Monday, January 09, 2006

Dulu Mawi sekarang Snuker

Assalamualaikum.

Seperti yang telah diduga, bila sahaja kerajaan Pas Negeri Kelantan bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz mengambil keputusan untuk membenarkan operasi premis permainan snuker di Kelantan khususnya Bandar Kota Bharu, maka keputusan tersebut telah dihujani dengan kritikan dari pelbagai pihak terutama sekali mereka yang dalam Umno dan Barisan Nasional. Seperti juga isu mawi, tok guru telah dituduh makin jauh dari prinsip islam, mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan cara, mengikut cara kerajaan BN dan pelbagai lagi tohmahan melulu terhadap kepimpinan tok guru seolah-olah negeri bawah pentadbiran BN bebas dari pusat snuker, judi dan disko.

Bila timbul isu ini saya teringat satu temubual bersama Tok Guru Nik Aziz oleh sebuah majalah suatu masa dahulu. Dalam temubual tersebut tok guru menyatakan bahawa bila sudah berpegang kepada islam sepenuhnya jika anak tok guru Nik Aziz sendiri mahu jadi pelakon pun beliau tidak risau. Jadi apa yang perlu kita fahami di sini ialah, jika seseorang itu sudah benar-benar dididik dengan islam dan telah benar memahami islam serta patuh dengannya ajarannya maka apa jua tindak-tanduknya sudah tentulah tidak akan bercanggah dengan ajaran islam. Sebaliknya jika seseorang itu goyah pegangan agamanya, maka sesuatu yang baik yang bermanfaat dan tidak bercanggah dengan islam pun akan disalahgunakannya hingga menjadi suatu yang negatif.

Inilah yang telah terjadi kepada permainan snuker, pada dasarnya ianya bukanlah sesuatu yang diharamkan oleh islam, bukannya sesuatu perkara maksiat yang merosakkan. Ianya hanyalah sejenis sukan yang banyak menguji kecekapan pemain khususnya dalam disiplin ilmu fizik. Namun begitu ianya telah disinonimkan dengan perkara negatif seperti kegiatan gengsterisme, ponteng sekolah, perjudian dan pelbagai lagi kegiatan yang tidak sihat. Media khususnya filem dan drama sering menggambarkan pusat permainan snuker ini sebagai tempat berkumpulnya kumpulan-kumpulan samseng dan tempat untuk anak-anak muda ponteng sekolah dan berpeleseran.

Ianya terjadi kerana sesuatu yang baik yang tidak mendatangkan keburukan namun begitu bila ianya digunakan oleh golongan yang tiada penghayatan islam maka perkara tersebut turut diolah sehingga menjadi sesuatu yang negatif. Malahan sukan bola sepak yang dipandang sebagai sukan yang berprestij, jauh dari unsur-unsur negatif juga boleh menjadi perkara negatif bila mana kaki judi melibatkan diri dalam sukan ini. Oleh sebab itulah selama 15 tahun lamanya kerajaan negeri Kelantan tidak mengeluarkan lesen bagi premis pusat snuker dan selama itulah juga rakyat dididik sepenuhnya dengan penghayatan islam dan setelah kajian mendalam dibuat akhirnya pusat permainan snuker dibenar beroperasi namun begitu seperti juga konsert Mawi, pusat-pusat permainan snuker di kelantan nanti bukanlah seperti pusat-pusat snuker yang terdapat di Selangor dan Kuala Lumpur. Ianya akan ada garis panduan dan peraturan agar jauh dari unsur-unsur maksiat dan sudah tentu pemantauan akan dibuat agar pusat-pusat snuker ini mengikut garis panduan yang ditetapkan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:32 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter