Sunday, December 18, 2005

Kibaran bendera Israel menyambut kehadiran rakyat Palestin sempena Forum Keamanan Sejagat




Assalamualaikum.

Macam tak percaya sahaja bila melihat gambar menunjukkan bendera negara haram Israel berkibar megah di bangunan parti melayu yang kononnya memperjuangkan islam hadhari yang selama ini memegang tampuk pemerintahan negara. Jika hendak dikatakan teknik tampalan atau 'super impose' mustahil kerana sudut gambar itu diambil tidak memungkinkan untuk gambar tersebut diolah dengan teknik sebegitu.

Itulah hakikatnya Umno, dulu, kini dan selamanya. Kita tidak dapat melupakan peristiwa kedatangan pasukan kriket Israel pada tahun 1995, walaupun pada masa itu saya sendiri di zaman kegelapan tetapi saya amat menyokong demonstrasi menghalau musuh islam itu. Sikap berbaik-baik dengan israel itu sudah jelas apabila para pencinta islam yang berdemonstrasi pada masa itu disepak, diterajang oleh FRU hampir sama seperti yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Dalam hal ini ulama' muktabar, Dr Yusof al Qardhawi pernah memberi kaedah jika mahu tahu bahawa sesebuah negara itu islamik atau tidak, iaitu dengan menganjurkan demonstrasi menentang kezaliman israel, dan jika demonstrasi itu disambut dengan 'hujan asid' maka jelaslah bahawa negara tersebut tidak islamik.

Sebenarnya jika tidak dengan kedatangan Israel atau tertegaknya bendera mereka pun sudah cukup dengan terlaksananya agenda-agenda yahudi di negara yang pernah diisytiharkan negara islam oleh perdana menteri yang terdahulu. Melalui budaya hedonisme atau yang lebih tepat budaya berseronok-seronok, hiburan yang melampau, pergaulan bebas, keruntuhan akhlak adalah antara agenda-agenda yahudi yang secara halus ingin menghancurkan umat islam yang hingga kini begitu pesat dijalankan oleh proksi mereka iaitu kerajaan Umno BN sendiri.

Dalam minggu ini berlangsungnya forum keamanan sejagat di PWTC yang mana forum tersebut banyak difokuskan kepada isu konflik Palestin-Israel. Apa yang ingin saya sentuh dalam forum keamanan di sini ialah kehadiran delegasi dari Palestin terutama seorang remaja perempuan Palestin, Najwa Jalamneh yang telah menyentuh perasaan peserta forum apabila menceritakan apa yang berlaku di negaranya (teringat saya kepada cerpen Lamaran dari Palestin). Sedangkan tidak jauh dari tempat dia meluahkan tentang penderitaan yang ditanggung oleh dia serta saudara-maranya di palestin, berkibar megah bendera negara yang selama ini bertanggungjawab terhadap apa telah berlaku.

Dalam forum keamanan ini juga kelihatannya bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi ucapan beliau terutama dalam mengutuk kekejaman israel, sedangkan kita sudah maklum sikap beliau selama ini terhadap perjuangan rakyat palestin yang mana beliau menganggap mereka yang melakukan serangan berani mati sebagai pengganas. Namun begitu ucapan adik Najwa Jalamneh itu tadi seolah-olah ditujukan terus kepada Dr Mahathir apabila dalam ucapannya terdapat bentuk persoalan yang berbunyi "apakah kami yang mempertahankan diri ini dianggap pengganas?"

Sebenarnya inilah sikap bermuka-muka yang diamalkan oleh Umno dan BN, mereka seolah-olah menunjukkan simpati terhadap penderitaan rakyat palestin tetapi dalam masa yang sama seolah-olah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel di bumi Palestin. Jika sudah namanya negara haram, negara yang tidak diiktiraf, bendera mereka juga tidak harus diiktiraf, apalagi hendak dipacakkan sebaris dengan bendera negara-negara lain yang berdaulat. Jika bendera mereka ada di negara kita pun tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu untuk dibakar dalam siri demonstrasi menentang kekejaman mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 1:30 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter