Wednesday, March 01, 2006

Paras air naik, harga minyak pun naik.

Assalamualaikum.

Selepas beberapa hari kita dikejutkan dengan kenaikan paras air akibat hujan lebat yang berterusan di Lembah Klang semalam kita dikejutkan pula dengan kenaikan luar biasa harga bahan api, petrol, diesel dan LPG sebanyak 30 sen seliter. Kenaikan ini bukan sahaja akan membebankan pengguna kenderaan bermotor, malahan ianya juga turut membebankan isi rumah atau pengguna barang keperluan kerana kita sudah maklum kenaikan bahan bakar inilah yang akan menjadikan kos pengeluaran bagi barang keperluan meningkat.

Dalam isu kenaikan harga minyak ini kerajaan memberi jaminan bahawa ini adalah kenaikan yang terakhir dalam tahun ini. Ini bermaksud tidak mustahil harga minyak ini akan naik kembali pada tahun hadapan. Satu lagi kalau pun ianya kenaikan yang terakhir dalam tahun ini, tetapi bila kenaikannya itu adalah tiga kali ganda dari kenaikan biasa iaitu sebanyak 30 sen. Maka bolehlah ianya disamakan dengan kenaikan sebanyak tiga kali setahun. Bezanya kali ini kerajaan menaikkannya sekaligus.

Seperti kebiasaannya juga bila timbul isu ini kerajaan akan membuat perbandingan bahawa harga minyak di negara kita masih lagi rendah berbanding negara jiran yang lain. Persoalannya mengapa mesti melihat negara orang sedangkan ini soal kebajikan rakyat di negara kita. Sudahlah sebelum ini kita dibebankan oleh kenaikan cukai pintu, kenaikan tambang pengangkutan awam dan bas sekolah, yang akan datang kenaikan tarif elektrik ini ditambah pula dengan kenaikan harga minyak. Ini benar-benar membebankan lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah, kuasa beli dan upah benar kita makin menurun akibat kenaikan kos sara hidup melebihi kenaikan gaji

posted by Lidah Penghunus @ 4:33 AM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter