Tuesday, January 17, 2006

Keprihatinan kerajaan terhadap kepercayaan agama lain

Assalamualaikum.

Berita TV siang tadi melaporkan tentang kisah seorang pelajar beragama sikh yang telah diambil tindakan tatatertib oleh sebuah sekolah atas sebab pelajar tersebut mahu mempertahankan ajaran agamanya iaitu ajaran agama sikh yang melarang penganutnya mencukur jambang.

Kisah ini telah mendapat perhatian seorang exco kerajaan negeri yang memberi arahan kepada jabatan pendidikan negeri agar tidak mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan dan terus membenarkan pelajar tersebut mengamalkan agamanya. Seterusnya keputusan ini telah disambut baik oleh bapa pelajar tersebut yang memuji sikap harmoni yang telah diamalkan oleh kerajaan Malaysia.

Ini sebenarnya adalah satu langkah yang baik dan bertepatan dengan ajaran islam yang menyuruh penganutnya lebih-lebih lagi kerajaan islam agar menghormati hak dan kepercayaan orang bukan islam dan melindungi mereka selagi mereka tidak memusuhi islam. Namun begitu adalah amat malang sekali apabila penganut agama islam sendiri dilarang mengamalkan ajaran agama dan sunnah nabi di sekolah

Kita telah menyaksikan bagaimana pelajar yang memakai serban ke sekolah telah diambil tindakan tatatertib malahan hingga disingkirkan dari sekolah hanya semata-mata mahu mempertahankan sunnah nabi, di kampus-kampus universiti pula niqab atau purdah dilarang pemakaiannya oleh pentadbiran universiti. Malahan hingga ada arahan agar tudung tidak dilabuhkan, sebaliknya mesti disilangkan.

Mungkin ada yang akan memberi alasan bahawa pemakaian serban dan niqab hanyalah sunnah dan tidak haram pun jika tidak memakainya, berbeza dengan menyimpan jambang dalam kepercayaan agama sikh tadi yang melarang penganutnya mencukur jambang. Itu memang benar malahan dalam kaedah fiqh aulawiyat, seseorang itu haruslah mengutamakan mencari ilmu apabila untuk memasuki sekolah tersebut pelajar tersebut tidak dibenarkan memakai serban. Namun persoalannya adakah sebuah negara yang didakwa sebagai negara islam, yang mengamalkan islam hadhari yang pemimpinnya beragama islam tergamak melarang rakyatnya khususnya pelajar mengamalkan tuntutan sunnah nabi? Jika disebut tentang disiplin dan tatatertib pemakaian pelajar, mengapa tidak sahaja diwajibkan pelajar islam agar bertudung, menutup aurat? kerana ianya adalah tuntutan agama islam.

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempertikaian kebebasan mengamal ajaran penganut agama lain. Seperti yang disebutkan mula-mula tadi orang bukan islam wajib diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Namun begitu bagi negara yang islam adalah agama rasmi sudah tentulah amalan agama islam itu lebih diberi kebebasan. Kita sudah lihat di Negeri Kelantan bagaimana begitu banyak terdapat patung-patung buddha, orang bukan islam bebas untuk mengamalkan ajaran agama mereka di negeri yang diperintah oleh ulama' itu. Namun dalam masa yang sama, bertepatan dengan slogan membangun bersama islam, ajaran islam begitu subur diamalkan dan dilaksanakan di negeri bawah pemerintahan Pas itu.

posted by Lidah Penghunus @ 10:41 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter