Saturday, May 06, 2006

Kenaikan gaji minimum yang diminta, tarif elektrik pula yang dinaikkan.

Assalamualaikum.

Sesuai dengan tema "Globalisasi menghakis hak pekerja" 1 Mei yang lepas telah disambut oleh kaum pekerja dengan penuh kesedaran tentang hak mereka sebagai pekerja di sebuah negara demokrasi. Maka setiap kali menjelang sambutan 1 Mei ini akan berkumandanglah tuntutan dari kaum pekerja agar dinaikkan gaji minimum sebanyak RM900 dan pelbagai lagi tuntutan yang berkaitan dengan kebajikan kaum pekerja. Tuntutan-tuntutan ini amat bertepatan melihatkan keadaan kos sara hidup masa kini yang makin meningkat akibat dari kenaikan harga minyak dan seterusnya harga barangan dan perkhidmatan yang lain.

Namun begitu sebaliknya bukan gaji minumum yang dinaikkan, tarif elektrik pula yang akan dinaikkan bermula bulan hadapan. Nampaknya makin bertambah pilulah kaum-kaum pekerja akibat kuasa beli dan upah benar mereka yang makin mengecil. Dalam mengumumkan kenaikan tarif elektrik ini, menteri yang berkaitan mengatakan bahawa setelah 10 tahun tarif elektrik tidak naik, kerajaan terpaksa juga menaikkan tarif elektrik ini dan mahu tidak mahu rakyat terpaksa juga menerima hakikat kenaikan tersebut.

Bunyi kenyataan menteri tersebut seolah-olah 10 tahun sebelum ini rakyat berada dalam keadaan sejahtera tanpa dibebani oleh kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Hakikatnya sebelum ni pun rakyat telah dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan dengan tarif elektrik yang bakal naik ini maka akan bertambah-tambahlah beban yang akan ditanggung oleh rakyat khususnya kaum pekerja.

Selepas ini kita sedang menunggu apakah lagi yang akan naik untuk menambahkan beban kepada rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter