Monday, December 26, 2005

Macam mana nak memerintah?

Assalamualaikum.

Seringkali bila timbul sesuatu kekurangan dalam parti politik pembangkang yang bernama Pas akan keluar soalan yang bunyinya seperti merendah-rendahkan atau memperlekehkan daripada masyarakat malahan ianya datang daripada ahli Pas sendiri. Misalnya "Bangunan sendiri pun tak mampu beli, macam mana nak memerintah?"

Saya kurang bersetuju jika persoalan ini ditimbulkan lebih-lebih lagi ianya datang dari ahli Pas sendiri. Sepatutnya mereka harus faham Pas adalah parti politik di posisi pembangkang atau oposisi yang mempunyai sumber kewangan yang terhad. Ianya tidak boleh disamakan dengan Umno yang memegang tampuk pemerintahan dan bila namanya sudah memegang tampuk pemerintahan, membentuk kerajaan, sudah tentulah akan ada sumber-sumber kewangan hasil dari pencukaian dan sebagainya.

Andaikata Pas menjadi parti pemerintah pun, sumber-sumber kewangan parti tersebut dalam menjalankan dan melicinkan pentadbiran juga adalah sama. Sepatutnya persoalan yang harus timbul dalam menghadapi kekurangan ini ialah Sejauh mana ahli-ahli Pas sanggup bekorban dalam menampung kekurangan yang ada iaitu dari segi wang ringgit, harta, tenaga dan sebagainya. Misalnya jika suatu cawangan itu tiada markaz, maka sejauhmanakah ahli-ahli Pas cawangan berkenaan sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat untuk bermesyuarat, usrah dan pelbagai aktiviti cawangan.

Kita lihat pula negeri Kelantan, satu-satunya negeri yang Pas mendapat mandat untuk menjadi kerajaan namun begitu sebagaimana yang kita maklum sebagai kerajaan negeri, apalagi dari parti pembangkang pada peringkat pusat, sumber kewangan pentadbiran negeri adalah sungguh terhad, salahsatu sebabnya ialah kerana kekangan yang diwujudkan sendiri oleh kerajaan pusat. Dalam menghadapi permasalahan ini kita telah saksikan bagaimana pengorbanan menteri besar sendiri yang tidak mengambil pelbagai elaun yang dikhaskan untuk dirinya sebagai menteri besar dan juga pengorbanan jemaah exco negeri yang sanggup elaun mereka dipotong agar duit-duit itu dapatkan disalurkan untuk kegunaan pentadbiran negeri. Jadi tidak timbul persoalan tidak mampu memerintah akibat kekurangan-kekurangan yang timbul semasa masih dalam pembangkang.

posted by Lidah Penghunus @ 2:54 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter