Cadangan SPR agar tiada lagi perang poster semasa pilihanraya.
Assalamualaikum
Akhbar hari ini memaparkan cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)agar tidak lagi membenarkan penggunaan poster, sepanduk dan banting untuk pilihanraya yang akan datang atas alasan penggunaan poster pada setiap kali pilihanraya telah mengakibatkan parti politik yang bertanding terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar. Jadi cadangan ini bertujuan untuk menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh parti politik yang bertanding.
Adalah suatu yang pelik apabila SPR begitu prihatin sekali tentang kos yang terpaksa ditanggung oleh parti politik apabila bertanding pilihraya, mungkin inilah salah satu contoh kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Sebenarnya soal kos ini tidak perlu menjadi isu kerana ianya adalah kesanggupan sesebuah parti yang ingin menyertai pilihanraya dan mereka hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan sebegini lima tahun sekali sahaja.
Cumanya ianya bergantung kepada tahap kewangan parti yang bertanding, jika sesuatu parti itu mempunyai tahap kewangan yang besar maka jika mahu memasang poster di segenap kawasan pilihanraya pun tidak mengapa dan bagi parti politik yang mempunyai kewangan yang terhad, hatta jika tidak mahu menggantung poster pun tidak menjadi masalah, tidak ada pun undang-undang yang menetapkan agar setiap parti yang bertanding mesti menyertai perang poster.
Sebagai contoh pada pilihanraya umum yang lepas di Parlimen Kelana Jaya, BN yang mempunyai kewangan yang kukuh menggunakan poster yang hanya siap untuk digantung sahaja, tidak perlu petugas-petugas parti bersusah payah untuk memasang satu persatu poster parti pada tali rafia. sedangkan bagi Pas dan pakatan dalam Barisan Alternatif yang mempunyai kewangan yang terhad, para petugasnya perlu menyediakan poster secara manual, namun apapun bentuk dan cara poster itu dihasilkan, perang poster di kawasan pilihanraya P104 tetap meriah dan yang penting juga ialah kesediaan setiap parti untuk membersihkan kembali poster-poster yang telah dipasang apabila tamatnya musim pilihanraya.
Bagi saya sebelum SPR mengeluarkan cadangan tersebut, mereka perlu memastikan terlebih dahulu bahawa media-media cetak dan elektronik di negara kita bebas dan bersedia untuk memberikan ruang dan peluang kepada semua parti politik yang bertanding, tidak kira parti pemerintah mahupun parti pembangkang untuk berkempen dengan bebas. SPR juga harus memastikan penguasaan media massa oleh parti pemerintah setiap kali menjelang pilihanraya dihentikan. Ini penting kerana apa yang kita lihat kali terakhir pilihanraya kecil Di Dun Pengkalan Pasir penguasaan media oleh parti pemerintah masih lagi ketara dan ruang untuk parti pembangkang khususnya Pas masih lagi terhad. Oleh itu Pas hanya bergantung kepada poster, sepanduk, banting, risalah dan media-media yang terhad sebarannya seperti akhbar Harakah dan webtv dalam usaha kempen pilihanraya. Jika poster, sepanduk dan banting ini juga tidak dibenarkan, bagaimana lagikah caranya untuk parti-parti pembangkang berhadapan dengan parti pemerintah yang menguasai media massa.
Kembali kepada persoalan mengurangkan kos itu tadi, jika SPR benar-benar prihatin tentang kos yang terpaksa ditanggung oleh parti-parti politik yang bertanding, caranya ialah turunkan sahaja bayaran deposit atau wang pertaruhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang ingin jadi calon pilihanraya. Kerana wang deposit ini juga adalah suatu yang agak berat bagi parti yang ingin bertanding pilihanraya, apalagi bila memikirkan risiko hilang wang deposit apabila kalah teruk. Bagi saya ini mungkin tiada masalah kerana deposit pilihanraya tiada kena-mengena dengan harga minyak.
1 Comments:
huhu..kena mereka sibuk memsang bendera poster siang malam.. :D
Post a Comment
<< Home