Saturday, March 18, 2006

Etika kewartawanan dan tanggungjawab sosial media.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini saya tertarik dengan satu kenyataan oleh Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin yang tidak mahu golongan yang berkepentingan perniagaan dan keuntungan melibatkan diri dalam bidang akhbar dan media kerana akan menghakis etika kewartawanan dan tanggungjawab sosial media itu sendiri. Memang tidak dapat dinafikan golongan korporat yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata mereka tidak akan mengambilkira soal etika dan tanggungjawab sosial dalam apajua bidang yang mereka ceburi, apalagi jika perkara tersebut akan membantutkan matlamat mereka untuk memaksimakan keuntungan.

Lihat sahajalah dunia kewartawanan zaman sekarang, sesuatu yang sensasi suatu yang dijangka menarik perhatian umum yang sekaligus akan melariskan jualan akhbar, maka benda itulah yang akan menjadi paparan media berkenaan tanpa mengambil kira adakah suatu sumber itu sahih atau tidak, tanpa mengambil kira kesan-kesan negatif daripada apa yang dipaparkan itu.

Namun begitu Zainuddin Maidin mungkin terlupa ataupun buat-buat lupa tentang satu lagi perkara yang paling ketara yang menghakis etika kewartawanan, tanggungjawab sosial media dan seterusnya kebebasan media selama ini iaitu golongan politikus sendiri iaitu ahli politik yang korup yang bercita-cita untuk terus kekal mempertahankan survival politik mereka dengan apa jua cara sekalipun.

Bagi mereka, kewujudan golongan yang berkepentingan perniagaan dalam industri media yang disebutkan tadi adalah satu rahmat kerana melalui wang dan kuasa golongan-golongan ini dengan mudah dapat dikuasai. Dengan wang mereka boleh membeli sebahagian besar kepentingan dalam sesebuah syarikat akhbar terutama sekali akhbar nasional dan sekaligus mengawal secara langsung akhbar berkenaan dan dengan kuasa pula akhbar-akhbar yang tidak sehaluan dengan mereka akan ditamatkan permit penerbitannya.

Inilah yang terjadi kepada iklim kewartawanan dan kebebasan media di negara kita yang hingga kini masih lagi dihimpit gerhana. Media-media cetak dan elektronik masih lagi belum mampu lagi memberi ruang sepenuhnya kepada pihak pembangkang atau golongan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah untuk bersuara. Mereka masih tidak dapat lagi menunaikan tanggungjawab sosial mereka sebagai media dalam menyuarakan rintihan rakyat tertindas, golongan wartawannya pula masih lagi kurang menitikberatkan etika kewartawanan dalam menjalankan tugas memberikan laporan yang seimbang dan tidak berat sebelah. Contoh yang paling jelas kisah demonstrasi, bantahan awam yang menyuarakan jeritan dan rintihan rakyat tentang kenaikan harga minyak baru-baru ini tidak pun dipaparkan di media-media utama ini. Yang mereka paparkan hanyalah suara-suara memuji dan mengampu tindakan kerajaan menaikkan harga minyak oleh sebilangan kecil rakyat yang tiada pendirian.

Dalam memperjuangkan kebebasan media kita tidaklah sampai minta hingga ke tahap nabi pun boleh dihina atas nama kebebasan media, kita hanya minta agar media-media di negara ini dibiarkan bebas dalam menyatakan kebenaran namun ianya mestilah tidak terkeluar dalam garis panduan yang telah ditetapkan oleh islam. Kerana apa yang kita lihat media-media utama di Malaysia pada hari ini, kebebasan bersuara dan mengkritik pemerintah itu masih lagi disekat namun begitu gambar-gambar artis yang menjolok mata terus bebas menghiasi lembaran-lembaran akhbar berkenaan. Malahan penghinaan dan pandangan yang menyeleweng terhadap islam masih lagi diberi tempat dalam media-media utama negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 4:12 PM   1 comments

1 Comments:

At 5:55 PM, Anonymous Anonymous said...

Eee malay man

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter