Antara demonstrasi rakyat Palestin dengan demonstrasi rakyat Malaysia.
Assalamualaikum.
Jika di negara kita hari pekerja disambut oleh kaum pekerja dengan tuntutan gaji minimum, di Palestin pula akhbar hari ini memaparkan tentang demonstrasi rakyat Palestin menuntut kerajaan Hamas membayar gaji kepada mereka. Kita pun sudah sedia maklum setelah kemenangan Hamas dalam pilihanraya yang lepas dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan, pergerakan yang selama ini berjaya memberikan tentangan yang sengit terhadap Rejim Israel ini ternyata tidak disenangi oleh musuh-musuh islam terutamanya Israel dan Amerika syarikat malahan oleh mereka yang mengaku pemimpin negara islam sendiri. Maka pelbagai usaha telah dilakukan dalam usaha menggagalkan pergerakan yang mereka anggap sebagai pengganas ini untuk menubuhkan kerajaan Palestin. Ini termasuklah menyekat bantuan kewangan dan membekukan akaun-akaun milik kerajaan. Akibatnya kerajaan pimpinan Hamas kekeringan dana untuk perbelanjaan mengurus dan gaji tidak dapat dibayar kepada kakitangan awam untuk beberapa bulan.
Inilah sebenarnya harga yang perlu dibayar oleh gerakan islam Hamas dalam usaha harakah islam itu mempertahankan prinsip mereka untuk tidak mengadakan rundingan dengan Israel dan seterusnya mengiktiraf negara haram tersebut. Namun begitu adalah amat menyedihkan sekali apabila adanya segelintir rakyat Palestin sendiri yang tidak mahu berkorban bersama-sama kerajaan mereka mempertahankan prinsip perjuangan islam. Mereka yang dihasut oleh bekas parti pemerintah yang dahulunya mengamalkan korupsi sanggup turun ke jalanraya menuntut dibayar gaji malahan membantah dasar Hamas yang mereka anggap terlalu keras. Sedangkan kerajaan Hamas gagal membayar gaji bukanlah kerana amalan pemborosan, korupsi dan penyalahgunaankuasa dalam pentadbiran mereka. tetapi kerana mempertahankan akidah, tidak mahu bersekongkol dengan musuh-musuh islam terutama sekali Israel yang jelas tidak boleh dibawa berunding.
Ini berbeza dengan kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional di negara ini. Mereka ketandusan kewangan hingga terpaksa menaikkan harga minyak bukanlah kerana prinsip mereka yang mempertahankan kebenaran, tetapi adalah kerana sikap mereka sendiri yang selama ini mengamalkan pembaziran, korupsi dan penyalahgunaankuasa yang menelan jutaan wang rakyat. Oleh itu adalah patut rakyat di negara ini turun di jalanraya membantah apa sahaja keputusan kerajaan yang ternyata tidak menguntungkan rakyat keseluruhan. Andaikata kerajaan di negara ini tidak ada wang hingga tidak mampu untuk menampung subsidi minyak atas sebab prinsip mereka untuk mempertahankan kebenaran, maka saya percaya Pas juga akan bersama-sama dengan mereka.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home