Perkasa Bahasa Melayu- Tidak perlulah sampai pinda akta dan ubah dasar.
Assalamualaikum.
Semalam kita sudah sentuh isu kenaikan minyak, hari ini saya ingin kembali semula kepada isu kebahasaan khususnya menyentuh kedaulatan Bahasa Melayu. Bukanlah bermaksud isu kenaikan harga minyak ini sudah selesai, walaupun demonstrasi membantah kenaikan tersebut sudah selamat dijalankan siang tadi, sekarang kita sedang menunggu apakah keputusan kerajaan seterusnya, adakah kerajaan akan akur dengan kehendak rakyat, jika tidak demonstrasi akan diteruskan minggu hadapan.
Kembalinya saya kepada isu kebahasaan ini adalah atas tersiarnya sebuah laporan akhbar hari ini yang menyatakan bahawa demi untuk memperkasa Bahasa Melayu, kerajaan sedia pinda akta dan dasar bagi memartabatkannya, maksudnya di sini sebarang pengabaian dan pencabulan terhadap Bahasa Melayu misalnya yang melibatkan papan tanda akan dikenakan tindakan melalui saluran perundangan.
Dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan ini kita tidaklah pinta sampai perlu dipinda perlembagaan berkenaan akta bahasa kebangsaan. Apa yang perlu kerajaan buat sekarang ialah mengembalikan hak Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran subjek sains dan matematik.
Namun begitu dalam laporan akhbar berkenaan sedikit pun tidak menyentuh tentang perlaksanaan tersebut, sedangkan itulah sebenarnya dosa kerajaan terhadap Bahasa Melayu yang perlu ditebus. Kita sudah sedia maklum bahawa kekuatan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada tahap pencapaian ilmu. Ini samalah dengan bahasa itu sendiri, kekuatannya juga diukur melalui kemampuannya mengungkap pelbagai bidang ilmu. Jadi dalam matlamat memperkasakan Bahasa Melayu itu sendiri, kerajaan melalui kementerian pendidikan haruslah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Bahasa Melayu dalam penyampaian pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu sains dan matematik.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home