Thursday, January 19, 2006

Nak cegah kemungkaran pun tak boleh.

Assalamualaikum.

Nampaknya suara puak-puak liberal makin mendapat tempat apabila penubuhan sebuah badan sukarela yang bertujuan untuk membantu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membenteras kegiatan maksiat di sekitar wilayah persekutuan khususnya Putrajaya ditolak oleh menteri kabinet atas alasan ianya melanggar hak asasi manusia. Sedangkan mereka hanyalah squad pengintip yang menjadi mata dan telinga MAIWP tentang kegiatan maksiat yang berlaku di sekitar Putrajaya untuk diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa MAIWP selaku pihak yang berautoriti. Sudah tentulah akan ada garis panduan dan peraturan untuk sukarelawan ini agar usaha-usaha mereka tidak menimbulkan kekacauan.

Mereka memberi alasan bahawa penguatkuasa agama yang sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah moral. Persoalannya adakah benar penguatkuasa yang ada sudah memadai untuk menangani masalah sosial yang kita lihat sekarang ini semakin membimbangkan, semakin tidak terkawal? Melalui pengalaman saya sendiri semasa menyertai XPDC Da'wah sempena malam tahun baru di sekitar taman KLCC, tidak kelihatan seorang pun anggota penguatkuasa agama khususnya dari JAWI bagi membenteras kegiatan anak-anak muda pada malam itu yang mengambil kesempatan atas nama sambutan tahun baru untuk membuat maksiat. Sebaliknya usaha-usaha ini diambil oleh beberapa pertubuhan yang tidak pun mempunyai kuasa dalam membenteras kegiatan mungkar ini secara berkesan, mereka hanya mempunyai kuasa untuk memberi nasihat dan teguran sahaja. Mana perginya penguatkuasa agama pada malam-malam sebegitu? Sedangkan pada malam-malam sebegitulah pihak-pihak yang diberi autoriti ini diperlukan untuk mengawal tingkah laku anak-anak muda beragama islam ini.

Seorang menteri kabinet menyatakan alasan penolakkan badan berkenaan juga adalah kerana tidak mahu penyalahgunaan kuasa dalam Badan Amal Maaruf Nahi Mungkar (BADAR) iaitu sebuah badan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) suatu masa dahulu berulang kembali. Menteri kabinet tersebut mengatakan bahawa mencegah kemungkaran adalah tugas polis dan jabatan agama untuk menguatkuasakannya, bukan kerja orang yang tidak dilatih atau sukarelawan. Nampaknya menteri ini hanya menyempitkan tugas-tugas amal maaruf nahi mungkar hanya kepada mereka yang diberi kuasa sahaja. Bagi saya adalah lagi baik para sukarelawan yang menjalankan tugas ini kerana mereka yang dikatakan tidak terlatih ini menjalankan tanggungjawab secara sukarela tanpa dibayar gaji dan sudah tentulah niat mereka ini adalah benar-benar kerana ingin melaksanakan tuntutan amal maaruf nahi mungkar. Apa gunanya jika cukup terlatih dan mempunyai kuasa tetapi tiada niat pun untuk melaksanakannya. Satu lagi yang ingin saya sentuh apakah isu penyalahgunaan kuasa harus dijadikan alasan untuk menolak penubuhan badan sukarela pencegah kemungkaran tersebut? Sedangkan kita lihat dalam jabatan polis sendiri, malahan dalam kerajaan sendiri berlaku begitu banyak kes penyalahgunaan kuasa, mengapa dalam hal tersebut tidak dibubarkan sahaja badan-badan yang berkenaan?

Jadi perkara yang membawa kepada terhalangnya penubuhan badan sukarela yang bertanggungjawab terus kepada MAIWP ini sebenarnya adalah kerana kerajaan sendiri telah tunduk kepada sekumpulan pakatan liberal yang terdiri daripada NGO dan individu yang kononnya ingin memperjuangkan hak asasi namun hakikatnya mereka tidak mahu melihat islam itu berkembang subur.

posted by Lidah Penghunus @ 10:58 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter