Saturday, March 25, 2006

Dilema Adiputra

Assalamualaikum.

Ini bukanlah ceritera rakyat yang menceritakan tentang kepahlawanan, ini adalah kisah benar tentang kepintaran luar biasa seorang kanak-kanak iaitu adik Adiputra, kanak-kanak yang telah menarik perhatian pelbagai pihak kerana kebolehan luar biasanya menyelesaikan permasalahan matematik yang hanya layaknya diselesaikan oleh pelajar pengajian tinggi. Laporan akhbar semalam, Adiputra yang mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan ini telah diberikan surat amaran kerana terlalu kerap tidak hadir ke sekolah. Antara sebab Adiputra kerap tidak hadir ke sekolah kerana pembelajaran di sekolah yang membosankan untuk beliau yang kepintarannya melangkaui usianya. Beliau yang biasa menyelesaikan masalah matematik hingga ke tahap trilion digit tiba-tiba terpaksa kembali belajar mengenal dan menulis angka-angka dalam sistem pernomboran.

Sebagaimana kebiasaan bila sahaja ada kanak-kanak yang memiliki kepintaran yang luar biasa, akan ada cadangan kanak-kanak ini dihantar ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Persoalannya sekarang apakah itu cara yang terbaik? Adakah dengan menghantarnya 'lompat' terus ke tahap yang lebih tinggi misalnya darjah 6 adalah cara yang terbaik? Di sini kita harus sedar bahawa Adiputra hanya mempunyai kelebihan luar biasa dari segi kepintarannya dalam ilmu matematik, sedangkan pemikirannya, jiwanya masih lagi sama seperti rakan-rakan seusianya. Dalam laporan akhbar berkenaan juga dipaparkan gambar Adiputra yang sedang meni'mati aiskrim sementara menunggu sidang media membuktikan bahawa citarasanya sama seperti kanak-kanak yang lain yang baru hendak mengenal angka.

Jadi andaikata Adiputra terus dihantar belajar ke tahap yang lebih tinggi hanya kerana semata-mata beliau mempunyai kepintaran dalam matematik, ianya bukanlah langkah yang terbaik kerana falsafah pendidikan itu sendiri bukanlah semata-mata untuk membentuk kebolehan akademik pelajar, malahan lebih daripada itu ianya bertujuan untuk membentuk akhlak dan sahsiah pelajar serta memasyarakatkan pelajar itu sendiri. Oleh kerana itulah sistem pendidikan dibentuk mengikut tahap demi tahap dan pelajar diwajibkan melalui tahap-tahap tersebut satu demi satu agar pelajar-pelajar ini dapat membiasakan diri secara perlahan-lahan suasana pembelajaran bersama-sama rakan-rakan sekelas yang datang dari pelbagai latar belakang.

Kita tidak mahu bila andaikata nanti Adiputra terus 'lompat' ke tahun enam, beliau akan mengalami kejutan budaya kerana beliau yang baru melalui peralihan dari peringkat pra sekolah ke sekolah rendah terpaksa bersama-sama dengan mereka yang sedang menjalani proses peralihan dari kanak-kanak ke remaja. Mungkin beliau dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran peringkat tersebut tetapi dikhuatiri beliau tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sekelas yang lebih tua daripada beliau yang akhirnya akan menimbulkan konflik dalam diri beliau dan dengan rakan-rakan sekelas yang akhirnya akan menjadikan beliau pelajar yang tersisih dari rakan sekelas.

Sambungan dari kisah Adiputra ini siang tadi akhbar yang sama telah memaklumkan bahawa Adiputra telah diterima untuk mengikuti pengajian di Sekolah Islam Antarabangsa yang mana Adiputra masih lagi belajar ditahun satu bersama-sama rakan-rakan sekelas yang sama umur, sistem pembelajaran juga sama, bezanya beliau akan diajarkan dengan subjek bahasa melayu tahun empat dan matematik tingkatan lima. Mungkin inilah sahaja langkah yang terbaik agar kebolehan luar biasa yang juga anugerah Allah kepada Adiputra ini tidak dipersia-siakan. Tambahan lagi Adiputra hanya memiliki kepintaran yang luar biasa dalam bidang matematik, dalam subjek-subjek yang lain seperti pendidikan islam, sains dan sejarah Adiputra masih perlu mengikutinya dari peringkat darjah satu.

posted by Lidah Penghunus @ 12:23 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter