Tuesday, January 03, 2006

T.B.A.

Assalamualaikum.

Tidak bermaksud untuk menyebelahi pengikut Black Metal, saya dahulu pun adalah penggemar muzik jenis keras tapi tidaklah sampai terbawa-bawa hingga ke aliran pemikiran. Salahsatu sebab mengapa saya meminati genre muzik underground yang juga dikenali dengan nama muzik alternatif kerana lirik lagu mereka yang tidak seperti kebanyakan lirik-lirik aliran muzik mainsteam yang hanya bertemakan cinta, yang mendayu-dayu, melemah semangat! dan gejala ini sudah menular dengan begitu pesat dalam industri muzik di Malaysia (Sebabnya mungkin anda boleh rujuk kepada sahabat saya saudara Ahmad) Sedangkan lagu-lagu aliran underground ini lebih bertenaga dan liriknya banyak bertemakan perjuangan, menentang penindasan dan ketidakadilan.

Oleh kerana itu tidak mustahil antara sebab mengapa kerajaan begitu keras terhadap aliran muzik black metal dan sewaktu dengannya ini adalah kerana pemikiran mereka yang digarapkan dalam lirik lagu yang tidak sealiran dengan kerajaan. Kalau nak dikatakan lirik-lirik lagu underground ini berunsur negatif hingga boleh merosakkan akidah, lagu-lagu aliran mainstream tidak kurang juga dengan liriknya yang terdapat unsur negatif, lucah, pemujaan dan sebagainya. Begitu juga dengan isu penggunaan dadah, sudah banyak kes yang kita lihat artis-artis yang bukan dari aliran muzik underground ini terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Jika serbuan pihak berkuasa terhadap satu konsert black metal pada malam tahun baru beberapa hari yang lalu mendapati beberapa pengunjungnya mengambil dadah, saya percaya dalam masa yang sama jika pihak berkuasa juga membuat operasi di konsert sambutan tahun baru di KLCC akan didapati begitu ramai pengunjung yang positif mengambil dadah malahan keputusan yang sama juga akan didapati pada konsert kumpulan Peter Pan pada keesokkan malamnya.

Inilah hasilnya jika sesuatu tindakan itu bukan benar-benar kerana Allah, kerana ingin mencegah perkara yang dilarang oleh Allah. Sesuatu perkara itu tidak dilaksanakan secara menyeluruh kerana jika kerajaan benar-benar ingin membenteras maksiat, sesuatu yang dilarang oleh Allah, maka bukan sahaja konsert black metal itu akan dibenteras, malahan pesta sambutan tahun baru, konsert Peter Pan, Konsert Sure Heboh pun akan turut tidak dibenarkan oleh kerajaan kerana sudah jelas unsur-unsur percampuran lelaki dan wanita, pengabaian solat dalam siri-siri konsert tersebut.

Sentuh pasal muzik underground ini saya tertarik dengan satu tulisan yang berkaitan dengan aliran muzik alternatif ini yang berbunyi "Dari segi aliran pemikiran, pengikut-pengikut muzik punk ini hampir sama dengan ahli-ahli parti politik yang berimejkan kopiah putih." Jika disebut tentang kopiah putih maka sudah tentulah ianya berkaitan dengan Pas. Memang tidak dinafikan kebanyakan budak-budak punk ini menyokong Pas. Ini tidaklah menjadi suatu yang mengejutkan kerana jika kita selami sendiri budak-budak punk ini, mereka lebih cenderung kepada sesuatu yang memberontak, 'havoc', huru-hara, anti kerajaan dan sebagainya. Dan oleh kerana itu mereka lebih tertarik dengan siri-siri demonstrasi yang sering dianjurkan oleh Pas sendiri. Tanpa mereka sedari jika Pas mendapat mandat untuk memerintah suatu hari nanti, golongan-golongan Punk inilah yang akan dibenteras.

Jadi seperti juga tulisan saya dahulu yang bertajuk Bagaikan sebuah rumah yang menekankan tentang kesyumulan islam, dalam usaha kita untuk menyampaikan risalah tentang keadilan, menolak penindasan dan menentang kezaliman pemerintah melalui muzik dan lagu, kita tidak memerlukan muzik black metal, punk, hip-hop pelbagai lagi genre muzik yang dibawa oleh barat. Hiburan islam khususnya nasyid sudah cukup lengkap sebagai medium untuk kita menyampaikan da'wah, menyatakan kebenaran, menentang kezaliman dan penindasan yang dalamnya terdapat garis panduan yang memandu kita agar tidak melampaui batas dalam berhibur.

posted by Lidah Penghunus @ 6:52 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter