Wednesday, December 14, 2005

Isu tahanan wanita dipaksa ketuk ketapi

Assalamualaikum.

Bila sahaja mendapat berita bahawa wanita di dalam lokap tahanan yang dipaksa ketuk ketampi itu sebenarnya bukannya pelancong warga China seperti yang digembar-gemburkan tetapi sebaliknya adalah orang melayu, warganegara malaysia, beragama islam, maka melentinglah jurucakap Kelab Penyokong Kerajaan. Tetapi bukan kerana yang menjadi mangsa itu adalah rakyat Malaysia sendiri, saudara seagama, tetapi membidas sikap melulu ahli politik yang mengakibatkan negara mendapat malu lebih-lebih lagi kepada negara China dan juga telah mencalarkan imej polis.

Nampaknya benarlah kata-kata seorang sahabat bahawa isu ini mendapat perhatian kerajaan adalah semata-mata kerana ianya melibatkan seorang pelancong warga asing yang mana jika isu ini tidak ditangani maka akan menjejaskan hubungan dengan negara China dan sekaligus akan memberikan kesan kepada ekonomi negara kerana negara kehilangan pelancong dari negara China. Maka tidak hairanlah hingga mereka sanggup menghantar seorang menteri sebagai wakil untuk memohon maaf kepada kerajaan China.

Ini bermakna mereka mengambil berat tentang isu ni adalah lebih kepada kepentingan ekonomi dan kepentingan politik antarabangsa semata-mata bukan kerana kepentingan kemanusiaan dan maruah seorang wanita terutamanya wanita islam. Sedangkan bagi Ahli Parimen Seputeh yang mula-mula membangkit isu tersebut sendiri menyatakan bahawa isu yang dibawanya adalah bukan semata-mata kerana mangsa berketurunan cina tetapi ianya adalah isu hak asasi manusia. Ini mengingatkan kita kepada Lim Guan Eng yang sanggup merengkok dalam penjara kerana membela gadis melayu beragama islam. Jika benar mereka mengambil berat tentang maruah seseorang wanita sudah tentu mereka akan bertindak terhadap satu laporan seorang aktivis reformasi wanita yang juga telah diperlakukan sama seperti isu sekarang ini. Namun begitu oleh kerana wanita yang berkenaan hanyalah rakyat biasa yang pada mereka tiada kepentingan ekonomi, lebih-lebih lagi wanita tersebut tidak sehaluan dalam politik mereka maka kes tersebut hanya dipandang sepi sahaja.

Begitulah yang terjadi kepada wanita yang di arah ketuk ketapi dalam keadaan tidak berpakaian sekarang ini, bila sahaja diumumkan bahawa mangsa bukan pelancong warga China maka seolah-olah mereka menganggap bahawa pihak kerajaan dan pihak polis sendiri sudah terlepas kesalahan tersebut dan bagi mereka kes wanita tersebut tidak akan menjejaskan kepentingan ekonomi negara. Tambahan pula bagi pihak polis ketuk ketapi dalam keadaan tidak berpakaian ini adalah prosedur biasa dalam siasatan polis untuk mengesan bahan bukti terutamanya dadah yang disembunyikan. Adakah itu cara yang diajarkan oleh islam? dengan memaksa seseorang untuk mendedahkan auratnya dan mencemarkan maruahnya atas alasan kononnya untuk mencari barang bukti.wajarkah prosedur ini dilaksanakan di negara yang kononnya mengamalkan islam?

Menyentuh tentang isu ini juga seorang pensyarah dari UIA telah memberi pandangan bahawa ini adalah soal darurat maka kaedah menelanjangkan tahanan untuk mencari bahan bukti adalah dibolehkan. Persoalannya bolehkan isu ini disebutkan sebagai darurat? sedangkan banyak lagi cara-cara lain yang lebih sopan untuk mencari bahan bukti yang disembunyikan dalam badan. Misalnya pada zaman moden ini kita ada mesin pengimbas dan pelbagai lagi kaedah yang canggih untuk mengesan barang-barang yang disyakki. Mengapa perlu lagi menggunakan kaedah yang bagi saya sesuai untuk zaman kuno ini? Jika pihak polis mengatakan bahawa cara tersebut adalah kaedah bagi mengesan tahanan-tahanan yang disyakki memiliki dadah, mengapakah pula mereka menggunakan kaedah tersebut terhadap seorang aktivis reformasi, sedangkan ianya ditahan bawah akta polis, bukan akta dadah, seorang yang ditahan atas sebab menyertai perhimpunan haram yang berunsur politik pihak polis akan mendapatkan apa-apa risalah yang berbentuk hasutan sebagai bahan bukti dan sudah tentulah rumah atau kediaman tahanan yang akan digeledah, mengapa pula tubuh badan tahanan yang digeledah? Adakah logik jika tahanan menyembunyikan 'molotov cocktail' ataupun senjata tajam bagi kegunaan merusuh di tempat-tempat yang berkenaan?

Sudah jelas prinsip matlamat menghalalkan cara yang diamalkan oleh mereka. Mereka sanggup melakukan apa sahaja, walaupun bercanggah dengan syarak untuk mencapai matlamat mereka. Lebih-lebih lagi jika matlamat tersebut adalah kebendaan semata-mata.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter