Saturday, December 03, 2005

Dari Lindunganbulan ke Pengkalan Pasir

Assalamualaikum.

Sejak dari tulisan ucapan selamat hari raya dahulu sebulan lamanya saya tidak menulis. mungkin yang inilah dinamakan dengan raya sakan, puasa sebulan, raya pun sebulan. Benarlah kata seorang sahabat bahawa spiderman sama juga seperti kita manusia, ada perasaan, ada keinginan yang pada satu-satu masa akan ‘down.’ Ada yang ‘down’ kerana kecewa, sedih, ada yang yang ‘down’ kerana dihujani kegembiraan, ada yang ‘down’ kerana ditimpa kemiskinan, kesempitan hidup dan ada juga yang ‘down’ kerana dilimpahi oleh kemewahan. Semoga kita dikurniakan istiqamah dalam menjalankan kerja-kerja islam.

Jika bermulanya raya idulfitri dahulu terhentinya saya menulis dan kini raya idulfitri sudah berlalu dan seperti kata seorang sahabat akan tiba ‘raya’ yang lagi satu iaitu pilihanraya kecil N12 Pengkalan Pasir, biarlah ianya menjadi permulaan untuk saya menulis kembali. Jika di dengar dari nama pilihanraya kecil Pengkalan Pasir bunyinya tiadalah penting sangat, sama ada Pas atau BN yang menang tidak memberi impak kepada pentadbiran kerajaan negeri. Jika Pas yang menang, parti yang menerajui kerajaan negeri itu tetap tidak akan dapat mengembalikan mandat 2/3 dalam dewan undangan negeri dan jika BN pula yang berjaya merampas kerusi Pengkalan Pasir dari Pas, parti yang bertaraf pembangkang di negeri Kelantan tersebut tetap akan kekal sebagai pembangkang dalam dewan undangan negeri Kelantan. Hatta jika calon bebas iaitu Dato’ Paduka Ibrahim Ali menang sekalipun tidak mungkin Kelantan akan ditadbir oleh kerajaan ‘payung’ kerana Pas masih lagi memiliki majoriti kerusi yang melayakkan parti yang menjadikan islam sebagai dasar itu memerintah negeri kelantan.

Sebenarnya apa yang penting bagi kedua-dua parti yang bertanding, pilihanraya kecil ini adalah sebagai pengukur tahap sokongan rakyat kepada mereka di era pasca raya idulfitri dan pra tahun baru 2006 ini yang mana masuknya tahun 2006, ada 2 atau 3 tahun lagi sebelum menjelang pilihanraya umum ke-12. Untuk Umno dan BN, kemenangan dalam pilihanraya kecil ini amat-amat diburu oleh mereka sebagai membuktikan kepada rakyat bahawa propaganda mereka selama ini yang Pas sudah kehilangan sokongan di kelantan dan Umno semakin mendapat sokongan dari rakyat kelantan adalah benar. Bagi Pas pula kemenangan perlu dipertahankan untuk kewibawaan pemerintahan ulama’ di negeri tersebut dan juga untuk menutup segala keangkuhan dan Umno dan BN.

Sebagaimana yang kita maklum seperti kebiasaan BN akan menggunakan pelbagai cara untuk memenuhi cita-cita politik kotor mereka. Antaranya ialah memperalatkan jentera kerajaan, politik ugut, mengerahkan gerombolan samseng untuk menakut-nakutkan petugas-petugas Pas dan pengundi, menabur fitnah terhadap Pas dan kerajaan negeri, menabur janji-janji palsu dan janji-janji yang tidak masuk akal dan pelbagai lagi taktik kotor yang terlintas di fikiran mereka. Dapat kita saksi sepanjang kempen pilihanraya, Umno dan BN begitu angkuh dan takbur dalam menghadapi Pas. Mereka terlalu yakin bahawa mereka akan menang dan akan dapat merampas mandat pentadbiran negeri daripada Pas sehingga mereka mendesak kerajaan negeri membubarkan Dun Kelantan. Adalah tidak masuk akal apabila Umno dan BN berjanji untuk mewujudkan sebuah universiti di kelantan dan seterusnya menjadikan kelantan negeri maju setaraf negeri Selangor. Seolah-olah dengan berjayanya mereka berjaya mendapat satu kerusi di Pengkalan Pasir mereka akan mendapat mandat untuk mentadbir negeri.
Jika janji untuk membina universiti ini adalah janji dari kerajaan persekutuan setelah rakyat di Pengkalan Pasir memberi kemenangan kepada BN, ini bolehlah dikatakan sebagai rasuah pilihanraya dan jika mereka kalah di Pengkalan Pasir maka janji untuk membina universiti itu ditarik balik, maka jelaslah ia adalah ugutan pilihanraya daripada Umno dan BN yang memperalat nama kerajaan persekutuan yang dikuasai mereka. Berkenaan dengan janji untuk menjadikan kelantan setaraf dengan negeri maju selangor, mereka perlu membuktikan dahulu di negeri-negeri yang diperintah oleh Umno dan BN sebelum menabur janji di kelantan. Seolah-olah jika Umno perintah kelantan maka dengan sekelip mata kelantan akan pesat membangun dan mencapai status negeri maju seperti selangor sedangkan negeri-negeri lain seperti terengganu, kedah dan pahang masih lagi di tahap lama. Perlu kita lihat di sini bahawa status negeri maju yang diisytiharkan oleh kerajaan negeri selangor adalah pembohongan semata-mata, mungkin maju yang dimaksudkan ialah maju dalam hal-hal maksiat dan keruntuhan akhlak.

Di sini juga kita perlu lihat kepada negeri terengganu, suatu ketika dahulu bila Pas berjaya menawan negeri yang berjiran dengan kelantan itu, tidak pun sampai setahun Pas memerintah terengganu, media alatan Umno dan BN terus menabur propaganda seolah-olah bila Pas tadbir terengganu sahaja, rakyat negeri tersebut terus jatuh miskin dan papa. Namun begitu bila Umno dan BN berjaya merampas semula negeri terengganu dan kini sudah hampir dua tahun Umno memerintah terengganu tiada pula kita nampak terengganu terus maju seperti selangor, kononnya.

Saya baru sahaja pulang dari Pasir Mas, Kelantan. Pertama kali dalam hidup saya menjejaki bumi serambi mekah yang ditadbir bawah pemerintahan ulama’ ini. Jika sebelum ini saya dengar propaganda daripada media alatan BN bahawa kelantan ini mundur, miskin dan tidak membangun dan ianya dijawab oleh media-media milik Pas dan media alternatif yang lain. Namun kini saya dapat saksikan sendiri bahawa kelantan bukanlah seperti yang digambarkan, jika sebelum ini pun saya tetap percaya bahawa kelantan ini bukanlah teruk sangat. Apa yang saya perhatikan ianya sama sahaja seperti negeri kelahiran saya iaitu Negeri Sembilan, di pusat pentadbirannya pembangunan agak pesat dan di desa-desa pula keadaannya seperti di desa-desa yang lain, jika di kelantan ada orang miskin, Negeri Sembilan juga ada orang miskin, jika kelantan ada masalah bekalan air, Negeri Sembilan, malahan selangor pun apa kurangnya, jika kelantan ada masalah siswazah menganggur, di Kuala Lumpur pun sama sahaja. Cuma bezanya masalah siswazah menganggur di kelantan, Umno akan menyalahkan kerajaan negeri yang tidak menyediakan peluang pekerjaan dan masalah siswazah menganggur di seluruh negara pula Umno akan menyalahkan siswazah sendiri yang terlalu memilih pekerjaan. Jika adapun kekurangan-kekurangan di negeri tersebut, ianya berbalik kepada sikap kerajaan persekutuan yang menganaktirikan bantuan kepada setiap negeri, menyekat pelaburan asing ke negeri Kelantan.

Sepanjang saya berada di Pasir Mas khususnya Pengkalan Pasir, saya dapati banyak juga rumah-rumah banglo dan rumah-rumah mewah yang tersergam indah dan dilihat daripada bendera dan poster yang dipasang di rumah mereka, rata-rata penghuni rumah tersebut penyokong dan ahli Umno. Apa yang boleh saya katakan di sini ianya menunjukkan bahawa kerajaan Pas tidak mengamalkan kronisme dalam pembahagian projek khususnya projek kerajaan negeri. Kalau Pas mengamalkan kronisme sudah tentulah golongan-golongan yang saya percaya ada di antara mereka ini terdiri daripada kontraktor ini akan menyokong Pas supaya mudah untuk mereka mendapatkan tender daripada kerajaan Pas kelantan.

Sekarang ada beberapa hari sahaja lagi sebelum bermulanya hari pembuangan undi. Sudah tentu kempen semakin hebat dijalankan oleh setiap parti yang bertanding. Untuk petugas-petugas Pas yang berada di kelantan di harapkan dapat memberi komitmen yang tinggi ke arah kemenangan Pas dalam pilihanraya kecil ini, kepada yang tidak berkesempatan untuk ke kelantan, sama-samalah kita solat hajat agar Allah memberikan kemenangan kepada Pas dan sekaligus memberi pengajaran kepada mereka yang angkuh dan zalim ini.

posted by Lidah Penghunus @ 2:25 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter