Sunday, January 22, 2006

Penubuhan sukarelawan cegah maksiat mereka tolak, memo bantahan perkara 121(1A) pun mereka tolak. Kira oklah tu.

Assalamuualaikum.

Akhir-akhir ini banyak berlaku perkara yang telah menyentuh hati kita yang cintakan islam yang tidak mahu melihat islam itu dilanyak sesuka hati. Sudahlah hati kita tersentuh dengan terhalangnya penubuhan pasukan sukarela bagi membantu MAIWP membenteras kemungkaran apabila kabinet sendiri menolaknya atas alasan hak asasi dan hati nurani umat islam bagaikan dihiris lagi dengan tindakan biadab geng 10 menteri bukan islam menghantar memorandum mempertikaikan perkara 121(1A) sedangkan itu sahajalah yang tinggal untuk kita mempertahankan masa depan orang orang islam kita.

Akhirnya kita bersyukur kepada Allah kerana atas nasihat dari perdana menteri sendiri geng 10 menteri ini telah bersetuju untuk menarik kembali memo mereka itu. Atas penarikan bantahan itu hati kita yang terluka dengan penolakkan Pasukan sukarelawan cegah maksiat tadi kira terubat jugalah. Dalam erti kata yang lain, kira oklah, kira bolehlah tu. Memanglah kalau boleh kita mahu yang lebih daripada itu daripada kerajaan iaitu perlaksanaan islam secara total. Tapi bak kata YB Salahuddin Ayub mahkamah syariah yang kita ada ini sebenarnya adalah selemah-lemah perlaksanaan perundangan islam, namun begitu itulah yang kita kena pertahankan kerana jika sampai mahkamah syariah pun sudah dihapuskan, apalah lagi yang tinggal untuk umat islam dimalaysia membela diri dalam hal-hal akidah mereka. Sekurang-kurangnya kita telah saksikan bagaimana mahkamah syariah telah berjaya menyelamatkan jasad seorang insan yang baru memeluk islam.

Walaupun kita masih berasa sedih dengan keputusan kabinet menolak penubuhan pasukan yang berusaha untuk mencegah kemungkaran, namun begitu kita masih ada lagi ruang dan kaedah lain untuk membenteras kemungkaran. Sedangkan andaikata kabinet menerima memorandum bagi mengkaji perkara 121(1A) maka akidah umat islam, akhlak umat islam, generasi muslim di Malaysia berada dalam keadaan bahaya. Andaikata pada masa itu ada pasukan khas mencegah kemungkaran pun tiada gunanya lagi kerana usaha-usaha mereka dengan mudah akan dicabar oleh mahkamah civil. Apapun kita tetap mengharapkan agar bukan sahaja perundangan syariah yang sedia ada itu dibela, lebih daripada itu kita mahu agar ianya terus diperlengkapkan dan dilaksanakan secara tuntas.

posted by Lidah Penghunus @ 12:52 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter