham Dato’ Asri tidak dititikberatkan. Di harapkan agar beliau terus menyumbangkan buah fikiran untuk memantapkan parti.

posted by Lidah Penghunus @ 6:20 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter