Pemuda Umno guna basikal ke?
Assalamualaikum.
Setelah menyentuh isu kebahasaan khususnya tulisan jawi, kita kembali balik kepada isu kenaikan harga minyak yang masih lagi hangat diperkatakan sekarang ini. keputusan kerajaan menaikkan harga minyak ini memang ternyata telah menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak tidak kiralah mereka itu pengguna kenderaan bermotor atau tidak, hatta yang menggunakan basikal sekalipun tidak akan dapat menerima kenaikan harga minyak yang mendadak ini kerana mereka sendiri pun sudah maklum kesannya kepada harga barang-barang keperluan.
Namun begitu lain pula halnya dengan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang pada akhbar hari ini sayap Pemuda parti pemerintah itu mengeluarkan kenyataan memuji tindakan Pak Lah selaku perdana menteri yang menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen sekaligus sebagai langkah yang berani. Jika benar pun ahli Pemuda Umno rata-ratanya menggunakan basikal sebagai kenderaan rasmi mereka, mereka masih lagi perlu ingat bahawa semua barang-barang bagi memenuhi keperluan asas mereka dan rakyat bukan diangkut mengunakan kereta lembu, bukan dibawa dengan kereta api, semuanya diangkut dengan kenderaan bermotor yang menggunakan bahan api petrol dan diesel. Jadi adalah mustahil jika mereka tidak terasa dengan kenaikan ini.
Di sini juga saya ingin sentuh penjelasan Dato Seri Najib Tun Razak selaku timbalan perdana menteri yang dimuatkan pada berita utama akhbar hari ini. Dalam memberi penjelasan tentang keputusan kerajaan menaikkan harga minyak, Dato' Seri Najib memberi alasan bahawa tindakan ini tidak secara langsung bertujuan menimbulkan kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan mengubah cara hidup dan menjimatkan penggunaan bahan api. Di sini Dato' Seri Najib perlu sedar bahawa isu ini bukan isu pengguna kenderaan persendirian semata-mata, malahan lebih daripada itu ianya adalah isu kenderaan perdagangan yang terlibat dengan pengangkutan barang-barang dagangan dan pengangkutan awam.
Sebagai seorang yang bekerja di syarikat haulier atau pengangkutan kontena, saya dapati bahawa bukan sedikit jumlah bahan api yang diperlukan untuk operasi pengangkutan kontena selama 24 jam. Maka kenaikan 30 sen bahan api diesel adalah sesuatu kenaikan yang amat besar sekali bagi syarikat pengangkutan lebih-lebih lagi harga diesel untuk kenderaan perdagangan adalah lebih tinggi berbanding harga minyak diesel kenderaan persendirian. Sebut tentang pengangkutan awam seperti bas, baru semalam Bas yang disewa untuk hari keluarga pada 12 Mac ini yang pada asalnya pemiliknya mengenakan RM400 bagi perjalanan ke Sungai Congkak, Hulu Langat, bila sahaja kenaikam harga minyak termasuk diesel diumumkan, sewa bas terus dinaikkan sebanyak RM50. Bayangkan kenaikan sebanyak RM0.30 memberi lonjakan kenaikan sebanyak RM50.
Pada akhbar tersebut juga saya tertarik dengan panduan rancang perbelanjaan berhemat yang ditujukan kepada rakyat dalam berhadapan kenaikan harga minyak. Namun bagi saya adalah tidak adil jika rakyat sahaja yang perlu diberi panduan dan ingatan dalam perbelanjaan, kerajaan juga perlulah diberi panduan dan peringatan dalam berhadapan dengan kenaikan harga minyak mentah dunia ini. Antara yang perlu diingatkan dan diberi panduan ialah tentang kaedah berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan pentadbiran dan perbelanjaan mengurus, mengurangkan aktiviti-aktiviti yang membazir, membenteras secara serius amalan korupsi dan penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan termasuk menteri-menteri kabinet yang selama ini ternyata telah merugikan jutaan wang negara dan boleh jadi juga pengurangan elaun menteri sebagai cara untuk menjimatkan perbelanjaan pentadbiran. Ini penting kerana jika amalan pembaziran berlaku di kalangan rakyat, ianya hanya melibatkan duit poket individu terbabit tetapi jika amalan pembaziran ini berlaku dalam kerajaan, ianya telah melibatkan wang rakyat, wang pembayar cukai. Jika panduan ini diikuti secara serius oleh kerajaan insya-Allah soal kerajaan tidak mampu menampung subsidi minyak akibat kenaikan harga minyak mentah dunia tidak akan timbul.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home