Jendela 2005
Assalamualaikum.
Kita telah pun menutup tirai jendela 2005 dengan pelbagai kisah. Ada kisah suka, duka, kontroversi dan ada juga kisah yang tidak langsung memeranjatkan kita yang kita memang akan jangka perkara tersebut. Bagi Pas sendiri 2005 bolehlah dikatakan sebagai tahun kebangkitan semula setelah dilanda ribut kekalahan pada pilihanraya umum ke-12 tahun sebelumnya. Pada peringkat Negeri Selangor, 2005 diiystihar sebagai tahun tarbiah bagi memantapkan kembali aktiviti tarbiah yang dilihat semakin malap kebelakangan ini dan Muktamar Agung tahunan 2005 dilihat menjadi penyuntik semangat dan azam baru kepada ahli-ahli Pas diseluruh negara dengan terpilihnya gandingan tokoh-tokoh yang berwibawa bagi memegang amanah dalam kepimpinan peringkat tertinggi parti politik tersebut.
Pilihanraya kecil pengkalan pasir pula dilihat sebagai medan untuk menguji sejauh manakah tahap tarbiah yang telah diterima oleh ahli-ahli Pas selama ini dan ianya telah terbukti apabila ahli Pas dari seluruh negara turun berkampung di Pengkalan Pasir bagi mempertahankan kemenangan Pas negeri Kelantan di Dun tersebut dan kekalahan yang diterima tidakpun melemahkan semangat mereka, malahan semangat mereka ini terus ditunjukkan apabila beberapa negeri di sebelah pantai timur dan utara dilanda banjir. Sekarang kita sudahpun berada di serambi 2006, mungkin tahun 2006 ini boleh dikatakan sebagai tahun persediaan untuk menjana kemenangan pada pilihanraya umum yang makin hampir.
Sentuh sedikit tentang sambutan tahun baru, mungkin inilah sedikit hikmah dan kebaikan disebalik penderitaan Tsunami pada tanggal 26 Disember 2004 dan peristiwa banjir yang di luar dugaan baru-baru ini apabila pada tahun ini beberapa negeri telah mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan pesta sambutan tahun baru dan digantikan dengan majlis tahlil dan bacaan Surah Yasin. Namun begitu amatlah malang sekali apabila diperingkat kebangsaan peristiwa-periswa tersebut seolah-olah dilupakan dengan sambutan pesta tahun baru di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang. Seperti kebiasaan, Dewan Pemuda Pas Pusat bersama-sama Pemuda Pas Wilayah dan selangor akan turun ke tempat-tempat sambutan bagi mengedar risalah da'wah. Semalam saya dan beberapa orang sahabat berpeluang untuk mengikuti Program yang dinamakan XPDC da'wah yang diadakan di KLCC, Kuala Lumpur. Sedar akan kesesakan yang biasanya akan berlaku pada malam-malam sambutan, maka kami mengambil keputusan untuk menaiki LRT.
Apa yang ingin saya ceritakan di sini, semasa dalam perjalanan, terasa kecilnya kami, terasa lemahnya kami ditenggelami oleh lautan muda-mudi yang hanyut oleh gelombang hedonisme ini, dengan pakaian mereka yang kebaratan dengan budaya 'couple' mereka yang tiada batasan dan yang paling menyedihkan tidak sedikit dari kalangan mereka ini adalah anak-anak gadis yang bertudung, cuma bagi saya ianya adalah tudung melayu, bukan tudung muslimah. Masa tu saya benar-benar rasa ingin cepat tiba ke destinasi dan sampai ke Masjid Asy Syakirin, tempat yang kami diarahkan berkumpul. Dan bila tiba di perkarangan Masjid Asy Syakirin, bersama-sama dengan pemuda-pemuda Pas dari seluruh wilayah dan Selangor barulah terasa kuatnya kami, kekuatan yang dikurniakan Allah dan bersedia untuk menggempur lautan ganas manusia mengedar risalah da'wah untuk mengajak mereka secara baik agar kembali kepada cara hidup islam. Jika dilihat dari tingkahlaku mereka secara logiknya adalah agak mustahil untuk mengubah mereka, namun begitu kita yang beri risalah, Allah yang mengubah hati mereka. Sepanjang XPDC da'wah berjalan, mereka menyambut baik kehadiran kami dan rata-rata mereka memberikan ucapan terima kasih atas risalah yang dihulur.
Bagi diri saya sendiri, 2005 adalah tahun permulaan untuk saya kembali menulis khususnya dalam Blog ini. Sekarang sudah hampir setahun usia blog lindunganbulan ini, jika ada penulisan saya ini yang menyinggung maka sedalam-dalam kemaafan saya pinta dan jika ada sebarang kesilapan fakta sepanjang saya menulis ini maka tegurlah. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki dalam penulisan ini. Oleh sebab itulah saya lebih layak untuk menulis di Blog berbanding menjadi penulis sepenuh masa di akhbar, majalah dan sebagainya. Tambahan pula menulis di blog kita tidak terikat dengan deadline, saya boleh menulis bila-bila masa sahaja bila ada sesuatu isu yang ingin saya ingin saya ulas tanpa diarahkan oleh mana-mana pihak. Berbanding jika saya terikat dengan mana-mana penerbitan, dengan kemahiran kurang ditakuti dalam memenuhi deadline saya akan menulis sesuatu yang tangkap muat sahaja tanpa mengambil kira kualiti penulisan. Dalam erti kata yang lain biarlah tulisan ini datangnya dari lubuk hati saya sendiri, bukan kerana terpaksa. Namun begitu azam dalam bidang penulisan ini tetap ada iaitu untuk meningkatkan kemahiran, mempelbagaikan skill penulisan, menambah ilmu pengetahuan dan seboleh-bolehnya menulis satu artikel dalam seminggu secara konsisten.
Akhir sekali semoga kita dapat membawa masuk perkara-perkara positif di tahun 2005 lalu ke tirai 2006 untuk kita teruskan dan menutup terus tirai jendela 2005 dari dimasuki oleh unsur-unsur negatif sepanjang kita berada di tahun 2005 yang lalu. Insya-Allah
0 Comments:
Post a Comment
<< Home