Thursday, March 02, 2006

Kalau dah masuk muzium, habislah!

Assalamualaikum
Apabila sebut sahaja muzium akan terlintaslah di fakulti minda kita bahawa ianya adalah satu tempat menyimpan dan mempamerkan barang lama, barang antik dan barang bersejarah. Dalam erti kata yang lain barang yang orang zaman sekarang tidak gunakan lagi dan ianya sukar lagi ditemui pada zaman sekarang. Contohnya peralatan manusia zaman purba seperti tembikar, kapak dan pisau yang diperbuat daripada batu, batu-batu bersurat dan pelbagai lagi bahan sejarah dan prasejarah.

Selain daripada itu muzium juga menjadi tempat pameran sesuatu yang mungkin mustahil untuk kita temui dengan mata kasar misalnya perkara-perkara mistik yang menjadi kepercayaan masyarakat melayu iaitu hantu. Antara tujuan muzium itu diwujudkan ialah supaya generasi kini dapat melihat dan mengenal suatu yang hanya tinggal sejarah dan tidak lagi terdapat di zaman mereka. Sebut pasal muzium ini juga seringkali apabila terdapat suatu barang yang telah usang yang telah lama yang tidak boleh digunakan lagi, masyarakat akan memberikan sindiran bahawa barang berkenaan hanya layaknya diletakkan di muzium sahaja.

Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah nasib yang sedang menimpa tulisan jawi sekarang ini, bentuk tulisan yang pernah masyarakat rumpun Melayu gunakan pada suatu masa dahulu, tulisan yang telah menggantikan tulisan Pallava dalam persuratan melayu dan tulisan yang telah menterjemahkan jutaan lembaran ilmu di alam melayu ketika waktu dahulu. Sekarang tulisan yang pernah mendokong bahasa lingua franca ini akan dipamerkan di Muzium Negara bermula 5 Mac ini bersama-sama dengan tembikar, keris lama, batu bersurat dan replika haiwan purba dan ianya hanya akan tinggal pameran semata-mata.

Persoalan yang timbul sekarang ini, 40 atau 50 tahun lagi adakah mungkin giliran Bahasa Melayu pula akan dimuziumkan senasib dengan tembikar, keris lama, batu bersurat dan tulisan jawi itu tadi?

posted by Lidah Penghunus @ 2:39 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter