Akhirnya Thaksin berundur.
Assalamualaikum.
Setelah beberapa bulan mengadakan demonstrasi, kini kumpulan protes anti Thaksin telah merayakan kejayaan mereka setelah berundurnya Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri ekoran kegagalan partinya meraih undi yang besar iaitu hanya 57 peratus serta pemboikotan pilihanraya oleh parti pembangkang. Saya kira keputusan Thaksin ini adalah satu tindakan yang bijak yang memang sepatutnyalah sebagai seorang yang tahu tentang kesalahannya yang sedar bahawa rakyat mula menolaknya maka dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab dari ketelanjuran yang dilakukan.
Walaupun kita sudah sedia maklum tentang apa yang telah Thaksin lakukan terutamanya terhadap umat islam selatan Thailand namun dari satu sudut pemimpin-pemimpin yang lain haruslah mencontohi sikap keterbukaan bekas pemimpin Thailand itu dalam menghadapi kemarahan rakyat. Antara yang dapat kita lihat di sini ialah kesediaan Thaksin mengadakan pilihanraya setelah didesak dengan bantahan awam dan kesediaan beliau berundur dari kepemimpinan Thailand setelah parti yang diterajuinya gagal mendapat majoriti yang besar pada pilihanraya kali ini.
Ini berbeza dengan pemimpin di beberapa negara khususnya negara Asean yang masih lagi tidak mahu akur dengan siri-siri demonstrasi yang dianjurkan, sebaliknya para pendemonstrasi pula yang dikasari oleh pasukan keselamatan yang diperalatkan oleh mereka. Mereka masih lagi menganggap bahawa mereka dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi, sedangkan demokrasi itu sendiri telah dicabuli pemimpin yang korup ini. Tindakan boikot pilihanraya oleh pembangkang tidak sedikit pun memberi kesan kepada mereka kerana golongan ini sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka terus kekal berkuasa.
Mungkin akan ada pihak yang akan menggunakan isu ini untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan di bawah Pas yang sekarang ini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja kerana sebelum ini kerajaan di bawah pimpinan ulama' itu telah beberapa kali didesak agar membubarkan Dun kerana gagal mendapat majoriti yang besar. Namun begitu mereka harus ingat bahawa kemerosotan undi oleh pembangkang khususnya Pas adalah kerana wujudnya amalan demokrasi yang tidak tuntas, budaya ugutan dan sogokan terhadap pengundi, penguasaan media massa dan instrumen kerajaan serta penggunaan pengundi hantu dalam setiap pilihanraya yang dijalankan. Akibat keterbatasan ini maka Pas amat sukar untuk berhadapan dengan Umno dan BN yang menguasai segala-galanya. Perbicaraan terhadap petisyen pilihanraya N12-Pengkalan Pasir yang sedang berjalan sekarang ini telah banyak memberi pendedahan kepada kita tentang penyelewengan yang berlaku dalam pilihanraya.
Oleh kerana sikap pemimpin Umno yang tidak demokratik ini maka adalah amat sukar untuk kita mengecapi apa yang sedang dikecapi oleh rakyat Thailand sekarang ini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home