Sunday, March 26, 2006

Kisah D.P.A (Duka Pagi Ahad@Demo Pagi Ahad)

Assalamualaikum.

Pagi Ahad yang indah di dataran KLCC, berdiri megah di tengah-tengahnya dua buah menara yang ketinggiannya sebaris dengan menara-menara pencakar langit di negara-negara maju. Bila sahaja kita melihat menara yang tersergam indah indah, terbayanglah oleh kita bahawa kita sedang berada di sebuah negara maju yang rakyatnya stabil dari segi ekonomi, iklim demokrasinya begitu subur, rakyat bebas untuk bersuara, siri-siri demonstrasi aman bagi menyuarakan sesuatu ketidakpuasan hati rakyat tidak dikacau.

Namun ironisnya pagi ahad 26 Mac tadi menara pencakar langit lambang kemajuan negara telah menjadi saksi kepada pencabulan kepada demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun untuk menyuarakan keadilan, rakyat yang berhimpun untuk meluahkan keperitan akibat dari kenaikan harga minyak, dikejar, dibelasah oleh pasukan FRU, ditangkap dan disumbatkan ke dalam trak polis bagaikan penjenayah.

Satu senario yang memalukan bila melihatkan pasukan FRU ini yang lengkap dengan belantan berkeliaran di sekitar KLCC menghalau sesiapa sahaja di situ walaupun orang itu tiada kena-mengena langsung dengan demo, mengherdik dan mengeluarkan kata-kata kesat bagaikan mereka sahaja yang berkuasa di dunia ini. Lebih-lebih lagi KLCC ini menjadi tumpuan pelancong asing yang antaranya dari negara eropah. Bagi pelancong asing ini demonstrasi aman adalah sesuatu yang biasa di negara mereka, ianya tidak pun menakutkan mereka kerana ianya adalah amalan biasa dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Yang asing bagi mereka adalah apabila demonstrasi aman ini diganggu oleh pasukan polis, rakyat dikejar dan dibelasah bagaikan penguasa di zaman purbawara.

Satu lagi yang mendukacitakan kita ialah cuti hari ahad masih lagi tidak dapat menggerakkan jutaan rakyat bagi membantah atas apa yang dikenakan oleh kerajaan ke atas mereka itu. Kebanyakan rakyat masih lagi tidak sanggup bersama-sama untuk menyuarakan suara keperitan mereka, mereka hanya harapkan pihak-pihak dari parti politik dan NGO bagi berdemonstrasi membantah kenaikan harga minyak ini. Oleh kerana sikap kebanyakan rakyat inilah maka pihak polis yang sedia diperalatkan oleh kerajaan ini boleh memperlakukan sesuka hati mereka kepada penunjuk perasaan. Tetapi jika demonstrasi aman ini dapat menghimpunkan jutaan rakyat, saya percaya, mereka tidak akan berani untuk bertindak kasar.

posted by Lidah Penghunus @ 12:29 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter